Kucing juga perlu dimanja... Ambil tahu perkara penting ini! - I-suke | mStar

Kucing juga perlu dimanja... Ambil tahu perkara penting ini!

Jangan pelihara kucing semata-mata kerana mahu ikut trend.

KUCING sememangnya haiwan comel dan manja menyebabkan peminat haiwan mahu menjadikannya sebagai peneman di rumah.

Namun tidak semua orang tahu bagaimana cara yang betul untuk menjaga haiwan kesayangan ini?

Lebih malang, ada juga sesetengah orang yang membela kucing bukan kerana minat tetapi hanya kerana mahu ikut trend. Orang lain bela kucing, dia pun ikut sama nak bela.

Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid atau lebih mesra dipanggil Pak Khalid memberitahu, mereka yang membela kucing perlu mengetahui beberapa perkara penting bagi memastikan kucing itu sentiasa gembira dan tidak terbiar.

"Paling penting jika hendak membela kucing, seseorang itu perlulah tahu kemampuan diri sendiri bukan sekadar minat, kerana kucing ini seekor haiwan yang manja dan perlukan perhatian.

"Sebab itu kalau hendak bela kucing kita kena tahu jenis atau baka apa yang nak dibela seperti bulu panjang atau pendek.

"Selepas itu sebelum dibawa balik ke rumah, kucing perlu divaksin terlebih dahulu. Vaksin sebanyak dua kali dalam tempoh dua bulan, dan tahun seterusnya hanya sekali. Ia untuk mencegah daripada sebarang penyakit," ujarnya.

Banyak perkara yang perlu diketahui sebelum anda mula memelihara kucing.

Katanya, selain perlu divaksin, kucing juga perlu diberi ubat cacing dalam tempoh tiga bulan sekali.

"Selain dua perkara penting itu (vaksin dan ubat cacing) kucing juga perlu diberi suplemen untuk kesihatan kucing itu sendiri.

"Selepas itu, makanan perlu diberi yang bersesuaian sama ada masak sendiri (ikan rebus) atau pun beli sahaja yang sudah dibungkus di kedai-kedai haiwan.

"Harus diingatkan, elakkan memberi makanan bergoreng kerana ia boleh menyebabkan bulunya gugur.

"Dan elakkan juga selalu memberi makanan basah kerana ia menyebabkan cacing serta gigi rosak.

"Makanan jenis biskut paling sesuai kerana ia juga mampu membersihkan gigi kucing itu sendiri," ujarnya.

Kucing yang dipelihara perlu sentiasa gembira dan mendapat perhatian daripada tuannya.

Selain itu, pembela kucing perlu menyediakan 'tandas' khas untuk kucing-kucing yang dibela.

"Bagi kucing rumah ia lebih mudah dijaga kerana kurang kotoran dan hanya perlu dimandikan sekurang-kurangnya sebulan sekali. Perlu diingatkan, hanya gunakan sabun atau syampu untuk kucing sahaja.

"Dan jangan lupa juga untuk letak ubat kutu, cuci telinga dan memotong kuku kucing itu," tambahnya.

Dalam masa sama, Pak Khalid menasihatkan pemilik haiwan supaya menggembirakan kucing-kucing mereka sekiranya tidak mampu lagi menampung penjagaan haiwan itu.

"Sekiranya tidak mampu kerana kucing asyik beranak, saya nasihatkan pergilah ke klinik veterinar, kembirikan kucing-kucing itu. Jika tidak berbuat demikian, maka lebih banyak kucing jalanan akan lahir disebabkan kes buang kucing ini.

"Sebenarnya kucing jalanan yang ada sekarang ini berpunca daripada pemilik kucing itu sendiri. Tak mampu nak jaga, terus buang atau lepaskan di tempat-tempat awam," katanya.

Tip penting permulaan penjagaan kucing:

1. Pastikan setiap kucing yang dibawa balik mendapat suntikan vaksin dan beri ubat cacing

2. Makanan kering/basah (mengikut kesesuaian)

3. Tandas untuk kucing berak/kencing - Sentiasa bersihkan tempat ini seperti tukar pasir sekurang-kurang dua kali sehari (mengikut jumlah kucing yang dibela)

4. Perlu dimandikan sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk kucing rumah (indoor) atau dua minggu sekali kucing di luar rumah. Guna bahan mandian khas untuk kucing sahaja.

5. Ubat kutu, potong kuku dan korek telinga.

6. Memberi perhatian agar kucing itu tidak stres.

tip , bela kucing

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Mawi meninggal dunia