suria

Tak tahu nak buat apa semasa PKP? Jom tonton 9 saluran YouTube pilihan mStar

Antara saluran YouTube yang memaparkan perkahwinan campur yang cukup menghiburkan dan bermanfaat.

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali pada Mac tahun lalu telah banyak mengubah corak kehidupan ramai daripada kita apabila lebih banyak menghabiskan masa di rumah bagi membendung penularan Covid-19.

Apabila sudah duduk di rumah, maka timbul pelbagai idea untuk menghiburkan diri sendiri pada waktu senggang termasuklah menghabiskan banyak masa menonton pelbagai program di saluran YouTube.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 idea aktiviti boleh buat bersama keluarga sepanjang PKP, pilih saja yang mana suka!

Siapa boleh lupa fenomena pasangan suami-isteri berbangsa India, Sugu Pavitra yang tiba-tiba terkenal dan menjadi pujaan rakyat Malaysia yang jatuh hati dengan video masakan dimuat naik di saluran YouTube milik mereka.

Malah beberapa saluran YouTube lain seperti Azfar Heri, Che Nom, Isa Isarb, iChang RM dan Kumaar Family antara mendapat perhatian penonton sepanjang tahun lalu.

Memandangkan PKP kembali lagi (dan dijangka bersambung) nampaknya ramai daripada kita akan kembali menghabiskan masa menonton YouTube sebagai mengisi masa lapang.

mStar memilih sembilan saluran YouTube - kebanyakannya masih baharu dan tidak mempunyai pengikut yang ramai namun mengetengahkan idea dan video yang cukup menarik.

Jangan terkejut jika ada di antara saluran ini akan menjadi fenomena dalam kalangan penonton tidak lama lagi.

1. ChuBro

Anda pasti tidak akan menyesal menonton video-video dihasilkan warganegara Korea Selatan yang bekerja di Malaysia ini.

Masa lapang ChuBro digunakan sepenuhnya dengan menjelajah ke tempat-tempat menarik bagi merasai makanan terkenal di negara ini.

Keletahnya yang bersahaja pasti membuatkan anda geli hati malah ramai merasakan ChuBro boleh berjaya sebagai seorang pelawak di negara ini.

Jarang berseorangan, ChuBro sering ditemani dua sahabat baiknya, Sarah dan Halizah yang cukup mahir berkomunikasi dalam bahasa Korea.

2. The Luebkes

Kisah perkenalan pasangan Jerman dan Malaysia menerusi program pertukaran pelajar telah mendapat perhatian penonton bagi mengetahui kehidupan keluarga besar Michael dan Husna.

Apa menariknya, meskipun pasangan ini menetap di Jerman namun Michael dan empat anak mereka, Layla, Lara, Luisa dan Mika cukup fasih berbahasa Melayu.

Pelbagai topik dikongsikan Husna yang juga seorang rakyat Malaysia berasal dari Ampang, Selangor mengenai kehidupan keluarga mereka di Jerman. Memang menghiburkan!

3. 24 Hour Travellers

Ketika ini kita mungkin tak dapat melancong ekoran merentas negeri tidak dibenarkan namun apa kata kita jalan-jalan bersama Sam dan Rene menerusi saluran 24 Hour Travellers.

Pasangan suami-isteri ini yang menggembara ke seluruh Malaysia menggunakan campervan yang diubah suai sendiri dan berkongsi pengalaman kembara mereka.

Selain dapat melihat perjalanan mereka, Sam dan Rene tidak lokek berkongsi pelbagai tip dan ilmu tentang aktiviti kembara campervan.

Menonton perkongsian pasangan ini, memang rasa nak beli sebuah campervan dan pusing satu Malaysia!

4. Mami Zua di Canada

Baharu sahaja berpindah ke Kanada sekitar dua bulan lalu, Zua menerusi salurannya berkongsi pengalaman berhijrah ke bumi asing ditambah dalam suasana Covid-19 yang masih belum reda selepas beberapa bulan berjauhan dengan suami tersayang.

