suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Umpama rezeki terpijak, pembeli flat lelong jumpa kalung emas berloket zamrud! Ingat bertuah, rupanya ada ‘penghuni’ cari tuan baharu

Kalung hijau yang dijumpai Anggerik penuh dengan kisah misteri. -Gambar hiasan AI

BAU hapak yang memenuhi sebuah unit flat lama dekat Seksyen 17, Petaling Jaya di Selangor langsung tidak mematahkan semangat Anggerik Ruhaila untuk menjadikan kediaman itu sebagai rumah pertamanya.

Bekerja sebagai akauntan, wanita berusia 29 tahun itu membeli unit berkenaan pada harga lebih rendah daripada pasaran selepas pemilik terdahulu dikatakan meninggalkan rumah tersebut dalam keadaan tergesa-gesa sehingga akhirnya dilelong bank.

Selain beberapa perabot lama, hampir semua barang di dalam rumah sudah dibawa keluar kecuali sebuah almari kayu reput di bilik kecil paling hujung.

Ketika membersihkan almari itu, Anggerik menemukan timbunan pakaian wanita yang sudah rosak, berkulat dan melekat antara satu sama lain.

Namun, terselit di celah kain reput tersebut sebuah kotak baldu merah yang masih kelihatan elok seolah-olah tidak dimamah usia.

Sebaik dibuka, dia tergamam melihat seutas rantai emas bersama loket berwarna hijau zamrud berbentuk titisan air.

Sesiapa sahaja pasti berasa gembira apabila memperoleh rumah pertama walau dalam keadaan usang. -Gambar hiasan AI

Sesiapa sahaja pasti berasa gembira apabila memperoleh rumah pertama walau dalam keadaan usang. -Gambar hiasan AI

Permata yang cukup mempesonakan itu membuatkan Anggerik terus mengenakannya di leher.

Sejak hari itu, kalung berkenaan menjadi aksesori kesayangannya dan sentiasa dipakai meskipun ketika tidur.

Apa yang mengejutkan, sejak dia memakai kalung tersebut, rakan-rakan mula memuji perubahan penampilan selain menyatakan wajahnya kelihatan semakin berseri.

Tidak kurang juga yang menyatakan tutur katanya kedengaran lebih lembut dan memikat seolah-olah dia mempunyai split personality.

Perkara tersebut diakui sahabat baiknya sendiri yang merasakan perubahan itu sebagai sesuatu yang pelik.

Malah katanya, Anggerik yang dahulunya ceria dan mudah ketawa menjadi semakin pendiam dan sering termenung sambil mengusap permata hijau di lehernya.

Lebih menggerunkan apabila Syifa beberapa kali melihat sahabatnya bercakap sendirian di hadapan cermin tandas pejabat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pegang mayat lelaki Siam tak pakai ‘glove’, pembantu patologi merana terkena ‘badi’... Enam bulan kurus kering, asyik nampak kelibat celah langsir!

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiba-tiba pusing pandang CCTV” - Ibu meremang ‘kembar’ anak bergerak sendiri, igauan bermula lepas patung dibakar!

"Cantik, kan? Dia kata memang kalung ini dicipta untuk aku," ujar Anggerik ketika disapa Syifa.

Jawapan tersebut membuatkan Syifa tergamam kerana tidak mengetahui siapakah ‘dia’ yang dimaksudkan rakannya itu.

Gangguan semakin jelas apabila Anggerik mula hadir ke pejabat dengan pakaian serba hijau dan menyisir rambutnya mengikut gaya lama, seperti wanita zaman 60-an.

Tidak hanya itu, bau minyak wangi bunga yang terlalu kuat sering mengiringi Anggerik di dalam pejabat, sedangkan dia  sebelum itu tidak gemar memakai sebarang wangian.

Perubahan yang kelihatan membuatkan Syifa mula memerhatikan rakannya itu setiap masa sehinggalah dia ternampak pantulan seorang wanita berambut panjang berdiri rapat di belakang Anggerik ketika mereka berada di dalam lif.

