suria

Macam-macam ada! ImamConnect platform servis berlandaskan Islam sedunia... pakar Malaysia pun terbabit sama

ImamConnect menyediakan perkhidmatan untuk umat Islam.

SITUASI pandemik telah memaksa masyarakat sedunia untuk melakukan penjarakan sosial dan 2020 menyaksikan peralihan yang pantas secara dalam talian membabitkan semua aspek kehidupan.

Ini termasuklah bidang pekerjaan, pendidikan dan komunikasi selain pergantungan untuk beli-belah yang semuanya dilakukan secara dalam talian.

ARTIKEL BERKAITAN: Madu kelulut mampu bantu jana pendapatan, sarang lebah dibina di tanah terbiar sekolah-sekolah tahfiz

Menyedari hakikat itu, lahirlah platform inovatif ImamConnect yang menyediakan perkhidmatan untuk umat Islam yang meliputi rangkaian menyeluruh perkhidmatan berkaitan keagamaan dan bukan keagamaan daripada kajian al-Quran, perkahwinan, pengebumian dan wasiat dan sebagainya.



ImamConnect menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk ceramah, tazkirah, kaunseling dan sebagainya.

Ia juga merangkumi bimbingan kehidupan, kaunseling keluarga dan pendidikan di rumah yang sejajar dengan nilai-nilai Islam.

Menerusi platform itu pengguna juga boleh mendapatkan nasihat daripada pakar motivasi, ustaz dan ustazah, ilmuwan Islam tempatan dan antarabangsa dalam membantu menyelesaikan masalah atau meminta pandangan tentang sesuatu perkara.

Kesemua mereka yang dipilih melalui prosedur pemeriksaan dan semakan latar belakang yang ketat oleh pasukan ImamConnect bagi memastikan keselamatan pengguna secara capaian kepada perkhidmatan profesional berkualiti tinggi.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ImamConnect yang juga ahli perniagaan Islam Britain, Muddassar Ahmed berkata, menerusi ImamConnect, pengguna boleh mencari pakar berdasarkan kawasan geografi dan bidang kepakaran.



Ilmuwan dan pakar agama dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Melalui pilihan itu kata Muddassar, pengguna boleh mendapatkan biografi penyedia khidmat, kadar bayaran perkhidmatan dan ulasan pengguna terhadap penyedia perkhidmatan berkenaan, serta mengetahui kelayakan dan pensijilan berkaitan.

"Pada akhirnya pengguna boleh menghantar pesanan kepada penyedia perkhidmatan tersebut secara terus untuk menempah perkhidmatan dan membuat bayaran menerusi portal yang selamat dan terjamin seperti PayPal," katanya.

Sementara itu, platform berkenaan katanya membolehkan penyedia perkhidmatan meningkatkan pendapatan mereka ketika pandemik ini memandangkan ramai yang terkesan dari segi kewangan dengan kesukaran untuk bekerja dan kekurangan peluang mengajar di khalayak ramai disebabkan kekangan dari segi kehadiran di masjid dan khidmat keagamaan secara tradisional.

Menerusi ImamConnect, penyedia perkhidmatan di seluruh dunia boleh mendaftar di platform berkenaan dan meluaskan pasaran pengguna mereka melangkaui sempadan geografi.

Dibangunkan oleh sepasukan pakar komunikasi, pemimpin perniagaan dan pakar teknologi Islam berpangkalan di Brussels, London, Kuala Lumpur dan New York, ImamConnect dilancarkan Ogos tahun lalu dengan senarai awal lebih daripada 70 penyedia perkhidmatan yang memiliki latarbelakang sahih yang menawarkan kepakaran mereka dari seluruh dunia termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan Malaysia.



Pengasas ImamConnect, Muddassar Ahmed.

“Ia menawarkan satu kaedah baharu sepenuhnya kepada perkhidmatan berlandaskan Islam dan sokongan kepada penyedia perkhidmatan yang mengamalkan nilai-nilai Islam ini untuk berhubung dengan jutaaan masyarakat di seluruh dunia menerusi kaedah yang memastikan kualiti dan kebolehpercayaan.

"Platform berkenaan mewakili perubahan langkah dalam memanfaatkan kuasa teknologi maklumat bagi menawarkan ketelusan, ketekunan, kebertanggungjawaban dan kecekapan digital komuniti dalam menyediakan perkhidmatan berasaskan Islam, hanya menerusi butang carian, ” katanya.

Hari ini, ImamConnect terus berkembang dengan penyedia perkhidmatan dan pengguna baru yang berdaftar di lebih banyak negara dan merancang untuk membuka pejabat serantau di Malaysia.

Sejak penubuhannya, pasukan pelbagai negara di sebalik ImamConnect terdiri daripada kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia termasuk Syed Azmin bin Syed Nor – pengasas Commerce Dot Com – yang berada dalam Lembaga Penasihat ImamConnect.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain