suria

Jadi mangsa buli, diejek ‘juling’ selepas mata tertusuk gunting... pemuda guna karya seni luah kekecewaan, bangga sampai ke Paris!

Zaim menterjemahkan pengalamannya dalam sebuah video pendek berjudul 'Behind Those Glasses' yang dipamerkan di Paris.

KESEDARAN tentang masalah kemurungan masih agak rendah dalam kalangan masyarakat meskipun saban hari kita sering dihidangkan dengan pelbagai kes berkaitan termasuk cubaan bunuh diri akibat tekanan.

Pelbagai faktor menyumbang kepada kekurangan kesedaran ini termasuklah sikap segelintir masyarakat yang memandang rendah tentang kesihatan mental sehinggakan golongan ini tidak mempunyai sistem sokongan menyeluruh dalam proses pemulihan.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Pelajar bukan Islam dapat A subjek Tasawwur Islam... kongsi rahsia hos Jejak Rasul suntik inspirasi

Pernah menjadi mangsa ejek sejak kecil, Ahmad Zaim Zharif berkongsi dia sering menjadi mangsa buli selepas mengalami kecacatan kekal pada mata kanannya akibat kemalangan tertusuk gunting ketika usianya empat tahun.



Kaca mata hitam menjadi 'teman sejati' Zaim bagi melindungi kekurangan dirinya.

"Masa kecil saya seorang yang periang dan lasak. Malangnya pada suatu hari, mata kanan saya tertusuk gunting pokok bunga. doktor mengesahkan lensa mata kanan saya koyak sehingga perlu menjalani beberapa siri pembedahan bagi mengalihkan kanta mata saya.

"Sejak itu hidup saya berubah dan diejek dengan pelbagai kata-kata kurang enak orang sekeliling termasuk juling... Sampaikan saya rasa malu nak jumpa orang.

"Antara jenaka yang sering dipermainkan apabila mereka suka bertanya saya sedang memandang siapa menyebabkan saya tidak suka memandang wajah orang lain apabila bercakap," katanya.

Kaca mata hitam pelindung diri

Sehingga kini kata Zaim, 24, dia masih tidak mempunyai keyakinan diri namun memilih untuk tidak mengendahkan kata-kata ejekan orang lain dan sentiasa memujuk diri supaya bersabar dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Walaupun nampak bergaya sebenarnya dalam diri saya perasaan ketakutan itu masih menebal.

AHMAD ZAIM ZHARIF

Bagi meningkatkan keyakinan diri, Zaim memberitahu kaca mata hitam tidak pernah lekang daripada wajahnya bagi menutup kecacatan daripada orang lain.

"Daripada kaca mata hitam, saya cuba meningkatkan gaya fesyen dan secara tidak langsung ia menaikkan keyakinan diri namun di sebaliknya ada sesuatu yang cuba saya sembunyikan.

"Walaupun nampak bergaya sebenarnya dalam diri saya perasaan ketakutan itu masih menebal... takut kalau orang lain memandang serong dan tidak mahu berkawan dengan saya. Bimbang peristiwa diejek ketika kecil datang kembali," jelasnya.



Zaim tidak menyangka karyanya terpilih untuk dipamerkan di Paris.

Kamera dan fotografi ubah segalanya!

Meskipun menganggap dirinya terdapat kekurangan namun Zaim tidak pernah membiarkan dirinya hanyut sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai satu pendorongnya dalam kerjaya.

Zaim memberitahu minatnya dalam seni fotografi dan perkara berkaitan kamera telah memberinya idea untuk menterjemahkan pengalamannya dalam sebuah karya berjudul 'Behind Those Glasses'.

Karya itu katanya merupakan siri fotografi 'self-potrait' yang dijadikan sebuah video pendek berkisahkan tentang kesakitan yang disembunyikan daripada masyarakat.



Zaim bukan sahaja ingin berkongsi kisahnya tetapi memberi inspirasi kepada orang lain.

"Jika saya terus 'makan hati' dengan apa orang katakan, ia mungkin akan memakan diri saya sendiri dan saya tidak mahu itu berlaku.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Alhamdulillah minat dalam dunia fotografi antara cara saya keluar daripada dunia yang cuba saya sembunyikan dan ia membantu saya mengekspresikan diri," ujarnya.

Tidak terhenti di situ, Zaim memberitahu dia turut mencuba nasib menghantar karyanya ke sebuah pameran seni yang mengangkat tema tentang kesedaran isu mental di Paris, Perancis baru-baru ini.



Karya Zaim dipamerkan bersama 27 artis lain dari seluruh dunia.

Percubaan itu ternyata tidak sia-sia kerana karyanya bersama 27 artis lain terpilih dan dipamerkan di La Galerie Institut d’Études Supérieures des Arts (IESA), Paris pada 14 hingga 18 Jun lalu.

"Saya langsung tak sangka kisah silam saya rupa-rupanya boleh diterjemahkan melalui sebuah karya meskipun ia memberi kesan cukup mendalam tetapi saya percaya jika ia diolah dan diterjemahkan dengan baik, ia pasti dapat memberi impak kepada masyarakat.

"Niat saya hanya satu, ingin memberi inspirasi kepada orang lain yang mungkin mengalami pengalaman sama seperti saya dan menzahirkan perasaan melalui medium bersesuaian seperti seni.

"Kesihatan mental itu sesuatu yang serius dan ini cara saya tangani dan kongsi kepada masyarakat," katanya yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di sebuah universiti awam tempatan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain