suria

Larangan penggunaan 'Oppa', sekatan habis-habisan budaya Kpop antara 7 larangan di Korea Utara atau terima hukuman berat!

Kawalan ketat itu dibuat susulan agar rakyat Korea Utara tidak melupakan asal-usul, adat dan budaya yang sedia ada.

KOREA Utara dikenali sebagai negara yang menolak budaya asing, sehingga memberi amaran kepada rakyatnya agar menjauhi semua perkara berkaitan Korea Selatan termasuklah fesyen, muzik, gaya rambut dan juga slanganya.

Sedekad yang lalu, Korea Selatan muncul sebagai kuasa budaya yang menggerunkan dengan produk kecantikan hingga trend Kpop dan Kdrama yang menjadi kegilaan peminat di seluruh dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak ke Korea? Pastikan 5 restoran dan kafe milik artis Kpop ada dalam 'bucket list' anda!

Umum ketahui bahawa Korea Utara telah ditutup sepenuhnya untuk menerima pelancong dari seluruh dunia sebelum ini, dengan kawalan ketat ke atas maklumat yang masuk atau keluar.



Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berucap berhubung pelaksaan perintah kawalan ketat budaya asing ke atas rakyatnya.

Malah bahan asing termasuk filem dan buku diharamkan sama sekali, hanya beberapa pengecualian dibenarkan kerajaan negara itu. Mereka yang ditangkap kerana membawa barang asing akan menghadapi hukuman berat.

Sekatan telah sedikit berkurangan dalam beberapa dekad kebelakangan ini, terutamanya apabila hubungan Korea Utara dengan China semakin erat.

Langkah tentatif telah membolehkan beberapa elemen Korea Selatan termasuk sebahagian daripada budaya Kpopnya menembusi ke negara itu.

Pun begitu, keadaan di Korea Utara kini mengalami kemerosotan dengan pantas dan peraturan ketat telah dilaksanakan semula, mengingatkan lagi tindakan keras sejarah silamnya kepada rakyat negara itu.

1. Haram panggil 'Oppa' di Korea Utara

Pada tahun 2021, Ahli Parlimen Korea Selatan, Ha Tae-keung berkata, ketika menghadiri taklimat oleh agensi perisik negara itu dimaklumkan tentera Korea Utara sedang melaksanakan peraturan ketat mengenai cara rakyatnya berpakaian dan bertutur.

"Wanita Korea Selatan sering menggunakan istilah 'Oppa' untuk pasangan dalam menunjukkan rasa romantik yang kini dilarang di Utara. Sebaliknya, wanita Korea Utara mesti merujuk kepada kekasih mereka sebagai 'rakan seperjuangan lelaki'," katanya.

Video propaganda di negara ini juga mengecam tingkah laku yang menunjukkan 'pengaruh asing', seperti paparan kasih sayang di hadapan orang ramai. Menurut Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan, mereka yang melanggar peraturan adalah 'musuh besar revolusi' negara itu.

2. Kawalan ketat gaya rambut

Pakaian, gaya rambut dan bahasa adalah cerminan keadaan pemikiran dan semangat bagi setiap rakyat di Korea Utara.

"Walaupun orang muda menyanyi dan menari, mereka harus mengikut melodi dan irama yang sesuai dengan keperluan zaman dan sentimen kebangsaan rakyat, dan mengembangkan gaya budaya," katanya lagi.

Bagaimanapun, toleransi Korea Utara terhadap pengaruh asing sentiasa berubah-ubah seiring dengan kesejahteraan ekonomi dan diplomasi antarabangsanya.

3. Pengaruh muzik Korea Selatan

Ekonomi Korea Utara menjunam pada 1990-an selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, yang menamatkan aliran bantuan makanan meninggalkan China sebagai rakan dagang terbesar negara itu.

Sebaliknya, ekonomi Korea Selatan melonjak ke tempat keempat terbesar di Asia setanding dengan negara Eropah seperti Perancis dan Itali. Kuasa trend Kpop telah berkembang pesat apabila budaya itu mula dieksport seperti muzik, makanan dan produk kecantikan yang menembusi pasaran dunia.

Hal berkenaan menyebabkan Korea Utara sangat berhati-hati untuk membenarkan sebarang pengaruh asing seperti slang Korea Selatan meresap ke negara yang menggerunkan itu.

4. Kemiskinan rakyat Korea Utara

Korea Selatan jauh lebih maju jika dibandingkan dengan Korea Utara - sehingga ada yang mati akibat kelaparan sebaliknya rakyat di negara jiran hidup aman dan damai selain bekalan makanan mencukupi.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, kononnya mengakui bahawa keadaan negaranya yang kekurangan bekalan makanan sebelum ini bukanlah disebabkan oleh dirinya, namun ia terjadi susulan taufan dan banjir yang sering melanda negara itu.

Kim berkata, dirinya tidak takut akan kebangkitan besar-besaran daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya malah menegaskan bahawa hukuman berat akan dikenakan kepada mereka yang berani membuka mulut.

5. Larangan menonton drama Korea Selatan

Menurut bekas Ketua Biro Pyongyang Associated Press, Jean Lee, terdapat ancaman jika ada yang menonton drama Korea Selatan dan melihat kehidupan negara itu dengan imej Seoul dan kehidupan mereka yang bebas.

Menurut Lee, golongan muda adalah sasaran terbesar tindakan keras angkatan tentera Korea Utara kerana mereka yang paling terdedah kepada pengaruh baharu di negara yang penuh idola itu.

Perbincangan antara Utara dan Selatan telah bermula dan terhenti beberapa kali sejak beberapa tahun yang lalu - sikap Korea Utara terhadap penolakan budaya pop asing nampaknya semakin berterusan.

6. Korea Utara tuduh Korea Selatan eksploitasi idol seperti hamba

Pada Disember tahun lalu, Korea Utara meluluskan undang-undang baharu untuk menghalang penyebaran kandungan yang tidak diluluskan oleh penapis kerajaan mereka.

Tahun lalu, Kim mencadangkan kawalan yang lebih besar kepada penyebaran kandungan budaya asing terhadap masyarakatnya.

Manakala bulan berikutnya, sebuah laman web propaganda Korea Utara, telah dibentuk dan menuduh Korea Selatan mengeksploitasi idola seperti hamba.

7. Sekatan barangan Korea Selatan ke Korea Utara

"Barangan dari Korea Selatan disekat sepenuhnya begitu juga orang ramai tidak dibenarkan merentasi sempadan agar mereka tidak boleh mendapatkan perkara yang diinginkan," kata Lee.

Ujarnya, pemerintah negara yang menakutkan itu mengeluarkan notis ugutan terhadap rakyat supaya melupakan niat untuk membeli atau mendapatkan barangan idaman daripada negara jiran disamping mengajak mereka kembali kepada tradisi asal.

Lee menjelaskan bahawa ikatan parti kerajaan di negara itu sentiasa berubah malah mempengaruhi perubahan peraturan mengenai perkara yang boleh diterima apabila ia melibatkan kandungan asing dan rakyat perlu memberi perhatian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain