suria

Wanita ini sedih tak sempat jumpa ibu sebelum terbang ke luar negara, rasa nak menjerit nampak ketupat, kuah kacang atas rak di Kanada

Nor Zua Noorani bersama suami, Murad Issa dan anak perempuan mereka Tiara Murad Issa menyambut Aidilfitri dalam suasana sederhana di Kanada.

PENGUMUMAN kerajaan yang kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) sekali gus tidak membenarkan rentas negeri untuk pulang berhari raya di kampung halaman cukup merobekkan hati ramai rakyat Malaysia.

Ramai melahirkan rasa sedih bukan sahaja kerana tidak dapat menyambut hari raya di kampung tetapi lebih pilu ramai sudah lama tidak menatap wajah kedua ibu bapa.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaga sejak hari pertama di universiti, pelajar bawa sahabat ada masalah penglihatan balik kampung... tak sanggup biar beraya seorang diri di kampus

Seperti rakyat Malaysia yang lain, wanita kelahiran Kluang, Johor, Nor Azua Noorani yang berhijrah ke Kanada sejak November tahun lalu, turut merasai kesedihan sama apatah lagi ini kali pertama menyambut Aidilfitri di perantauan.

Lebih memilukan, Nor Azua atau lebih mesra disapa Mami Zua berkata dia tidak sempat bertemu serta mencium ibunya buat kali terakhir sebelum berlepas ke Kanada memandangkan ketika itu negara sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Ketika itu suami sudah berada di Kanada dan saya bersama bayi yang ketika itu baru berusia tujuh bulan. Hendak mendapatkan surat merentas negeri, saya terpaksa beratur panjang.



Pasangan ini bersama anak perempuan mereka Tiara Murad Issa.

"Memang sedih sangat terpaksa meninggalkan Malaysia tanpa dapat berjumpa dengan ibu tersayang memandangkan beliau berada di Johor, cuma dapat berjumpa dengan adik-beradik yang tinggal di Lembah Klang.

"Sudah tentu saya sedih dan perasaan itu kembali bersarang dalam diri apabila hari raya semakin hampir tetapi mujur ada suami dan anak yang banyak menguatkan hati saya di sini," katanya kepada mStar.

Mami Zua, 36, berhijrah ke Toronto, Kanada bagi mengikut suaminya, Murad Issa, 37, yang juga seorang warganegara Kanada berketurunan Palestin selepas pasangan itu bertemu jodoh pada 2019.

Bagaimanapun, perancangan berhijrah ke negara itu terpaksa ditunda sehingga November tahun lalu selepas dia disahkan hamil anak sulungnya, Tiara Murad Issa yang kini berusia 14 bulan.

Saluran YouTube 'Mami Zua di Kanada' pengubat rindu tanah air

Berkongsi kehidupan di Kanada, Mami Zua yang juga bekas pereka landskap dan hiasan dalaman memberitahu dia semakin membiasakan diri berada di perantauan namun mengakui adakalanya berasa bosan berada di rumah.

Saya wujudkan saluran YouTube Mami Zua di Kanada sekadar suka-suka memandangkan saya tidak banyak aktiviti di sini tapi tak sangka ramai yang menonton.



NOR AZUA NOORANI

Ini kerana Kanada juga ada melaksanakan perintah kawalan pergerakan seperti di Malaysia bagi membendung penularan Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda ia akan berakhir.

Meskipun seronok dapat menghabiskan masa bersama suami dan anak, dia mendapat idea untuk mewujudkan saluran YouTube memandangkan ramai ahli keluarga dan rakan-rakannya sering bertanya keadaannya di sana.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Sejujurnya, saya wujudkan saluran YouTube Mami Zua di Kanada sekadar suka-suka memandangkan saya tidak banyak aktiviti di sini selain keluarga dan rakan-rakan sering minta saya kongsi keadaan di Kanada.

"Saya terfikir adalah lebih baik saya hasilkan video dan kongsi perkara baharu yang saya dapat lihat dan belajar di sini dan Alhamdulillah ia mendapat sambutan baik penonton," ujarnya.

Malah katanya, dia langsung tidak menduga video dihasilkan turut mendapat jumlah tontonan luar biasa daripada rakyat Malaysia sehingga pengikut di saluran itu bertambah setiap hari.



Pasangan ini bertemu jodoh pada 2019.

"Memang saya tak sangka langsung, ada yang sudi tonton dan mengikut saluran saya malah ramai beri idea dan cadangan untuk saya perbaiki mutu video dihasilkan.

"Kadang-kadang saya tersenyum sendiri baca komen maklum balas dan pujian yang mereka tinggalkan," katanya yang kini mempunyai lebih 3,000 pengikut di YouTube.

Saluran YouTube itu juga kata Mami Zua adalah sebagai terapi bagi mengubat kerinduaan terhadap Malaysia selain menambah kenalan baharu sama ada di Kanada, Malaysia serta warganegara Malaysia menetap di luar negara seperti Sepanyol, Jerman, Amerika Syarikat dan sebagainya.

Tidak hanya menampilkan dirinya, Mami Zua memberitahu hampir semua video dihasilkan turut disertai oleh suaminya yang sebelum ini seorang pemalu.

Selain aktiviti harian, Mami Zua turut berkongsi pelbagai masakan Timur Tengah terutamanya dari Palestin yang dipelajari daripada ibu mentuanya selain banyak berkongsi tentang perbezaan budaya.



Meskipun tidak dapat pulang ke Malaysia, Mami Zua tetap bersyukur suami dan anak ada disampingnya.

Cabaran puasa 15 jam, teruja jumpa ketupat segera

Berkongsi pengalaman pertama kali di Kanada, Mami Zua mengakui dia pada awalnya agak bimbang kerana tempoh berpuasa di negara itu selama 15 jam.

Dia pada awalnya berasa tidak yakin dapat berpuasa selama tempoh itu memandangkan masih menyusukan anak perempuannya.

"Tapi, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan tidak banyak beza berpuasa di Malaysia... Faktor cuaca sejuk di sini banyak permudahkan tempoh berpuasa, Allah mudahkan semuanya," katanya.

Berkongsi persiapan raya, Mami Zua memberitahu, persiapan dilakukan sederhana namun tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja apabila bertemu sebuah kedai runcit yang menjual pelbagai barang dan bahan masakan dari Malaysia.



Sejak berhijrah ke Kanada, Mami Zua aktif menghasilkan video untuk saluran YouTube miliknya.

Ceritanya, perasaan apabila melihat pelbagai barangan itu bagaikan mendapat sekarung emas dan dia mula memahami perasaan rakyat Malaysia yang sudah bertahun-tahun berhijrah ke luar negara.

"Rasa nak menjerit apabila nampak bungkusan ketupat nasi dan kuah kacang di atas rak. Memang saya tak menoleh ke belakang lagi dan terus sambar sampai tiga paket!

"Alhamdulillah, hasrat nak masak juadah raya di Kanada tercapai juga, terubat sedikit kerinduan dengan masakan Malaysia walaupun di Kanada juga tidak boleh sambut raya kerana kes Covid-19 sedang meningkat," ujarnya.

Mami Zua turut merakamkan momen hadir ke kedai runcit milik rakyat Malaysia yang sudah menetap di Kanada lebih 20 tahun itu untuk saluran YouTube.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain