suria

Marah, sedih saksikan cengkaman peraih... Anak nelayan ini bangkit perjuangkan nasib pelaut, hasilnya Pasar Pendekar Laut!

Shalan Juma'at ingin memastikan nelayan tidak berterusan menjadi mangsa cengkaman peraih yang tamak.

PENGALAMAN melihat sendiri jerih perih bapa serta nelayan lain memerah keringat demi menyara keluarga masing-masing mendorong seorang anak penangkap ikan untuk bangkit membela nasib golongan ini.

Itulah impian Shalan Juma'at, 35 dan tumpuan utamanya adalah untuk memastikan nelayan tidak berterusan menjadi mangsa cengkaman peraih yang tamak.

ARTIKLE BERKAITAN: Bukan sekadar pertaruhkan rupa, 3 ‘Bachelor of Malaysia’ ini ada misi harumkan nama negara di peringkat antarabangsa

“Sejak kecil, bermula dari sekolah tadika saya selalu ikut ayah ke laut, rasa kesian sangat tengok apabila harga yang ditawarkan peraih tak berbaloi dengan kepenatan serta bahaya berdepan ribut demi sesuap nasi.



Mendapat inspirasi daripada cerita Pendekar Bujang Lapuk, Pasar Pendekar Laut ini dibuka bagi memastikan golongan nelayan mendapat bayaran yang setimpal dengan usaha mereka.

“Sampaikan untuk lauk kami sekeluarga pun ayah akan cakap ikan besar atau ikan-ikan yang mahal tak boleh makan sebab keras dan tak sedap.

"Jadi kami pun akan ambil ikan kecil-kecil saja, tapi sebenarnya kata-kata ayah sebab hidup kami susah jadi paling penting nak jual hasil tangkapan, bukannya makan sendiri, ” kata anak keempat daripada 11 beradik ini kepada mStar.

Selain ditawarkan harga yang lebih rendah, nelayan juga kadang kala menjadi mangsa manipulasi harga sesetengah peraih.

“Contoh udang, sepatutnya nelayan boleh dapat harga lebih tapi tauke akan beli dengan harga lump sum (dikira semua sekaligus), bila balik rumah mereka akan asingkan ikut gred A, B, C, D dan jual tiga kali ganda harga yang dibeli daripada nelayan.

Kami kira berniaga lebih kepada nak memberi bantuan kepada nelayan, apa yang penting mereka gembira.

SHALAN JUMA'AT

NELAYAN

“Saya pernah bergaduh dengan tauke dulu, saya cakap tak boleh terima apa yang mereka buat sebab kesian pada nelayan kerana tidak sepatutnya nelayan berhutang dengan tauke, sebaliknya tauke yang perlu berhutang dengan nelayan, tapi sekarang situasinya terbalik, ” katanya.

Dek kerana marah serta sedih dengan nasib golongan ini yang masih lagi hidup berlandaskan ungkapan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Shalan yang juga penaung Kelam Alami menubuhkan Pasar Pendekar Laut pada tahun 2016.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Matlamatnya hanya satu iaitu bagi memastikan nelayan di Tanjung Kupang, Johor khususnya mendapat bayaran setimpal dengan keringat mereka.

“Pasar ini berinspirasikan cerita Pendekar Bujang Lapuk, saya nak buat pasar penambang yang mana saya jual secara langsung apa yang nelayan bawa balik, itulah yang saya jual.



Shalan bersama pelanggan yang datang ke jeti untuk mendapatkan ikan segar.

“Bermula dengan hanya tiga bot sahaja, sekarang ada hampir 40 bot yang akan hantar ikan ke pasar ini, ” katanya.

Shalan yang pernah bekerja di padang kuda, pemandu kren di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan menjaga kebun organik di Universiti Malaya berkata nelayan yang menghantar makanan laut ke pasarnya akan dibayar sehingga 90 peratus harga pasaran.

“Biasa tauke mereka nak untung sekurang-kurangnya RM5 atau RM10, tapi saya cakap nelayan perlu dijaga, tanpa mereka tauke pun tak akan dapat barang.

“Bayangkan kadang-kadang ada yang bawak balik hanya satu kilogram je hasil tangkapan, takkan kita tak simpati dengan mereka?



Shalan bersama rakan-rakan nelayan lain membaiki jaring.

“Jadi saya akan ambil untung sekitar RM1 atau RM2 sahaja, contohnya kalau harga pasaran RM35 saya akan bayar mereka RM32 atau RM33, ” katanya.

Malah katanya sejak adanya Pasar Pendekar Laut ini, golongan nelayan kadangkala boleh mendapat sehingga dua kali ganda jumlah pendapatan yang diterima mereka sebelum ini.

Menurutnya lagi peraih perlu juga mengambil kira kos yang terpaksa ditanggung nelayan termasuk minyak diesel yang kini harganya semakin meningkat.

“Kita jangan lupa kalau banyak hasil yang nelayan bawa balik, kita juga yang untung, jadi buat apa nak tamak kalau boleh dapat RM100 daripada hasil nelayan, itu pun sudah memadai bagi saya.



Star Golden Heart Award mencari hero anda.

”Kami kira berniaga lebih kepada nak memberi bantuan kepada nelayan, apa yang penting mereka gembira, ” katanya.

Menurutnya lagi, dia kini gembira kerana selain mendapat kepercayaan nelayan, pasarnya turut menjadi tempat menyatukan golongan berkenaan.

“Pasar ni dah jadi tempat mereka berkumpul, kita ada warung di atas..kalau tidak selalunya apabila balik dari laut mereka akan berpisah, jadi saya seronok tengok ramai nelayan di sini.

“Kepercayaan mereka pada saya pun begitu terserlah, mereka balik dari laut tinggal je barang, tak tengok pun dacing bila timbang berat tangkapan, kadang-kadang kita bayar terus pada mereka, ” katanya.



Shalan turut membantu nelayan membaikpulih peralatan menangkap ikan termasuk jaring serta enjin bot mereka.

Menurut Shalan, selain menjual hasil laut, dia juga membantu golongan nelayan ini memperbaiki peralatan menangkap ikan mereka seperti jaring dan enjin bot.

Ditanya sama ada beliau merancang untuk meluaskan Pasar Pendekar Lautnya di tempat lain, Shalan berkata ia sememangnya sesuatu yang diidamkan namun tidak dalam masa terdekat.

Berkongsi pengalaman berdepan dengan isu lambakan makanan laut apabila negara diletakkan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 tahun lepas, Shalan berkata dia dengan bantuan isterinya, Dr Serina Rahman mengambil inisiatif mengumpul dana bagi membeli sumber laut tersebut serta menghantarnya ke rumah orang-orang yang memerlukan di sekitar Johor Bahru dan Gunung Pulai.

“Masa tu udang, ketam, ikan semua banyak jadi nelayan risau sangat macam mmana nak jual, jadi isteri saya beri cadangan dan dengan bantuan nelayan juga kita hantar makanan laut ini ke rumah orang susah, gelandangan dan golongan yang memerlukan.

“Allah maha kaya, kita lihat masa tu semua orang yang tak berkemampuan, gelandangan yang tak pernah makan ikan mahal-mahal semua boleh merasa, Alhamdulillah sangat, ” katanya, mereka berjaya mengumpul sehingga RM80, 000 dalam masa tiga bulan.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain