suria

Ketahui 5 info ini sebelum anda ucap selamat tinggal kepada bedak bayi ‘lejen’ Johnson & Johnson

Johnson & Johnson mengumumkan ia akan menamatkan penjualan bedak bayi berasaskan talkum di seluruh dunia pada 2023.

KEBANYAKAN orang pasti mempunyai kenangan 'membesar' dengan bedak bayi Johnson & Johnson.

Namun pada tahun hadapan, bedak 'lejen' (legenda) tersebut tidak lagi akan kelihatan di rak-rak pasar raya.

Ini kerana baru-baru ini, syarikat Johnson & Johnson mengumumkan ia akan menamatkan penjualan bedak bayi berasaskan talkum di seluruh dunia pada 2023.

Syarikat tersebut telah pun menghentikan penjualan talkum bayi ikonik itu di Amerika Syarikat dan Kanada pada 2020 selepas ia menjadi sasaran beribu-ribu tindakan undang-undang berhubung keselamatan pengguna.

Menurut laporan, serbuk talkum ikonik itu telah tercemar dengan asbestos toksik dan menyebabkan masalah kesihatan yang serius, termasuk mesothelioma dan kanser ovari.

Walaupun berdepan dengan pelbagai dakwaan, Johnson & Johnson tetap mempertahankan produk tersebut selamat digunakan dan tidak menimbulkan risiko kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu sanggup telan produk pemutih demi lahirkan anak kulit cerah... Doktor ini kongsi 7 kesilapan wanita hamil

Berikut adalah info mengenai isu tersebut:

1) Pada 2018, siasatan Reuters mendapati bahawa syarikat itu selama beberapa dekad mengetahui bahawa asbestos dan karsinogen terdapat di dalam produk talkumnya.

2) Melalui rekod dalaman syarikat, keterangan percubaan dan bukti lain menunjukkan sejak 1971 hingga awal 2000-an, talkum mentah dan serbuk siap syarikat itu kadangkala diuji positif untuk sejumlah kecil asbestos.

3) Namun Johnson & Johnson berulang kali mengatakan produk talkumnya selamat dan tidak menyebabkan kanser sebagai tindak balas kepada bukti pencemaran asbestos yang dibentangkan dalam laporan media di bilik mahkamah dan di Capitol Hill.

4) Berdepan kira-kira 38,000 saman, Johnson & Johnson berkata keputusan untuk menamatkan penjualan produk itu adalah kerana berkaitan dengan 'mengoptimumkan' portfolio produknya.

5) Berbanding menggunakan talkum, Johnson & Johnson membuat keputusan komersial untuk beralih kepada pengeluaran bedak bayi berasaskan tepung jagung yang mana sudah dijual di beberapa negara di seluruh dunia. - Asbestos.com/ Reuters

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain