suria

Pernah makan biskut kering cicah air paip... wanita ini bangkit selepas dihina! - “Kini giliran saya bantu mereka yang terkesan“

Nordiyana Mat Noh mengharungi pelbagai kesukaran dalam hidup namun ia mampu mengatasinya.

MENDENGAR kisah usahawan muda ini, tiada siapa akan menyangka perjalanan hidupnya penuh dengan cabaran dengan liku-liku hidup yang mungkin tidak ramai dapat menghadapinya.

Namun bagi Nordiyana Mat Noh, segala kepayahan yang terpaksa dilaluinya membentuk siapa dirinya pada hari ini dan tanpa semua pengalaman itu, dia tidak mungkin berada pada tahap sekarang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman takluk gunung tertinggi di Eropah bantu gadis ini raih 9A dalam SPM 2020, bapa jadi inspirasi

"Saya datang daripada keluarga susah, ayah meninggal ketika umur saya tujuh tahun. Mak pula hanya penoreh getah dan kehidupan ketika itu memang sukar.

"Kalau nak makan ayam atau daging, memang setahun sekali... itu pun ketika hari raya," katanya membuka bicara.



Nordiyana membesar dalam serba kekurangan.

Anak kelahiran Kuala Ketil, Kedah ini memberitahu demi membantu memperbaiki kehidupan keluarganya, dia berhijrah ke Kuala Lumpur dua hari selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan.

Imbau Nordiyana, sejurus sampai ke Kuala Lumpur dia menumpang di rumah saudaranya sebelum mendapat pekerjaan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang dengan gaji RM1,200 sebulan.

"Alhamdulillah meskipun gaji tidak besar, dapatlah saya menampung keperluan diri selain membantu ibu di kampung. Tapi saya bekerja di KL tidak lama.

"Biasalah jiwa muda yang memberontak, saya balik ke kampung dan bekerja menjual buku secara direct selling," ujarnya.

Tambahnya, ketika itu juga dia mendapat temuduga untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang hiasan dalaman namun terpaksa menolak kerana kursus itu memerlukan kos yang besar.

Meskipun ada kata-kata sinis yang menghina saya tetapi saya nekad untuk berjaya dan membuktikan kata-kata mereka salah.



NORDIYANA MAT NOH

USAHAWAN

Mula berasa bosan bekerja di kampung, Nordiyana memberitahu dia sekali lagi nekad kembali bekerja di Kuala Lumpur dan cukup terharu apabila kakaknya sanggup menggadaikan gelang tangannya bagi memberinya wang poket.

"Sehingga kini saya tidak pernah melupakan jasa kakak saya menggadaikan gelang tangannya sebanyak RM200 untuk memberi wang itu kepada saya.

"Meskipun ada kata-kata sinis daripada saudara mara yang menghina saya tetapi saya nekad dan rasa tercabar ketika itu. Sejak itu saya nekad untuk berjaya dan membuktikan kata-kata mereka salah," katanya.

Biskut kering dan air paip

Nordiyana memberitahu kehidupan di kota metropolitan tidak semudah yang disangka namun dia perlu mengagahkan diri demi mengecap sebuah kejayaan.

Sepanjang tempoh itu juga kata wanita berusia 34 tahun ini, pelbagai pekerjaan yang dilakukan untuk menampung kehidupan dan membantu keluarga sehingga dia pernah digelar pelacur kerana bekerja di sebuah hotel.



Nordiyana memberitahu dia pernah makan biskut kering dan air paip kerana kehabisan wang.

"Ketika itu hendak bertahan memang sukar... saya sentiasa lapar sebab tiada duit malah saya pernah makan biskut kering dengan air paip!

"Tapi dugaan itu yang buat saya bangkit sehinggalah saya dapat pekerjaan di sebuah hotel. Bermula sebagai pekerja sambilan, saya diserap sebagai staf tetap.

"Tapi selepas beberapa bulan saya ambil keputusan untuk berhenti kerana tidak tahan mendengar ibu mengadu dia dihina orang kampung yang memberitahu kerja hotel adalah pelacur," katanya.

