suria

Kediaman tak cukup besar? Jangan pening-pening fikir, ini 5 kelebihan rumah bersaiz kecil boleh dimanfaatkan untuk menghias

Rumah yang bersaiz kecil boleh menjadi selesa jika kita bijak menghiasnya.

SABAN tahun harga rumah semakin melonjak naik sehingga membuatkan kebanyakan daripada kita 'hanya mampu tengok' kediaman idaman.

Apatah lagi dengan pandemik Covid-19, rata-rata cukup berhemat dalam berbelanja apatah lagi ketika membuat keputusan besar seperti membeli sebuah rumah.

Disebabkan itu juga, ramai mula memilih rumah bersaiz kecil dengan gaya minimalis yang cukup sederhana dan harganya juga mampu milik.

ARTIKEL BERKAITAN: Kediaman cantik, kehidupan lebih tenang dengan perabot dan hiasan dalaman berasaskan kayu

Meskipun keluasan rumah tidak besar namun jika bijak dihias, ia masih mampu memberi keselesaan kepada penghuninya.

Malah sebenarnya kediaman bersaiz kecil atau sederhana mempunyai lebih banyak kelebihan.



Rumah bersaiz kecil semakin menjadi pilihan.

1. Selesa

Rumah berkeluasan kecil sebenarnya lebih selesa kerana ia tidak memiliki banyak ruang yang menyesakkan.

Paling penting, bagi mewujudkan rasa nyaman dan 'luas', pemilik perlu memfokuskan kepada pemilihan warna dinding, hiasan dalaman serta memfokuskan hubungan positif bersama pasangan. Barulah rumahku, syurgaku!

2. Minimalis

Gaya minimalis cukup popular ketika ini dan cukup sesuai dengan rumah bersaiz kecil. Ramai sukakan gaya ini kerana ia ringkas tetapi menarik.



Ia juga mudah dibersihkan tanpa memerlukan tenaga dan masa yang lama.

3. Mudah diatur

Rumah dengan keluasan terhad sebenarnya lebih mudah diatur berbanding kediaman bersaiz agam. Ini disebabkan ruang yang kecil tidak memerlukan banyak perabot atau aksesori.

Ia juga memudahkan tugas membersihkan rumah.

4. Kos rendah

Ruang yang kecil tidak memerlukan perabot bersaiz besar dan mewah. Pemilik boleh berjimat dengan hanya membeli barangan keperluan sesuai dengan konsep minimalis.



Rumah berkeluasan kecil lebih murah dan menjimatkan kos penyelenggaraan yang lain.

5. Jimat

Dengan keadaan sekarang, berjimat cermat adalah kunci kepada keselamatan memandangkan kita tidak akan tahu apa akan terjadi pada masa hadapan.

Lihat kemampuan diri, pilih keselesaan dan bukannya sesuatu menyeksa diri di kemudian hari.

Rumah yang kecil sangat menjimatkan - bukan sahaja dari segi bayaran bulanan tetapi penggunaan elektrik, air dan kos penyelenggaraan yang mininum.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain