Plat besi pemberian arwah suami jadi kenangan keluarga, “Setiap bulan ibu tak terlepas beli magnet...” - I-suke | mStar

Plat besi pemberian arwah suami jadi kenangan keluarga, “Setiap bulan ibu tak terlepas beli magnet...”

Antara koleksi miniature yang dikumpul oleh ibu Izzati. Foto ihsan Izzati Che Suza

SETIAP individu sudah tentu mempunyai hobi tersendiri dan yang pasti, setiap hobi bermula daripada minat terhadap sesuatu benda atau perkara.

Begitu sukakan magnet-magnet kecil, ruangan dinding rumah keluarga Izzati Che Suza atau mesra disapa Izzati dihiasi lebih 1,000 jenis koleksi magnet milik ibunya sekali gus menjadikan suasana rumah tampak lebih menarik.

Menurut gadis berusia 24 tahun itu, dia sangat kagum dengan hobi ibunya, Mazlina Mokhtar yang konsisten membeli magnet kegemarannya setiap bulan atas dasar minat.

ARTIKEL BERKAITAN: Hias rumah... tiada yang betul atau salah, semuanya berbalik kepada citarasa masing-masing 

ARTIKEL BERKAITAN:Ronaldo pemilik misteri Bugatti RM78 juta? Kenali 5 kereta mewah termahal dunia

"Ibu saya seorang pengumpul magnet seawal umurnya 17 tahun sehinggalah umurnya 53 tahun sekarang... hampir 37 tahun jugalah dia mengumpul semua koleksi yang ada.

Ruangan dinding rumah keluarga Izzati dipenuhi magnet pelbagai bentuk.

"Setiap bulan ibu tidak akan terlepas untuk membeli magnet sama ada ketika keluar berjalan-jalan atau bercuti di mana-mana tempat.

"Kesemua magnet yang dibelinya akan ditampal di peti sejuk sampai berkali-kali jugalah magnet kesayangan dia jatuh pecah di lantai," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Tambah Izzati, arwah bapanya yang meninggal dunia pada Julai pada tahun lepas akan berasa sedih setiap kali melihat magnet kesayangan ibunya terjatuh dan adakalanya pecah, justeru dia mengambil keputusan memasang plat besi di beberapa ruang di dinding rumah supaya kesemua koleksi magnet dapat dipamerkan di situ.

Setiap bulan ibu tidak akan terlepas untuk membeli magnet sama ada ketika keluar berjalan-jalan atau bercuti di mana-mana tempat

IZZATI CHE SUZA

PEMILIK STUDIO SENI LUKISAN

Sejak itu, koleksi yang dikumpul dan dipamerkan di dinding rumah akan menjadi 'hidangan' kepada mata tetamu yang pasti akan melihat keunikan dekorasi pada dinding kediaman mereka sekeluarga.

"Kebetulan masa tu kami akan berpindah rumah di Ayer Keroh, Melaka jadi ayah saya pun terus pasang plat besi pada dua ruangan dinding dan pintu gerbang di rumah.

"Setiap plat besi yang ada di dinding rumah itu adalah pemberian arwah ayah kepada ibu dan sentiasa menjadi kenangan untuk ibu sampai bila-bila," katanya yang juga merupakan pemilik studio seni lukisan di Ayer Keroh, Melaka.


Izzati bersama ibunya, Mazlina Mokhtar.

Koleksi magnet yang telah dikumpul kini menghiasi dua bahagian dinding rumah dan tidak ketinggalan, pintu gerbang rumah berkenaan juga turut dipenuhi magnet daripada pelbagai jenis bentuknya.

Terdapat bermacam bentuk magnet unik dikumpul seperti alat muzik, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan ringan dan macam-macam lagi!

Bukan itu sahaja, miniature juga menjadi kegemaran ibu Izzati.

Selain itu, bagi memastikan magnet-magnet berkenaan dijaga dengan baik dan rapi , Izzati memberitahu ibunya akan sentiasa membuang habuk pada magnet secara teliti dan berhati-hati.

Magnet-magnet milik ibu Izzati memenuhi ruangan dinding rumah keluarga mereka.

Dalam pada itu, posting yang dimuat naik Izzati di laman Twitter menjadi perhatian netizen sehingga mencecah kira-kira 13,000 ulang kicau dan 12,000 tanda suka.

Idea menghias segenap ruangan rumah dengan magnet yang ditampilkan sekali gus menjadikan ia satu inspirasi kepada orang lain yang melihatnya.

"If I datang rumah you mesti berdiri lama kat situ tengok satu persatu magnet rare," tulis salah seorang pengguna Twitter @Aairanissa.

"Comel dan geram tengok sebab kecil-kecil," komen @cikmammals.

magnet , hobi , koleksi

Artikel Lain