suria

Comelnya! Jangan tak percaya rumah mini kayu ini dibuat guna bahan kitar semula saja

Lilian Lee-Wylie bersama koleksi rumah mini kayu hasil ukirannya.

SEJAK kecil, Lilian Lee-Wylie gemar membaca kisah dongeng, selain sering kagum dengan watak-watak yang direka serta ilustrasi kotej dalam koleksi buku bacaannya.

Sehingga ke hari ini, guru berusia 54 tahun itu masih teruja dengan ukiran rumah kecil tidak kira daripada kayu atau tanah liat kerana ia mengembalikan memorinya terhadap buku kisah dongeng yang menjadi kegemarannya ketika kanak-kanak.

Lilian memberitahu dia sudah mengumpul lebih 100 rumah mini pelbagai bentuk yang ada di antaranya hadiah daripada kenalan ketika mereka melancong ke luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesej sosial dalam lukisan ceria, tapi ada makna... 'Life is Wonderful' bukan biasa-biasa!

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa kata hobi kena mahal? Ini 5 'hobi bajet' yang senang dan menyeronokkan

Antara ukiran kayu sebuah restoran nukilan Lilian.

Hobi mengumpul binaan comel itu bagaimanapun memasuki episod baharu apabila dia terjumpa rumah mini dipanggil drifwood yang diperbuat daripada kayu ketika melayari internet.

"Saya serta merta jatuh cinta apabila melihatnya," kata Lilian kepada Star2.

Kata Lilian, sejak itu dia mula berjinak-jinak dalam aktiviti mengukir rumah kayu menggunakan bahan kitar semula (termasuk papan yang diambil di tapak pembinaan) selain menambah kreativiti dengan cangkuk logam, wayar dan kain.

Bagi memberi visual menarik, Lilian turut menggunakan cat air termasuk pengilat kuku untuk mengecat kayu tersebut.

Suami Lilian, Fabian Beresfordwylie banyak membantunya dalam kerja-kerja menghasilkan rumah kayu.

"Rumah kayu saya agak mudah dibuat. Satu-satunya kesukaran adalah memotong dan membentuk kayu menjadi blok kecil.

"Apabila timbul rasa rajin, saya akan tambah aksesori pada ukiran seperti pokok atau bangku panjang seperti mana rumah-rumah kampung dulu.

"Saya guna barangan kitar semula yang sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan masalah alam sekitar dan menjadikannya sesuatu yang cantik," katanya yang turut dibantu oleh suaminya, Fabian Beresfordwylie, 54 dalam kerja-kerja pertukangan.

Percaya atau tidak, ukiran rumah kayu ini dihasilkan sepenuhnya menggunakan bahan kitar semula.

Cerita Lilian lagi, dia memang menggemari kerja pertukangan dan kraf, malah sebelum ini pernah menghasilkan patung mainan untuk anak saudaranya menggunakan kain perca.

"Mendiang ibu saya seorang tukang jahit yang mahir walaupun dia tidak pernah belajar secara formal. Barangkali bakat saya dalam kraf ini datang daripadanya," ujarnya.

Sementara itu, Lilian memberitahu minatnya itu kini bukan lagi sekadar hobi tetapi dapat menjana pendapatan apabila berjaya menjual hasil kerja tangannya itu.

Sehingga kini Lilian sudah menghasilkan lebih 100 rumah kayu untuk koleksi peribadi dan dijual.

Katanya, dia sudah pun menjual sebanyak 20 rumah kayu kepada rakan, selain menerusi Carousel dan Facebook malahan ada kenalan yang turut mempromosikan hasil kerjanya di luar negara.

Rumah mini pertama ukirannya dijual pada harga RM10 kepada seorang pengumpul kraftangan di Ipoh dan pernah menjual pada harga RM100 kepada pelanggannya.

Tambah Lilian, membuat ukiran kayu itu bukan sahaja hobi menggembirakannya tetapi ia sebagai terapi selain merapatkan hubungannya dengan suami.

Artikel Lain