Zua bukan sahaja membawa penonton ke lokasi menarik di Kanada tetapi berkongsi resepi yang diajar oleh ibu mertuanya yang turut menetap di Kanada.

Wanita berasal dari Johor itu turut berkongsi video reaksi suaminya mencuba makanan Malaysia dan paling best, celoteh Zua cukup menghiburkan, sesuai dengan nama salurannya 'Mami'!

5. Kakak Korea

Saluran Mukbang Kakak Korea bukan sekadar tentang makanan tetapi aksi comel pemiliknya Soo Hee (Kakak Korea) dan suaminya Reyza (Maggi Boy) cukup menghiburkan.

Pasangan itu turut berkongsi tentang perkahwinan antara dua budaya, perkenalan mereka serta pelbagai perkara berkaitan kehidupan seharian.

Kakak Korea juga banyak berkongsi tentang pengalamannya menetap di Malaysia selepas berkahwin dengan cinta hatinya itu.

6. Epul Indo M'sia

Sepuluh tahun mencari rezeki di Malaysia, Epul bagaimanapun terpaksa kembali ke Indonesia selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

Apa menariknya mengenai saluran Epul, dia berkongsi pengalaman menjual nasi lemak yang juga makanan kegemarannya sepanjang berada di Malaysia.

Tanpa disangka, nasi lemak jualannya bersama isteri cukup laris sehingga menjadi sebutan dalam kalangan penduduk setempat.

Ia bukan sahaja menghiburkan melihat gelagat Epul bersama pelanggan tetapi cukup banyak pengajaran yang dapat diambil daripada perkongsian Epul di YouTube miliknya.

7. Raisha Ying

Saluran Raisha Ying mendapat perhatian selepas pemiliknya, Bahrin Rashid berkongsi video menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mentua berbangsa Cina di Sungai Besar, Selangor ekoran tidak dapat merentas negeri tahun lalu.

Meskipun berlainan bangsa dan agama, penonton terharu dengan layanan keluarga mentua Bahrin yang bersungguh-sungguh mengadakan sambutan hari raya bagi menggembirakan anak dan menantu mereka.

Saluran itu berkongsi pelbagai video tentang perkahwinan campur Bahrin dan isteri, Jojo Ng dan paling mendapat perhatian ibu mentuanya yang cukup ramah dan tak lokek ilmu mengajar menantu kesayangannya itu masakan Cina.

8. Aceyie Channel

Seperti 24 Hour Travellers, Aceyie Channel juga mengetengahkan konsep serupa namun menggembara menggunakan kancil yang diberi nama CamperKancil.

Tapi dalam tempoh PKP ini, Aceyie atau Asri Nawawi mempunyai projek besar iaitu mengubah suai sebuah van mini Daihatsu Hijet yang turut dikongsi prosesnya di saluran itu.

Mungkin ia boleh memberi idea kepada anda jika ada yang berhasrat untuk memiliki sebuah campervan.

9. Shaherald

Empat tahun lalu, video pernikahan pasangan Herald Chia atau nama Islamnya, Ferdaus dan Shahirah tular sehingga mendapat hampir sejuta tontonan di YouTube.

Bagaimanapun sejak tiga bulan lalu, Ferdaus yang berasal dari Singapura kembali aktif memuat naik video perkongsian tentang perjalanannya mendalami Islam.

Pelbagai topik yang dikupas Ferdaus dalam saluran itu seperti tentang penghijrahan serta pandangan kedua ibu bapanya mengenai keputusannya memeluk agama Islam.

Menariknya, dalam setiap perkongsian video, Ferdaus sering berkongsi potongan ayat al-Quran bersesuaian dengan topik dibincangkan dan turut membacanya dengan lancar.

Ramai tersentuh dengan kesungguhannya mendalami agama Islam. Ia saluran yang bagus untuk santapan kerohanian di kala PKP ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain