suria

Misi lulus 100 peratus! Guru cabar diri mengajar kelas tercorot post nota matematik di Facebook bimbing pelajar ketika PKP

Mohd Rodzi menggunakan formula mudah bagi membantu pelajar memahami matematik dengan lebih mudah.

PERKONGSIAN formula dan kaedah menyelesaikan soalan matematik di Facebook telah membuatkan seorang guru di sebuah sekolah di utara tanah air menjadi perhatian dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.

Mana tidaknya, setiap hari, Mohd Rodzi Mat Ghani akan memuat naik pelbagai soalan berkaitan bahagi, darab, pecahan dan sebagainya serta kaedah penyelesaian menggunakan formula yang senang difahami pelajar.

Usaha murni guru berusia 43 tahun itu menarik perhatian memandangkan ketika ini ramai menghabiskan masa membantu anak-anak belajar di rumah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak ikut trend punya fasal, cikgu Add Math gigih mengajar dalam sungai walau jalan bertongkat

Menceritakan mengenai perkongsiannya itu, Mohd Rodzi memberitahu sejak menuntut di universiti lagi dia sering membuat nota teknik penyelesaian soalan matematik yang ditulis tangan.

"Saya memang suka menulis sejak universiti lagi. Asalnya buat untuk diri sendiri ketika mengulang kaji tetapi apabila bergelar guru saya teruskan amalan itu untuk dikongsi dengan pelajar dan pengikut di Facebook.

Mohd Rodzi bersama pelajarnya. 

"Alhamdulillah ramai yang mendapat manfaat daripada nota-nota tersebut malah saya dapat banyak mesej serta komen yang menunjukkan latihan dilakukan serta soalan lain yang mereka tidak faham.

"Kebetulan ketika ini PKP, jadi ramai belajar dari rumah dan inilah salah satu usaha kecil membantu pelajar serta ibu bapa," katanya.

Bahagi antara masalah biasa pelajar sekolah rendah

Mengajar matematik pelajar sekolah rendah, Mohd Rodzi memberitahu sepanjang 13 tahun pengalamannya bergelar guru, dia mendapati topik bahagi antara masalah utama pelajar.

Mengikut pengalaman anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, pelajar biasanya akan berasa keliru dengan soalan membuatkan mereka teragak-agak untuk menjawab.

Sebagai guru katanya, dia perlu bijak dalam memahami masalah pelajar dan atas sebab itu dalam kebanyakan latihan diberikan dia akan memberikan atau mengaitkan sesuatu masalah matematik dengan keadaan sekeliling.

Antara nota yang dimuat naik di Facebook.

"Mereka bukannya tak boleh jawab tapi adakalanya mereka keliru dengan soalan sehingga membuatkan mereka 'stuck' untuk menjawab.

"Biasanya saya akan beri contoh yang dekat dengan mereka seperti meja di dalam kelas serta mewujudkan beberapa formula bagi memudahkan pelajar," katanya.

Formula yang popular yang digunakan Mohd Rodzi termasuklah 'Prinsip Ku DaBa TaTo' - iaitu keutamaan dalam menyelesaikan masalah matematik (Ku: Kurungan, Da: Darab, Ba: Bahagi, Ta: Tambah, To: Tolak)

Pilih mengajar kelas paling corot!

Bercakap mengenai kariernya sebagai guru, Mohd Rodzi memberitahu dia lebih teruja untuk mengajar pelajar di kelas paling corot kerana ingin membantu mereka mencapai potensi terutamanya dalam matematik.

Katanya, dia teruja apabila pelajar lemah dalam matematik mula menunjukkan minat apabila menggunakan kaedah yang tepat sekaligus mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Sebagai seorang guru, kita juga perlu memainkan peranan dalam memastikan mereka dapat mencapai potensi diri dengan menggunakan cara yang betul.

MOHD RODZI MAT GHANI

GURU

"Alhamdulillah ada pelajar yang sebelum ini gagal mampu mendapat A dalam matematik atas usaha dan kesabaran mereka belajar sehingga berjaya.

"Sebagai guru, kita juga perlu memainkan peranan dalam memastikan mereka dapat mencapai potensi diri menggunakan cara yang betul.

"Pada saya, mengajar matematik bukan sahaja tentang formula tetapi meletakkan diri kita pada tahap mereka agar mereka tidak berasa terasing.

"Cara ini saya lihat memang banyak membantu mereka dan Alhamdulillah ada yang berjaya," ujarnya.

Atas dasar itu juga, Mohd Rodzi memberitahu dia berazam untuk membantu pelajar yang dianggap tercicir ini untuk sekurang-kurangnya lulus dalam peperiksaan dan bukannya gagal dalam subjek matematik.

Mohd Rodzi bersama anak-anak. 

Mohd Rodzi juga turut menggunakan tanda pagar #misilulusmaths100% dalam setiap perkongsiannya di Facebook.

"Ia bukan sahaja untuk pelajar-pelajar saya tetapi juga misi diri saya sendiri... Sekiranya ia tidak tercapai maka usaha saya gagal," jelasnya.

Tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap pelajar di tempat dia mengajar, ketika ini kata Mohd Rodzi, semua guru menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian iaitu Google Classroom dan Google Form seperti disarankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membolehkan interaksi secara terus dengan pelajar.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain