suria

Bajet ketat, terpaksa lajak ‘mileage’ sebelum servis... Ini risiko pemilik kenderaan kena tanggung kemudian hari

Kereta perlu diselenggara mengikut jadual ditetapkan.

DALAM keadaan ekonomi yang mencabar, ramai pemilik kenderaan cuba berjimat dengan melambatkan servis berkala hingga melebihi had kilometer yang disyorkan.

Walaupun dibolehkan tetapi tindakan ini sebenarnya akan mengundang risiko besar kepada enjin dan keselamatan pemandu.

Seorang mekanik daripada pusat pembaikan aircond dan enjin kenderaan di Saujana Utama, Selangor berkongsi lima kesan buruk akibat menangguhkan servis kereta melebihi tempoh sepatutnya.

1. Minyak enjin jadi kotor

Minyak enjin berfungsi sebagai pelincir untuk mengurangkan geseran antara komponen dalaman enjin.

Apabila minyak tidak ditukar pada waktunya, ia menjadi kotor dan kehilangan keupayaan pelinciran.

Ini menyebabkan geseran meningkatmenjadikan enjin menjadi lebih panas dan akhirnya boleh mengalami kerosakan serius.

2. Filter atau penapis tersumbat

Penapis minyak, udara dan bahan api juga perlu ditukar mengikut jadual penyelenggaraan.

Jika dibiarkan terlalu lama, ia akan tersumbat dengan kotoran dan menghalang prestasi enjin.

Enjin akan bekerja lebih keras untuk mendapat bekalan udara dan bahan api yang mencukupi, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan api.

Terdapat risiko mengancam nyawa sekiranya kenderaan tidak diselenggara.

3. Tayar tidak diperiksa

Ramai pemandu mengabaikan pemeriksaan tayar apabila melewatkan servis.

Tekanan udara tidak mencukupi atau bunga tayar yang haus boleh meningkatkan risiko kemalangan, terutama ketika jalan basah.

Situasi seperti tergelincir akibat permukaan jalan licin boleh berlaku dan mengancam nyawa.

4. Cecair kenderaan boleh jadi pekat dan rosakkan komponen

Cecair penting seperti minyak brek, coolant dan minyak power steering juga perlu diperiksa dan ditukar mengikut jadual.

Jika dibiarkan terlalu lama, cecair ini boleh menjadi pekat mengakibatkan saluran tersumbat atau kebocoran.

Ini boleh menyebabkan kegagalan sistem brek dan power steering, menjadikan kenderaan sukar dikawal.

5. Keselamatan terjejas

Sistem suspension (suspensi) kenderaan juga boleh terjejas akibat servis yang tertangguh.

Komponen seperti absorber dan bushing haus boleh menyebabkan kestabilan kereta terganggu, menjadikannya sukar dikawal, terutama pada kelajuan tinggi atau ketika melalui selekoh tajam.

Kesimpulannya, melajakkan mileage untuk berjimat mungkin nampak seperti pilihan mudah, tetapi kesan jangka panjangnya boleh mengundang bahaya besar.

Jika benar-benar ingin berjimat, amalkan penyelenggaraan berkala dan pastikan komponen penting dalam keadaan baik.

Artikel Lain