Gaji lima angka, mula lupa diri

Sepanjang lebih 10 tahun hidup di Kuala Lumpur dan melakukan pelbagai pekerjaan, Nordiyana memberitahu titik kejatuhannya berlaku apabila dia mempunyai pekerjaan yang selesa di sebuah syarikat pelaburan dengan gaji lima angka setiap bulan.

Sejak itu kata Nordiyana, dia bekerja keras untuk memastikan kehidupannya terjamin dan dia mendapat apa diinginkan dalam kehidupan.



Perniagaan Bombola Facial Mist dimulakan sejak tahun lalu.

Bagaimanapun, kejayaan yang digenggam membuatkan dia lupa diri sehingga melupakan orang disekelilingnya termasuk keluarga yang banyak berkorban untuknya.

"Bayangkan pada usia 26 tahun saya berada di puncak kehidupan saya! Apa saya nak semua dapat memandangkan gaji yang besar tetapi kesenangan itu membuatkan saya lupa diri, lupa keluarga dan lupa Allah.

"Saya ingat saya gembira disebalik semua kemewahan tetapi jauh disudut hati tidak... Allah maha kuasa, Dia tarik semua nikmat diberikan dengan sekelip mata sehingga saya mengalami kemurungan.

"Tetapi itulah titik tolak saya perbaiki diri, kembali kepada jalan asal dalam menjadi seorang insan lebih baik dan bersyukur," katanya.

Meskipun ia mencabar dan banyak rintangan, Nordiyana memberitahu pengalaman itu juga mengajarnya erti kesabaran, membina keyakinan diri serta membuatkan dia menjadi lebih kuat sebagai seorang wanita.



Wanita berusia 34 tahun ini gemar menggembara ke luar negara.

Bombola Facial Mist kebangkitan Nordiyana, bantu mereka hilang pekerjaan

Sehinggalah pada tahun lalu, Nordiyana memberitahu dia memberanikan diri untuk membuka perniagaannya sendiri dengan menjual produk kecantikan iaitu Bombola Facial Mist.

Akui Nordiyana, ketika memulakan perniagaan itu ia tidak mudah apatah lagi ketika itu negara berada dalam suasana pandemik dan kebanyakan urusan perlu dilakukan di rumah.

"Antara alasan saya mulakan perniagaan ini adalah kerana saya suka manjakan diri seperti pergi ke spa atau membuat rawatan wajah. Apabila pandemik berlaku, semua aktiviti itu tidak boleh dilakukan.

"Duduk di rumah memang boleh membuat sesiapa sahaja tertekan dan saya terfikir untuk hasilkan sebuah produk yang membolehkan pengguna memanjakan diri di rumah," ujarnya.

Bombola Facial Mist kata Nordiyana dihasilkan untuk melembapkan, menyegarkan, menenangkan kulit daripada kegatalan dan kerengsaan selain melawan dan membunuh 99 peratus kuman pada wajah.



Nordiyana juga ingin membantu golongan yang terkesan akibat pandemik menjana pendapatan menerusi produknya.

Ia kaya dengan antioksidan, mengawal pH kulit serta sesuai digunakan semua jenis kulit termasuk kulit sensitif, berjerawat, berminyak dan mereka mengalami ekzema.

Sementara itu, Nordiyana menjelaskan menerusi perniagaan itu dia juga ingin membantu rakan-rakannya yang hilang pekerjaan akibat pandemik menjana pendapatan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ada yang mengadu pada saya hilang kerja, tiada wang untuk makan... Saya sangat memahami apa yang mereka rasai kerana saya sendiri pernah berada di tempat mereka.

"Menerusi perniagaan ini saya dapat bantu mereka menjana pendapatan dengan membuka peluang sebagai ejen, stokis dan dropship," katanya.

"Saya teringat pepatah Melayu, 'Aku tak akan berikan kami ikan tapi aku boleh berikan kamu sampan dan pendayung'..Saya pecaya, kalau saya tolong untuk hari ini sahaja, bagaimana dengan esok?

"Jadi saya sediakan sampan dan dayung, mereka sendiri perlu pandai mendayung dan menangkap ikan. InsyaAllah dengan niat yang betul dan jika kita ikhlas, Allah akan bantu kita," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain