SEBUT sahaja gergaji rantai ataupun chainsaw, perkara pertama yang terlintas di fikiran pastinya alatan tajam itu digunakan untuk menebang pokok atau memotong kayu.Namun, sejarah alat yang kini sinonim dengan industri pembalakan itu sebenarnya mempunyai kaitan yang agak mengejutkan dengan dunia perubatan. Jauh sebelum gergaji rantai digunakan untuk memotong batang pokok, perkakas itu pernah dijadikan sebagai alat pembedahan termasuk dalam prosedur bagi membantu wanita yang mengalami kesukaran melahirkan bayi.Pada penghujung abad ke-18, doktor berdepan situasi mencabar apabila saiz pelvis pesakit menyukarkan untuk bayi keluar dengan selamat.Sekitar tahun 1783, dua doktor dari Scotland iaitu John Aitken dan James Jeffray, memperkenalkan gergaji tangan fleksibel diperbuat daripada rantai kecil yang tajam.Reka bentuk tersebut membolehkan rantai dimasukkan ke kawasan tulang yang hendak dipotong dan digerakkan secara berulang-kali.Osteotome sejenis alat digunakan dalam proses kelahiran bayi era 80an.Selang beberapa dekad kemudian, seorang doktor dan pakar ortopedik Jerman, Bernhard Heine pula menambah inovasi pada rekaan itu dengan menghasilkan osteotome, sejenis alat pemotong tulang yang menggunakan rantai bergigi.Sejak itu, alat tersebut semakin meluas digunakan dalam kalangan doktor pakar obstetrik menerusi prosedur symphysiotomy iaitu kaedah sambungan tulang di bahagian hadapan pelvis.Pada zaman dahulu, pilihan pembedahan caesarean dianggap lebih berbahaya dan prosedur symphysiotomy dijadikan sebagai salah satu alternatif dalam situasi tertentu.Lebih mengejutkan, prosedur itu masih diteruskan walaupun selepas kaedah kelahiran secara caesarean semakin maju.Di Ireland, symphysiotomy masih dilakukan sehingga dekad 1980-an dengan Hospital Our Lady of Lourdes di Drogheda menjadi antara institusi yang paling banyak dikaitkan dengan kaedah tersebut. - Agensi