suria

Pekerja penghantaran dedah cara baharu ah long kesan peminjam... Buat tempahan COD, minta ambil gambar rumah!

Ada penghantar barangan tidak sedar mereka menjadi orang tengah ah long. -Gambar hiasan AI

SESUATU yang mengejutkan apabila komuniti penghantar barangan mendakwa semakin ramai golongan rider dijadikan orang tengah oleh ah long bagi mengesan mangsa mereka yang enggan membayar hutang.

Seorang rider tampil mendedahkan modus operandi itu setelah menyedari dia menjadi mangsa dan dipergunakan sindiket berkenaan hingga terpaksa menanggung kerugian masa, wang dan emosi.

Menurutnya, dia menerima satu pesanan luar biasa yang mengarahkannya mengambil sebuah raket di sebuah rumah. 

Namun sebaik tiba di lokasi, pelanggan berkenaan meminta dia menghubungi satu nombor tertentu sebelum mengarahkan supaya memanggil tuan rumah keluar.

Ada segelintir ah long menjadikan penghantar barangan sebagai 'mata-mata' mereka. -Gambar hiasan AIAda segelintir ah long menjadikan penghantar barangan sebagai 'mata-mata' mereka. -Gambar hiasan AI

“Apabila tuan rumah dah keluar, pelanggan suruh aku serahkan telefon kepada dia. Lepas tu berlaku pertengkaran antara mereka. Aku pula terpaku dekat situ, tak boleh buat apa-apa,” katanya.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila pertengkaran tersebut berlarutan, menyebabkan dia terpaksa menunggu lama tanpa sebarang kejelasan.

Lebih mengecewakan, pesanan dibuat secara tunai (COD), menyebabkan dia langsung tidak menerima bayaran selepas order dibatalkan.

“Aku rugi masa, duit order tak dapat, telefon pula dekat tangan orang tengah bertekak dan merayu dekat ah long. Aku jadi macam tunggul dekat situ,” luahnya.

Tambah individu itu, terdapat juga situasi ah long sengaja mempergunakan golongan rider untuk mengesan sama ada pemilik berada di rumah atau tidak.

Ini bagi memastikan individu yang berhutang benar-benar tinggal di alamat yang diberikan kepada mereka.

"Pesanan macam ni ah long cuma nak gambar rumah je. Biasanya mereka nak pastikan ada orang atau tidak dekat rumah tu," katanya.

Artikel Lain