Wanita itu mengenakan gaun lusuh berwarna hijau dan kepalanya tertunduk sehingga wajahnya terlindung di sebalik rambut yang sedikit kusut masai.

Terkejut dengan bayangan berkenaan, Syifa kemudiannya segera menoleh, namun dia hanya melihat mereka berdua sahaja di dalam lif.

Perubahan gayanya menjadi perhatian rakan pejabat yang lain. -Gambar hiasan AI

Perubahan gayanya menjadi perhatian rakan pejabat yang lain. -Gambar hiasan AI

Lebih mendebarkan apabila Anggerik tiba-tiba memberikan tersenyum lebar sambil merenung pantulannya sendiri.

Situasi yang cukup aneh itu membuatkan Syifa bertindak mendapatkan pandangan daripada beberapa rakannya.

Susulan itu, mereka mengambil keputusan untuk pergi ke flat Anggerik bagi menyelidik apa yang berlaku dengan alasan ingin melihat dekorasi baharu rumah tersebut.

Tambahan pula, Anggerik pernah meluahkan rasa seram dan takut selepas beberapa hari duduk di unit berkenaan sebelum pesonanya bertukar.

Menurut Syifa, sebaik sahaja dia dan rakan-rakan melangkah masuk, kesemua mereka seolah-olah disapa tiupan angin kuat.

Di bilik hujung, mereka menemukan sekeping gambar lama yang hampir pudar dan kekuningan terselit di belakang almari. 

Foto itu memaparkan seorang wanita muda bersanggul tinggi memakai rantai dan loket zamrud yang sama.

  • Anggerik menemukan kalung zamrud di flat lamanya.
  • Sikapnya berubah selepas memakai kalung itu.
  • Syifa ternampak kelibat wanita misteri.
  • Foto lama mendedahkan pemilik asal kalung.
  • Kalung dibuang muncul kembali bersama ancaman.

Bagaimanapun wajah wanita tersebut diconteng sehingga tidak dapat dikenal pasti, manakala di belakang gambarnya tertulis satu ayat menggunakan dakwat merah yang sudah pudar.

"Jangan biarkan dia memakainya selepas matahari terbenam".

Belum sempat Syifa menunjukkan tulisan itu, pintu bilik terhempas sendiri dengan kuat, lampu pula berkelip-kelip sebelum terpadam, meninggalkan mereka dalam kegelapan.

Dari sudut bilik, kedengaran bunyi seorang wanita menangis disusuli suara Anggerik yang ketawa perlahan.

Apabila cahaya telefon dihalakan ke arahnya, Anggerik sedang berdiri membelakangi Syifa di hadapan cermin almari.

Namun, di dalam pantulan, wajah yang kelihatan bukanlah milik Anggerik sebaliknya muka pucat seorang wanita tua dengan mata hitam dan bibir merekah sedang tersenyum sambil menggenggam loket zamrud itu.

"Dah lama aku tunggu orang buka almari ini," bisik suara tersebut.

Rakan-rakannya cuba membantu mengembalikan dirinya yang asal. -Gambar hiasan AI

Rakan-rakannya cuba membantu mengembalikan dirinya yang asal. -Gambar hiasan AI

Gangguan yang dialami itu membuatkan Syifa mengumpulkan keberanian, lalu merentap kalung berkenaan dari leher sahabatnya.

Anggerik terus rebah, manakala satu jeritan nyaring bergema di seluruh rumah.

Malam itu, Syifa membawa kalung tersebut keluar sebelum mendapatkan bantuan individu yang lebih arif.

Lebih menghairankan, Anggerik pula tidak mengingati apa-apa yang berlaku sejak pertama kali memakai barang kemas itu.

Namun, beberapa hari kemudian, ketika mereka kembali ke flat tersebut, kotak baldu merah yang sudah dibuang ditemukan semula di atas katil Anggerik.

Kalung zamrud itu juga berada di dalamnya.

Pada bahagian dalam penutup kotak, muncul satu tulisan baharu yang masih kelihatan basah.

"Seorang sudah melihat aku. Sekarang aku mahukan dia pula".

Artikel Lain