suria

Wow! Transformasi cukup mengagumkan... Pengetua ambil masa 100 hari dekorasi sekolah, segala-galanya untuk pelajar seterusnya komuniti

Perbandingan sebelum dan selepas di beberapa kawasan sekolah itu.

JIKA dilihat pada gambar-gambar dekorasi dan hiasan dalaman Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Mahmood Iskandar ini, pasti ramai yang tidak menyangka perubahan itu dilakukan hanya dalam tempoh 100 hari.

Tetapi itulah sasaran diletakkan pengetuanya, Datin Zamhirah Osman sejak ditukarkan ke sekolah itu di Batu Pahat, Johor pada Oktober tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahu nak buat apa semasa PKP? Jom tonton 9 saluran YouTube pilihan mStar

Bercakap mengenai transformasi itu, Zamhirah memberitahu minggu pertama beliau ditukarkan ke sekolah itu banyak dihabiskan dengan meneliti kawasan sekitar sekolah termasuk kemudahan seperti perpustakaan, makmal komputer, kantin, bilik guru dan sebagainya.

"Sekolah ini alhamdulillah masih dalam keadaan baik meskipun telah lama ditubuhkan iaitu sekitar tahun 1960-an dan saya fikir kenapa tidak kembalikan zaman kegemilangannya.



Pengetua SMK Tunku Mahmood Iskandar Batu Pahat, Johor iaitu Datin Zamhirah Osman meletakkan sasaran 100 hari mencantikkan sekolah itu.

"Pada peringkat awal, saya banyak memerhati persekitaran sekolah sambil berbual-bual dengan guru-guru yang lebih lama di situ untuk mendapatkan informasi tentang kekurangan dan penambahbaikkan yang boleh dilakukan.

"Seminggu juga saya tengok keadaan sekeliling dan saya beritahu diri banyak perubahan perlu dilakukan bagi memastikan guru dan pelajar lebih selesa sepanjang tempoh berada di sekolah," katanya kepada mStar.

Konsep elegan dan 'feels like home'

Dalam pada itu, Zamhirah menjelaskan beliau menampilkan konsep 'feels like home' dalam transformasi itu kerana tujuannya untuk menarik pelajar datang ke sekolah selain memberi keseronokan dan keselesaan kepada semua warga SMK Tunku Mahmood Iskandar.

Katanya, beliau percaya, sekiranya kawasan dan kemudahan di sekolah lengkap dan dihias menarik ia memberi semangat kepada pelajar untuk menghabiskan masa lebih banyak di sekolah.

"Alhamdulillah, impian saya itu berjaya apabila kehadiran pelajar di sekolah saya paling penuh di dalam daerah selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.



Konsep elegan diketengahkan Zamhirah dalam hiasan dalaman kawasan sekolah bagi keselesaan guru dan pelajar.

"Saya bukan sahaja mahu memberikan keselesaan tetapi mahu pelajar-pelajar menghabiskan lebih banyak masa di sekolah berbanding di tempat lain yang tidak membawa sebarang faedah.

"Tetapi untuk mencapai hasrat itu, pihak sekolah perlu menyediakan semua kelengkapan dan keselesaan agar mereka boleh belajar dan melakukan pelbagai aktiviti lain dengan tenang dan selamat," jelasnya.

Tidak hanya memfokuskan kepada keselesaan, Zamhirah mengakui hiasan di sekolah itu banyak dipengaruhi dengan elemen elegan yang dapat memberi impak mewah.

"Saya memang gemarkan konsep elegan dan Alhamdulillah semua guru-guru juga turut menyukainya. Alhamdulillah selain mendapat sumbangan daripada koperasi, ramai juga ahli alumni yang turut menyumbang kepada projek besar-besaran ini.

"Ini termasuklah sumbangan peribadi guru-guru dan komuniti lain bagi membeli pelbagai barangan untuk mencantikkan kawasan sekolah.



Ruang yang dimanfaatkan untuk kegunaan pelajar.

"Saya juga bersyukur kerana di sekolah ini juga banyak tersimpan pelbagai perabot lama yang masih kukuh dan boleh digunakan semula dengan sedikit sentuhan kreativiti," katanya.

Ini termasuklah menguna pakai sebuah almari kayu lama yang di cat semula sebagai tempat meletak buku di perpustakaan sekolah tersebut.

Sebagai menarik perhatian pelajar dan pengunjung luar, Zamhirah turut meletakkan alatan gamelan yang tersimpan rapi di sekolah itu sebagai dekorasi di lobi utama sekolah.

Pelbagai kemudahan guru, pelajar

Antara perkara pertama yang dilakukan Zamhirah adalah mewujudkan Iskandar Digital Area yang lengkap dengan 15 komputer serta kemudahan internet.

Bagi memastikan pelajar tidak berasa lapar selepas waktu sekolah, Zamhirah turut mewujudkan Iskandar La Cafe yang menjual pelbagai makanan dan minuman.



Studio TV yang bagaikan ruang tamu di rumah sendiri.

"Iskandar Digital Area antara tempat yang mendapat perhatian pelajar memandangkan di kawasan ini pautan internet agak perlahan. Namun dengan adanya studio ini ia memberi peluang kepada pelajar mengakses internet dan menggunakan komputer untuk pelbagai tugasan serta menambah ilmu pengetahuan," ujarnya.

Tidak terhenti di situ, bersama guru-guru dan petugas sokongan turut mengubah wajah perpustakaan yang menjadi nadi sekolah itu agar tampak lebih menarik.

Selain itu, Iskandar TV dan Radio FM turut diwujudkan sekolah itu seperti mana yang pernah dilakukan di sekolah terdahulunya.

Kerjasama guru, staf sokongan buahkah hasil

Yang pasti, kata beliau semua idea tersebut sama sekali tidak dapat direalisasikan tanpa bantuan semua guru-guru dan staf sokongan serta pelajar SMK Tunku Mahmood Iskandar.

Jelasnya, kesemua mereka memberikan komitmen cemerlang dalam memastikan impian untuk melihat sekolah itu dalam keadaan cantik tercapai.



Zamhirah (dua dari kanan) bersama guru-guru di Iskandar La Cafe.

"Bayangkan ada guru terpaksa menghabiskan lebih masa di sekolah bagi mengecat, memindahkan perabot, membersihkan kawasan sekolah dan sebagainya.

"Meskipun saya sedar tugas itu mencabar namun Alhamdulillah kami bersama-sama dapat menjayakan transformasi ini kerana setiap kesusahan itu pasti ada kemanisannya.

"Saya cukup terhutang budi dengan semua jasa warga sekolah ini dan berharap selepas ini dapat melakukan perkara lain dalam mencantikkan lagi sekolah kesayangan kami ini," ujarnya.

Meskipun kini pelajar tidak dibenarkan hadir ke sekolah ekoran pelaksaan PKP, namun Zamhirah cukup teruja dengan respon diberikan pelajar di laman sosial yang rata-rata tidak sabar kembali ke sekolah.

Malah kata Zamhirah, beliau berhasrat untuk membuka pintu sekolah ini kepada komuniti agar mereka sama-sama mendapat manfaat terhadap transformasi dilakukan.

"Pelbagai kemudahan di sekolah ini saya yakin boleh juga dimanfaatkan oleh komuniti seperti ada yang ingin buat kursus umrah atau haji, mesyuarat, aktiviti komuniti dan sebagainya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain