Bagai belangkas! Gerabak bukan hanya hobi, tempat kerja dan rumah pun ada kereta api - I-suke | mStar

Bagai belangkas! Gerabak bukan hanya hobi, tempat kerja dan rumah pun ada kereta api

Rosfaizan menjadikan sebuah bilik di rumahnya sebagai tempat khas untuk menyimpan koleksi kesayangannya. Foto LOW BOON TAT

MEMORI menaiki kereta api bersama Allahyarham bapanya ketika kecil membuatkan Rosfaizan Abdul Rahman jatuh cinta dengan pengangkutan itu dan perasaan itu kekal hingga ke hari ini.

Mengimbau memori yang masih segar dalam ingatannya, Rosfaizan memberitahu, dia menaiki kereta api dari Gemas, Negeri Sembilan ke Pasir Mas, Kelantan selama 15 jam untuk pulang ke kampung pada musim cuti sekolah.

"Sepanjang perjalanan saya akan teruja dengan pemandangan di luar tingkap, terutama ketika melihat kereta api yang datang dari arah bertentangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berhabis RM20,000, bapa isytihar bilik Kylo Ren kawasan larangan untuk anak-anak

"Adakalanya arwah bapa akan bawa saya ke stesen tempat dia bekerja hanya untuk melihat kereta api dan memori itu masih segar hingga ke hari ini," katanya.

Rosfaizan turut membina sebuah tapak perindustrian bagi mempamerkan koleksi kereta apinya.

Cerita Rosfaizan, Allahyarham bapanya pernah bekerja sebagai penyelia penyelenggara dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Gemas pada 1960 sehingga 1998. Abdul Rahman meninggal dunia pada 2015.

Mengikut jejak langkah bapanya, Rosfaizan kini turut berkhidmat dengan KTMB sebagai pengurus multimedia di unit perhubungan awam sejak 2016.

Sebelum ini, Rosfaizan pernah berkhidmat sebagai pereka konsep untuk Mass Rapid Transit (MRT) Malaysia.

Pendedahan terhadap kereta api sejak kecil membuatkan Rosfaizan menjadi obsesi terhadap kenderaan itu sehingga menjadikan ia sebagai hobi masa lapang.

Pegawai perhubungan awam KTM ini banyak menghabiskan masa di bilik hobinya apabila mempunyai waktu lapang.

Katanya, dia mula mengumpul model kereta api sejak 2013 dan kini dia mempunyai 25 lokomotif (kepala kereta api) selain lebih daripada 200 model kereta api termasuk aksesori seperti trak dan bangunan dalam koleksinya.

Rosfaizan berkata, dia mengumpul koleksinya dengan membeli di kedai berkaitan hobi, selain pembelian menerusi dalam talian.

"Kalau beli secara online selalunya saya akan tempah dalam kuantiti yang banyak atau berkongsi tempahan dengan rakan bagi menjimatkan kos penghantaran serta mendapatkan diskaun menarik.

Rancak bercerita mengenai hobinya itu, Rosfaizan berkata, dia berjaya memiliki model kereta api Marklin yang terhad pada September tahun lalu dan ia masih berada dalam kotak.

Rosfaizan membina sendiri replika gunung lengkap dengan landskap bagi mewujudkan suasana realistik.

Mengakui hobi itu sebagai mahal, Rosfaizan berkata, ia dijual pada harga serendah RM150 mengikut model sehingga RM1,000, manakala kereta api jenis lokomotif boleh mencecah harga RM2,000.

Bilik khas untuk koleksi kereta api

Dek kerana obsesi terhadap kereta api, Rosfaizan memberitahu dia menjadikan sebuah bilik di rumahnya sebagai tempat menyimpan koleksi berkenaan.

Menariknya, dia turut membuat replika landasan disekeliling bilik tersebut lengkap dengan pemandangan perindustrian termasuk terowong, landskap kehijauan untuk menggerakkan kereta api di atasnya.

"Saya suka tengok kereta api bergerak sambil saya membuat kerja membaiki atau mengecat koleksi sedia ada... bunyi enjinnya memberikan ketenangan dan mengimbau memori," ujarnya.

Selain mengumpul replika kereta api, Rosfaizan turut gemar melukis.

Tidak hanya itu, Rosfaizan turut menjadikan bilik itu sebagai tempat dia melukis kereta api yang pernah dilihatnya dan kebiasaannya idea untuk melukis datang pada waktu malam.

"Biasanya jika tidak penat selepas pukul 10 malam saya akan meghabiskan masa di dalam bilik ini untuk buat kerja-kerja mengecat dan membaiki model yang telah rosak.

"Selain itu saya juga gemar melukis kereta api yang pernah saya lihat dalam buku lakaran saya, ia membantu saya mengurangkan tekanan dan berasa tenang," jelasnya.

Kini sebagai seorang bapa, Rosfaizan memberitahu dia seronok dapat membawa dua anaknya ke stesen untuk melihat dan menaiki kereta api seperti mana dilakukan oleh bapanya dahulu.

Membuktikan minatnya yang mendalam terhadap sistem pengangkutan itu, katanya, kediamannya yang terletak di Batu Caves, Selangor juga berdekatan dengan trek kereta api. THE STAR

Mengumpul replika bukan sekadar hobi buat Rosfaizan namun ia mempunyai memori tersendiri.

KTM , Kereta Api

Artikel Lain