JIKA ditanya mengenai lokasi sebenar Seksyen 1 di Shah Alam, pasti ramai terkaku dan perlu berfikir sejenak sebelum boleh memberikan jawapan.Namun, bagi warga Universiti Teknologi MARA (UiTM), nama Seksyen 1 mungkin lebih mudah dikaitkan dengan satu lokasi yang cukup dikenali iaitu kampus utama UiTM Shah Alam. Walaupun nama Seksyen 1 jarang disebut dalam perbualan harian, kawasan itu sememangnya wujud secara rasmi dan menjadi lokasi kampus utama universiti berkenaan.Disebabkan Seksyen 1 sinonim dengan UiTM maka semakin jarang orang mengingati nama sebenar kawasan tersebut.Malah, bagi ramai penduduk tempatan, menyebut 'UiTM Shah Alam' sudah cukup untuk menggambarkan lokasi tersebut tanpa perlu menyebut nama seksyen.Seksyen 1 Shah Alam lebih dikenali sebagai UiTM Shah Alam. -Foto Universiti Teknologi MARAPun begitu, kampus UiTM di Shah Alam bukanlah lokasi asal institusi tersebut.Sejarah UiTM bermula pada 1956 apabila Dewan Latehan RIDA ditubuhkan di Jalan Othman, Petaling Jaya dan institusi itu pada asalnya diwujudkan bagi menyediakan pendidikan khusus untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat luar bandar. Pada 1965, Dewan Latehan RIDA berkembang dan dikenali sebagai Maktab MARA sebelum institusi itu melalui satu lagi perubahan besar pada 1967 bila mana ia secara rasmi ditukar nama kepada Institut Teknologi MARA (ITM). Perpindahan ke Shah Alam menjadi antara titik penting dalam perkembangan institusi tersebut kerana ia menyediakan ruang lebih luas untuk pengembangan program akademik, kemudahan serta jumlah pelajar lebih ramai.