suria

Wow! Pelajar bukan Islam dapat A subjek Tasawwur Islam... kongsi rahsia hos Jejak Rasul suntik inspirasi

Easwaran (kanan) sangat mengagumi personaliti televisyen Ahmad Fedtri Yahya.

KECEMERLANGAN Easwaran Vasudavan yang mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini cukup meninggalkan makna besar dalam hidupnya.

Mana tidaknya, Easwaran, 18, turut mendapat A+ dalam mata pelajaran Tasawwur Islam yang jarang-jarang diambil oleh pelajar bukan beragama Islam.

Berkesempatan berbual sendiri dengan Easwaran, remaja itu memberitahu sejak kecil dia memang berminat mendalami agama Islam selain menonton pelbagai program keagamaan yang disiarkan di TV3 dan TV9 seperti Jejak Rasul, Halaqah dan Tanyalah Ustaz.

ARTIKEL BERKAITAN: Marah, sedih saksikan cengkaman peraih... Anak nelayan ini bangkit perjuangkan nasib pelaut, hasilnya Pasar Pendekar Laut!

Inspirasi utamanya yang mendorong kecemerlangannya adalah idolanya iaitu personaliti televisyen yang juga hos program Jejak Rasul iaitu Ahmad Fedtri Yahya.

Easwaran, 18, memberitahu dia kagum dengan gaya pengacaraan dan penggunaan bahasa Melayu Ahmad Fedtri ketika mengendalikan program itu yang menarik perhatiannya.

"Ahmad Fedtri bukan sahaja banyak membantu saya memahami lebih mendalam tentang sejarah Islam tetapi lenggok bahasa dan gaya penyampaiannya cukup menarik perhatian.



Easwaran banyak menonton program agama termasuk Jejak Rasul sebagai persediaan menjawab peperiksaan subjek Tasawwur Islam.

"Selain memahami tentang Islam, Ahmad Fedtri secara tidak langsung banyak mengajar saya memperbaiki penguasaan bahasa Melayu saya," katanya.

Apa yang lebih mengagumkan kata Easwaran, setiap mesej yang dihantar menerusi Instagram personaliti televisyen itu sering dibalas dan Ahmad Fedtri banyak berkongsi ilmu dan tip kepadanya.

"Ahmad Fedtri adalah idola saya dan saya mahu jadi sepertinya suatu hari nanti... Setiap soalan yang saya tanya kepadanya di Instagram juga sering dijawab dengan baik.

"Banyak perkara yang saya rujuk kepadanya terutamanya berkaitan dengan subjek Tasawwur Islam tapi saya tidak pernah memberitahunya saya mengambil subjek itu untuk SPM," jelas anak kedua daripada empat adik-beradik ini.

Ilmu yang dikongsi Ahmad Fedtri selain program-program keagamaan kata Easwaran banyak membantunya mempersiapkan diri bagi menjawab soalan subjek itu ketika SPM.

"Apabila saya mengambil keputusan untuk ambil subjek Tasawwur Islam, program-program keislaman seperti Jejak Rasul, Tanyalah Ustaz dan Halaqah antara yang banyak membantu saya mendalami dan memahami tentang Islam.

Ahmad Fedtri adalah idola saya dan saya mahu jadi sepertinya suatu hari nanti.



EASWARAN VASUDARAN

"Selain idola saya, saya banyak tanya dengan kawan-kawan beragama Islam serta seorang ustazah dari Kelantan dan guru di sekolah yang banyak mengajar saya," katanya.

Ditanya sebab dia mengambil subjek itu, Easwaran memberitahu selain ingin meluaskan ilmu pengetahuannya, dia tertarik dengan Islam kerana ia merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan.

Namun Easwaran mengakui bab Perundangan Islam paling sukar buatnya kerana ia perlu berlandaskan fakta dan bukannya atas pandangan dan pemahaman sendiri.

"Islam itu lengkap dengan pelbagai perkara termasuk sains, teknologi, aspek kehidupan dan sebagainya. Saya cukup kagum bagaimana setiap perkara itu dijelaskan dan mempunyai fakta di sebaliknya," katanya yang ingin menyambung pengajian dalam bidang kedoktoran.

Easwaran memberitahu ibu bapanya juga tidak pernah menghalang dia mendalami agama Islam dan mengambil subjek Tasawwur Islam ketika SPM.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Malah katanya, mereka sudah sedia maklum dengan minatnya malah adakalanya sama-sama menonton program keagamaan yang disiarkan di TV3 dan TV9.

Ahmad Fedtri kagum!

Kagum dengan pencapaian Easwaran, Ahmad Fedtri memberitahu dia terpanggil untuk berkongsi kisah kejayaan remaja itu di Instagram miliknya sehingga ia mendapat lebih daripada 20,000 tanda suka dan ratusan komen positif pengikutnya.

Ahmad Fedtri menyifatkan Easwaran sebagai seorang pelajar hebat kerana bukan mudah bagi seorang bukan Islam untuk mendalami agama Islam dalam tempoh singkat dan mampu mendapat keputusan cemerlang.

"Tasawwur Islam antara subjek kegemaran saya ketika di bangku sekolah dan apa boleh saya katakan ia tidak mudah kerana kita perlu faham betul-betul dan barulah boleh menjawab soalan.

"Kecemerlangannya disebabkan dia betul-betul mengkaji dan memahami tentang Tasawwur Islam dan itu membuatkan saya bertambah kagum dengannya," katanya.

Mengimbau persahabatan bersama Easwaran, Ahmad Fedtri memberitahu remaja itu sering bertanya soalan kepadanya apabila dia memuat naik sesuatu berkaitan motivasi atau keagamaan di Instagramnya.

Malah katanya, Easwaran tidak pernah memaklumkan kepadanya tentang keputusannya mengambil subjek itu sehinggalah keputusan SPM diumumkan baru-baru ini.

"Jujurnya saya jawab setiap soalan yang ditanya kerana saya rasa bertanggungjawab untuk memberi jawapan terutamanya tentang perkara penting seperti berkaitan agama.

"Alhamdulillah, apa yang saya kongsikan memberi ilmu dan manfaat kepadanya dan saya kagum dengan kesungguhannya bukan sahaja mendalami agama Islam tetapi dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu," ujarnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain