suria

Mesej sosial dalam lukisan ceria, tapi ada makna... 'Life is Wonderful' bukan biasa-biasa!

Fawwaz tampil dengan pameran solo keduanya berjudul Life is Wonderful sehingga 12 April ini. Foto LOW LAY PHOON

KARAKTER ikonik seperti Donald Duck yang diselubungi kebosanan, Pikachu yang sesat dan keterujaan Snoopy, semuanya digabungkan dalam koleksi terbaharu pelukis Fawwaz Shukri bertajuk Life Is Wonderful di Nadine Fine Art, Petaling Jaya.

Itu antara beberapa karakter yang dizahirkan di atas kanvas pelukis berusia 32 tahun itu.

"Demikianlah gambaran yang mengetengahkan adegan yang boleh kita lihat setiap hari dalam kehidupan tetapi dipamerkan dalam bentuk kartun dengan sentuhan humor dan fantasi.

Lukisan yang nampak cantik dan cerita namun mempunyai 1001 maksud di sebaliknya.

"Apabila saya membuat pemerhatian di sekeliling, saya sering geli hati dengan apa yang diperkatakan atau perilaku mereka yang mengingatkan saya tentang watak-watak dalam sitkom animasi atau kartun yang pernah saya tonton ketika zaman kanak-kanak.

"Dari situ saya dapat idea untuk menzahirkan koleksi saya dengan memasukkan watak-watak yang berlainan dalam karya saya untuk mewakili perbezaan dan pengalaman yang biasa kita lihat dalam kehidupan seharian," katanya kepada Star2.

Dalam Life Is Wonderful, Fawwaz memaparkan kehidupan seharian dalam pelbagai situasi termasuk di perhentian bas, tempat sampah, trak makanan atau deretan kedai - yang setiap satu daripadanya mempunyai kisah tersendiri menggunakan warna ceria bagi melambangkan keceriaan.

Namun dalam keceriaan itu, Fawwaz dengan cemerlang menggambarkan sisi lain dalam setiap paparan itu termasuk visual nombor peminjam wang (ahlong), lori sewa mahupun pusat urutan yang menjanjikan dunia!

Fawwaz mengambil masa lapan bulan untuk menyiapkan koleksi terbaharunya itu.

Fawwaz turut memasukkan mesej lain dalam karyanya seperti; 'Young, Dumb, Broke', Life Is Just A While dan 'If My Life Is For Rent'.

Dalam salah satu karyanya, Fawwaz turut memasukkan karakter seorang lelaki yang kelihatan tertekan sedang duduk di meja pool sambil memejamkan mata.

"Saya mahu lukisan saya nampak hidup dan cerita pada pandangan pertama namun apabila dilihat pada perinciannya anda akan sedar bahawa hidup ini tidak seindah disangka.

Antara koleksi dalam Life is Wonderful. 

"Tidak kira bagaimana hebat ia dilihat pada luaran, kehidupan boleh menjadi sangat tertekan, susah dan tidak adil.

"Mungkin menerusi grafiti masyarakat mempunyai ruang untuk meluahkan perasaan, berkongsi apa yang sukar untuk diperkatakan," katanya.

Life is Wonderful adalah pameran solo keduanya selepas tampil dengan Saturday's Matinee pada 2014.

Pada 2016, Fawwaz berkongsi pentas dengan Bambang “Toko” Witjaksono, iaitu pelukis Pop Art terkenal Indonesia bagi mengadakan pameran lukisan mereka.

Antara karakter kartun yang digunakan dalam lukisannya.

Bercakap mengenai koleksi terbaharunya itu, Fawwaz berkata, dia menghabiskan masa selama lapan bulan menyiapkannya..

Hasilnya kata Fawwaz, dia berjaya menggabungkan imaginasi dan fantasi menerusi visual yang menyeronokkan, namun mempunyai maksud mendalam tentang kehidupan seharian.

Life Is Wonderful masih dipamerkan di  Nadine Fine Art, 64, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya, Selangor sehingga 12 April dari pukul 11 pagi hingga 5 petang. (Isnin-Sabtu).

Artikel Lain