suria

Hampir 40 tahun jadi jurufoto, Jeffri Iran simpan beribu biodata artis dan selebriti

Beberapa keping gambar Permaisuri Selangor yang dirakam ketika baginda bergelar penyampai berita di RTM.

JIKA anda melalui zaman persekolahan pada era 1990-an, barangkali anda pernah mengumpul biodata rakan-rakan sebaya. Paling tidak, ada buku autograf dan di dalamnya akan dicatatkan segala-gala luahan kata dan pesanan.

Paling menarik kalau kita mahu pastikan buku itu cepat penuh, kawan-kawan akan dipaksa mengisi biodata mereka untuk diabadikan sebagai kenang-kenangan.

Ini semua memori indah alam persekolahan sebelum adanya media sosial.

Hobi mengumpul biodata itu turut diaplikasikan oleh jurugambar Utusan Malaysia iaitu Mohd Jefri Iran. Menariknya, biodata yang dikumpul oleh Jeffri, 59, ini bukan sembarangan ya!

Ia terdiri dapada biodata selebriti tanah air seperti artis, ahli sukan, personaliti televisyen dan orang kenamaan dalam dan luar negara yang kebanyakannya ditulis sendiri oleh individu berkenaan.

Mohd Jeffri melihat biodata Allahyarham Saleem (kiri) ketika penyanyi itu masih muda.

Kalau nasib baik kita akan dapat melihat tanda tangan selebriti pada kertas biodatanya, itu pun jika individu terbabit sempat menurunkan tanda tangan.

Sepintas mengenai latar belakang Jeffri, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini pada mulanya menjadi jurugambar sambilan untuk majalah URTV pada hujung tahun 1970-an.

Pada masa itu Jeffri banyak membuat liputan artis-artis tempatan yang datang ke Johor untuk membuat persembahan pentas. Bermula dari situlah dia menyerahkan helaian demi helaian kertas biodata untuk diisi oleh artis.

Saya nampak dia (Sudirman) berpeluh-peluh ketika sedang membuat persembahan, saya yang berdiri di tepi pentas terus menghulurkan tisu tanpa berfikir panjang.

MOHD JEFFRI IRAN

Jurufoto

Hobi itu diteruskan oleh Jeffri apabila dia diterima masuk sebagai jurugambar sepenuh masa di Utusan Malaysia, Kuala Lumpur dan seterusnya memudahkan dia untuk terlibat secara aktif dalam dunia hiburan dan mengumpul biodata.

Sebut saja Abang Jeff, boleh dikatakan ramai artis mengenalinya dan kebanyakan mereka sudah tahu, jika Jeff menjadi jurugambar untuk sesi fotografi majalah atau akhbar terbitan Utusan, perkara yang harus dilakukan ialah mengisi borang biodata.

“Saya mula mengumpul biodata ketika masih bertugas sebagai jurugambar sambilan di Johor Bahru pada penghujung 1970-an sehingga kini.

Jeffri menyimpan semua biodata tersebut di dalam fail dan kemudian diletakkan secara tersusun di almari ini.

“Saya sendiri tidak terkira ada berapa banyak biodata dan gambar dalam simpanan saya, mungkin ada beribu,” katanya yang memasang impian untuk membuka galeri satu hari nanti.

Sepanjang hampir 40 tahun menjadikannya sebagai hobi, antara koleksi paling berharga dalam simpanan Jeffri ialah biodata Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman, Allahyarham seniman Datuk Sudirman dan penyanyi dari Indonesia, Allahyarham Nike Ardilla.

Kertas borang-borang biodata milik Jeffri yang ada beribu-ribu helaian itu disimpan dalam fail dalam bilik khas rumahnya.

Simpan biodata Permaisuri Selangor

Bercerita pengalamannya berjumpa Permaisuri Norashikin, bapa kepada seorang puteri ini berkata dia bertemu ketika baginda masih bergelar penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Biodata Permaisuri Norashikin yang masih disimpan kemas.

“Saya berjumpa dengan baginda yang ketika itu bekerja sebagai penyampai berita RTM. Saya tidak berapa ingat tugasan itu tentang apa tapi rasanya macam ada sesi fotografi di studio.

“Saya rasa kalau saya berjumpa lagi dengan baginda di mana-mana majlis, mungkin baginda masih ingat saya dan kami akan bertegur sapa kerana permaisuri mempunyai perwatakan yang mesra,” katanya.

Jeffri bagi tisu, Sudirman hadiahkan cermin mata

Jurugambar yang memperoleh sijil fotografi dari Institut Kemahiran Belia Negara Peretak pada tahun 1978 ini turut berkongsi pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika bertugas merakamkan gambar pada konsert Sudirman sekitar 1980-an.

Katanya, setiap kali Allahyarham Sudirman mengadakan konsert di Johor Bahru atau Singapura, pasti dirinya yang akan ditugaskan untuk membuat liputan tersebut.

“Saya nampak dia (Sudirman) berpeluh-peluh ketika sedang membuat persembahan, saya yang berdiri di tepi pentas terus menghulurkan tisu tanpa berfikir panjang.

Kenangan terindah bersama Allahyarham Sudirman.

“Kebetulan saya berada di tepi pentas untuk ambil gambar penonton yang hadir. Dia memberikan cermin mata plastik yang dipakainya sebagai kenangan, saya masih simpan sampai sekarang.

“Cuma kena cari di mana saya letak cermin mata itu,” katanya sambil menambah bahawa pemberian tersebut mempunyai nilai sentimental tinggi kerana ia dihadiahkan oleh seniman terkenal tanah air.

Pengalaman ke rumah Nike Ardilla

Kelebihan bergelar pengamal media membuka banyak pintu kepada Mohd Jeffri untuk bertemu ramai figura daripada pelbagai latar belakang, ia termasuklah penyanyi Nike Ardilla yang popular dengan lagu Ku Tak Akan Bersuara berasal dari Indonesia.

Menurut Jeffri, dia ke Indonesia pada Mac 1995 bersama seorang rakan wartawan hiburan untuk mengadakan sesi fotografi dengan beberapa artis seberang sempena sambutan Ramadan dan Aidilfitri.

Foto kanan ialah kenangan gambar bersama Nike Ardila seminggu sebelum penyanyi itu meninggal dunia. Foto kiri pula Jeffri (tengah) diapit oleh penyanyi Indonesia, Inka Cristie (kiri) dan Amy Search.

Sebelum pulang ke Malaysia, Jeffri berkunjung ke rumah Nike Ardilla yang terletak di Bandung.

Namun, ketika mereka tiba di rumah penyanyi itu, Nike Ardilla sedang tidur kepenatan disebabkan terlibat dengan konsert pada malam sebelumnya.

“Kami pun berbual dengan ahli keluarganya sahaja tetapi sebaik kami mahu berangkat pulang, Nike Ardilla pula terbangun daripada tidur.

“Sempat juga kami bertemu dengannya dan merakamkan beberapa keping gambar bersama,” ujarnya sambil berkata ia merupakan kenangan terakhirnya dengan penyanyi popular tersebut.

Kongsinya lagi dia seakan-akan tidak percaya apabila mendapat perkhabaran bahawa Nike Ardilla maut dalam sebuah kemalangan kira-kira seminggu selepas pertemuan tersebut.

Jeffri Iran

Artikel Lain