suria

Risau tahap kegunaan media sosial anak anda? Instagram kini lebih selamat, perkenal garis panduan baharu buat ibu bapa

Ibu bapa boleh meletakkan telefon kepada mod ini untuk mengelakkan anak-anak membuka laman sesawang tidak sepatutnya.

REMAJA selalunya lebih mahir menggunakan rangkaian sosial berbanding ibu bapa mereka, tetapi itu tidak bermakna perbuatan anak-anak ini tidak perlu dipantau.

Itulah sebabnya Instagram memberi ibu bapa dan penjaga nasihat yang jelas tentang cara memastikan anak mereka menggunakan platform ini dengan selamat.

ARTIKEL BERKAITAN: Hobinya makan tapi pemalas! Buat penggemar Oyen... kenali si bulus kesayangan anda

Nasihat itu berkemungkinan juga ditujukan kepada ibu bapa yang kebimbangannya dibangkitkan oleh tajuk berita terkini mengenai kesan kesihatan mental disebabkan oleh Instagram.

Garis panduan baharu itu dibuat selepas syarikat induk Facebook ketika itu berada di bawah penelitian apabila pemberi maklumat membocorkan maklumat menunjukkan bahawa syarikat itu menolak kebimbangan dalaman berkaitan bahaya psikologi yang dicetuskan Instagram kepada remaja.

Kini Instagram menunjukkan kepada ibu bapa apa sebenarnya yang mereka perlu lakukan untuk menjadikan platform itu lebih selamat untuk anak-anak mereka.

Berikut ialah beberapa tetapan paling penting yang dicadangkan oleh syarikat.



Tetapkan mod kepada privasi supaya segala maklumat anak anda tidak akan jatuh kepada orang yang tidak sepatutnya.

Urus privasi

Jika tidak mahu kandungan milik anak anda boleh dipertontonkan kepada semua orang di dalam atau luar Instagram, anda harus menyemak tetapan privasi dengan anak anda.

Di Instagram, akaun awam boleh ditukar menjadi akaun peribadi. Ini bermakna apa sahaja yang mereka siarkan hanya akan dikongsi dengan pengikut.

Untuk kanak-kanak bawah umur yang mendaftar untuk Instagram buat kali pertama, tetapan ditetapkan secara automatik kepada "peribadi".



Individu yang telah disekat pada akaun lama, tetap tidak akan dapat menjumpai profil anak anda jika mereka cipta akaun baru sekalipun.

Sekat akaun

Anda dan anak anda boleh menyekat sesiapa sahaja yang anda atau mereka tidak mahu lihat atau dekati di Instagram. Untuk melakukan ini, klik pada profil kenalan yang anda ingin sekat dan kemudian klik pada tiga titik di sudut kanan atas.

Semua akaun baharu yang dibuat oleh pengguna yang disekat juga boleh disekat. Sekatan juga boleh dialih keluar semula dalam tetapan. Pengguna yang anda sekat tidak akan dimaklumkan tentang tindakan ini.



Mengehadkan penggunaan media sosial kepada anak anda adalah perlu bagi mengelakkan mereka leka dengan perkara tidak berfaedah.

Menetapkan had masa penggunaan

Di bawah "Aktiviti anda" dalam profil sendiri, anda boleh melihat berapa banyak masa yang diluangkan oleh anak-anak di Instagram secara purata setiap hari.

Jika telah bersetuju dengan masa penggunaan tertentu, anda boleh menyediakan peringatan harian di tempat yang sama sebaik sahaja masa yang dipersetujui dicapai.



Diharap dengan pengenalan sistem ini, pengguna lebih cakna tentang bahaya penggunaan Instagram tanpa pemantauan daripada ibu bapa.

Usaha untuk menjadikan Instagram kelihatan lebih selamat untuk remaja dibuat selepas pemberi maklumat syarikat Frances Haugen menuduh syarikat itu pada Oktober mendedahkan Instagram memburukkan lagi masalah imej badan seorang daripada tiga gadis muda dan juga mencetuskan niat membunuh diri dalam kalangan remaja.

Dakwaan yang dibuat oleh Haugen, bekas eksekutif Facebook, telah menguatkan kes pengkritik Facebook di Kongres AS yang mendesak syarikat itu dibubarkan.

Penyelidik Facebook dilaporkan berkata bagi kebanyakan remaja - terutamanya perempuan - Instagram meningkatkan rasa tidak yakin dengan mereka sendiri, yang seterusnya memberi kesan kepada kesihatan mental mereka. – dpa

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain