suria

Niat yang betul, tidak harapkan pujian... graduan UiTM ini kongsi rahsia berjaya hafaz al-Quran dalam masa 40 hari!

Siti Nurfarahdini Mohd Zawawi berjaya menghafaz al-Quran hanya dalam tempoh 40 hari.

MEMASANG niat kerana Allah SWT dan sentiasa berdoa antara rahsia wanita berusia 21 tahun ini berjaya menghafaz al-Quran hanya dalam tempoh 40 hari.

Siti Nurfarahdini Mohd Zawawi memberitahu niat perkara paling penting kerana ia asas kepada apa sahaja ibadah yang dilakukan dalam kehidupan seharian.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman takluk gunung tertinggi di Eropah bantu gadis ini raih 9A dalam SPM 2020, bapa jadi inspirasi

"Jika niat hanya kerana ingin gelaran Hafizah atau mahu membanggakan ibu bapa dan orang sekeliling, saya rasa tangguhkan niat itu terlebih dahulu kerana apa sahaja ibadah yang kita buat hendaklah kerana Allah, untuk syurga dan akhirat.

"Sekiranya niat kita itu betul dan tepat, Insya Allah usaha kita akan berkekalan dan kalau niat untuk manusia maka ia tidak kekal lama, " katanya kepada mStar.

Farah 2

Siti Nurfarahdini mula membaca al-Quran sejak berusia lima tahun.

Bercerita mengenai kejayaannya itu, Siti Nurfarahdini memberitahu dia mula menghafaz al-Quran selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017 sementara menanti panggilan menyambung pengajian ke universiti.

Ketika itu kata anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor ini, dia berjaya menghafaz beberapa juzuk sebelum proses itu tertangguh selepas diterima menyambung pengajian dalam bidang Diploma Sains Gunaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Tapah, Perak.

"Jika ikutkan perancangan saya mahu menghafaz 30 juzuk sebelum masuk universiti namun Allah ada perancangan lain untuk saya ketika itu.

"Tetapi Alhamdulillah saya berjaya menghafaz beberapa juzuk di sebuah pusat Tahfiz dekat rumah dan hasrat untuk menyelesaikan hafazan tidak pernah mati dalam diri saya sejak itu, " kata anak kepada pasangan berusia 50 tahun, Mohd Zawawi Parlan dan Rafiah Fadzli ini.

Berjaya hafaz 30 juzuk dalam tempoh 40 hari

Sejurus menyelesaikan pengajiannya pada Mac lalu, Siti Nurfarahdini memberitahu dia nekad untuk menyelesaikan hafazan sebelum menyambung pelajaran ke peringkat ijazah pada September ini.

Sekiranya niat kita itu betul dan tepat, Insya Allah usaha kita akan berkekalan dan kalau niat untuk manusia maka ia tidak kekal lama.

SITI NURFARAHDINI MOHD ZAWAWI

Maka pada Ramadan lalu, Siti Nurfarahdini menyertai Kem Huffaz Profesional Promax anjuran Annur Quranic Centre selama empat minggu dan berjaya menghafaz dalam tempoh 40 hari.

"Dua minggu pertama saya menyertai program itu di Annur Qurani Centre manakala bakinya secara dalam talian bersama 10 peserta lain yang diselia oleh seorang ustazah disebabkan PKP.

"Alhamdulillah berkat doa keluarga, ustazah yang membimbing dan sokongan rakan-rakan lain dalam program itu saya berjaya menghafaz 30 juzuk... tiada kata dapat saya gambarkan selain bersyukur kepada Allah, " katanya.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Siti Nurfarahdini memberitahu dia tidak mempunyai sebarang rahsia tertentu sebaliknya sentiasa berpegang kepada niat, berdoa, usaha dan tawakal resepi kejayaannya.

Katanya juga, program yang disertai bersama Annur Qurani Centre juga banyak membantunya dalam menghafaz lebih baik dimana peserta akan menghafaz menerusi lima sesi iaitu selepas Subuh, Dhuha, Zohor, Asar dan waktu malam sehingga pukul 12 tengah malam.

Keluarga

Siti Nurfarahdini (paling kiri) bersama ibu bapa dan adik-beradik yang menjadi pendorongnya.

"Bagaimanapun ketika menghafaz secara dalam talian, saya lebih selesa menghafaz seorang diri terutamanya sebelum masuk solat Subuh kerana ketika itu otak lebih segar.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Apabila selesai menghafaz biasanya saya akan beritahu ustazah dan kami akan bertemu dalam Google Meet untuk memeriksa hafalan saya, " kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Baca al-Quran sejak usia 5 tahun, khatam setiap tahun

Bercerita mengenai cintanya terhadap al-Quran, Siti Nurfarahdini memberitahu dia bersyukur dan menganggap dirinya bertuah kerana sejak kecil telah didedahkan kepada keindahan kitab suci itu dalam kehidupan sehariannya.

Malah dia mula membaca al-Quran ketika usianya lima tahun dan berjaya khatam buat kali pertama ketika dia darjah tiga.

Rakan-Rakan Tahfiz

Siti Nurfarahdini bersama sahabatnya yang turut menghafaz al-Quran.

"Alhamdulillah meskipun bukan datang dari keluarga menghafaz tetapi ibu bapa dan ahli keluarga lain aktif dalam Tilawah al-Quran.

"Sejak kecil ibu yang juga seorang guru mengajar saya mengaji dan Alhamdulillah saya berjaya khatam al-Quran sekurang-kurangnya setahun sekali, " ujarnya.

Siti Nurfarahdini memberitahu dia menjadikan al-Quran sebagai rakan baik kerana tujuan hidupnya ingin mendapat keredaan Allah selain ingin mendiami syurga-Nya.

"Kita bukan sahaja menghafaz tetapi hidup yang singkat ini perlu berlandaskan al-Quran... Itu yang selalu saya ingatkan diri kerana apabila kita faham betul-betul isi kandungannya ia bukan sahaja buatkan kita berasa kerdil dan insaf tetapi mendapat nikmat luar biasa, " katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wanita kongsi detik lucu masalah bau di rumah