suria

Selepas berhabis RM20,000, bapa isytihar bilik Kylo Ren kawasan larangan untuk anak-anak

Topi keledar edisi terhad Kylo Ren antara koleksi Zaharin Adnan. Foto SAMUEL ONG

FILEM Star Wars sememangnya menjadi kegilaan ramai sehingga ada yang sanggup berhabis semata-mata untuk mengumpul koleksi semua jenis barangan berkaitan siri sains fiksyen tersebut.

Paling popular dan sering dijadikan koleksi sudah tentulah figura utama siri tersebut iaitu Darth Vader. Tapi lain pula halnya dengan penggemar Star Wars ini, Zaharin Adnan yang obses terhadap watak Kylo Ren.

Antara koleksi figura Kylo Ren milik Zaharin.

Melangkah masuk ke bilik yang dikhaskan untuk menyimpan koleksi patung figura itu membuatkan penulis tergamam! Mana tidaknya, segenap ruang dalam bilik itu dipenuhi dengan pelbagai barangan berkaitan Kylo Ren.

Bermula dengan patung, topi keledar edisi terhad, kostum, baju T, pedang, semuanya di susun kemas dan teratur dalam bilik berkenaan.

Zaharin, 40, memberitahu koleksi Kylo Ren itu dikumpul sejak tiga tahun lalu yang mana ada di antaranya dibeli menerusi dalam talian dan ada juga hadiah daripada kenalannya yang melancong ke luar negara.

Saya mempunyai hampir 1,000 jenis koleksi barangan berkaitan Star Wars bernilai RM20,000!

Zaharin Adnan 

Peminat tegar Star Wars 

"Sebenarnya saya sukakan sesuatu yang rare dan untuk watak Kylo Ren ini memang belum begitu ramai yang menjadikannya sebagai koleksi.

"Selain sering berkunjung ke kedai-kedai yang khusus menjual figura adiwira, saya pernah menjejalah hampir ke seluruh Malaysia untuk mencari apa sahaja yang menarik berkaitan Kylo Ren.

Zaharin menyusun koleksinya dalam kabinet yang ditempah khas.

"Tapi sekarang lebih mudah kerana kita boleh membuat pembelian dalam talian memandangkan di luar negara terdapat pelbagai jenis barang yang kebanyakannya berbeza," ujarnya.

Sehingga kini kata Zaharin, dia mempunyai hampir 1,000 jenis koleksi barangan Star Wars yang dianggarkan bernilai RM20,000!

Pun begitu katanya, hobi ini sebenarnya bukan sesuatu yang 'mahal' seperti tanggapan sesetengah pihak sebaliknya ia bergantung kepada kesabaran seseorang itu dalam membuat pelaburan.

Selain figura Kylon Ren, Zaharin turut mengumpul baju T Star Wars.

"Jika dulu sebelum kahwin saya mungkin boleh pejam mata sahaja membeli apa sahaja yang saya inginkan tetapi sekarang keluarga adalah keutamaan.

"Kebiasaannya saya akan kumpul duit terlebih dahulu jika saya ingin beli benda yang saya minat dan perlu tahu membezakan keperluan dan kehendak... Insya-Allah selamat," jelas bapa dua cahaya mata ini.

Dalam pada itu, Zaharin berkata, dua anak lelakinya juga semakin faham minatnya terhadap Kylo Ren malah tahu koleksi yang disimpan dalam bilik tersebut bukan barang mainan.

Ada antara koleksinya dibeli di luar negara.

"Jujurnya bilik ini adalah kawasan larangan untuk anak-anak dan mereka hanya akan masuk sekiranya saya ada.

"Pada usia yang masih kecil mereka masih belum faham tetapi mula memahami koleksi saya itu bukan barang permainan.

"Adakalanya mereka ada menunjukkan minat dan saya harap anak-anak dapat meneruskan hobi ini suatu hari nanti," katanya.

Star Wars, Kylo Ren

Artikel Lain