suria

Lena ke pengsan? Ini 5 sebab kenapa kucing anda tidur lebih lama dari biasa

Anak kucing akan tidur lebih lama.

KUCING memang terkenal dengan tabiatnya yang suka tidur tetapi pernahkah anda terfikir mengapa adakalanya haiwan ini tidur lebih lama daripada kebiasaan?

Rata-rata kucing akan tidur selama 12 ke 16 jam dalam sehari dan jumlah itu boleh meningkat sehingga 20 jam untuk anak kucing dan kucing yang sudah berusia.

ARTIKEL BERKAITAN: Habis pasu kesayangan pecah dikerjakan Oyen... Ini 3 sebab kucing gemar jatuhkan barang!

Meskipun tempoh tidur si bulus berbeza-beza, tetapi secara dasarnya kucing akan menghabiskan sekitar dua pertiga hidupnya untuk tidur.

Bagaimanapun, perubahan pola tidur termasuk gejala lain harus diperhatikan oleh pemilik bagi memastikan kucing anda mungkin perlu berjumpa dengan doktor haiwan.

Berikut adalah beberapa alasan mengapa kucing kesayangan anda tidur lebih lama.

1. Cuaca

Percaya atau tidak, cuaca juga boleh menjadi alasan kucing tidur lebih lama. Jadi jangan tanya mengapa sekiranya pada musim hujan ia tidur lebih lama. Jumlah cahaya juga turut mempengaruhi tabiat tidur kucing kesayangan anda.

2. Kebosanan

Kucing yang berasa bosan atau dalam keadaan tertekan akan tidur lebih lama. Jika anda tinggalkan si bulus sendirian di rumah ketika keluar bekerja, jangan terkejut ia menghabiskan sebahagian masanya dengan tidur.

Sebaik-baiknya, sediakan alat permainan di rumah agar ia tidak berasa bosan selain menyediakan makanan dan minuman secukupnya.

3. Obesiti

Obesiti adalah alasan lain mengapa kucing suka tidur disebabkan pola pemakanan tidak seimbang dan kurang bergerak. Kucing yang dibiarkan bersendirian dengan makanan akan menyebabkan ia mengalami berat badan berlebihan.

4. Usia

Seiring bertambahnya usia si bulus, ia mampu tidur selama 18 ke 20 jam sehari. Tetapi ia akan tetap dengan rutin harian mereka selepas bangun - bermain, makan, mencari perhatian sebelum kembali tidur.

Bagi pemilik kucing, amat penting untuk memberi perhatian lebih kepadanya agar ia lebih aktif dan tidak berasa terabai dan menghabiskan waktu dengan tidur.

5. Kemurungan

Kucing yang tidur berlebihan dengan gejala seperti hilang nafsu makan, menyendiri adalah tanda ia mengalami kemurungan. Harus difahami, kemurungan pada kucing tidak sama dengan manusia. Keadaan ini kebiasaannya disebabkan si bulus mungkin sedang sakit.

Jika hal ini berlaku, sebaik-baiknya bawa kucing anda berjumpa doktor haiwan bagi memastikan tiada penyakit serius dialaminya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain