suria

Bebas radang tumit menjelang Aidilfitri, penolong penerbit teruja beli baju raya secara online... Apa rahsianya?

Radzi kini hanya mengekal berat badannya 80 kilogram demi kesihatan.

BAGI pemuda berusia 31 tahun ini, sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi akan memberi 1,001 makna dalam hidupnya.

Jika tahun-tahun sebelum ini, Muhammad Radzi Abdul Hamid terpaksa menempah baju hari raya tiga hingga empat bulan lebih awal memandangkan tidak ada saiznya yang dijual di pasaran.

Sebaliknya raya tahun ini, Radzi boleh tersenyum memandangkan dia sudah boleh membeli busana raya secara atas talian dan tidak perlu risau dengan saiznya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka berat jejaka sado ini pernah cecah 115kg - “Nak urus badan pun perlu ada ilmu...”

Dalam tempoh dua tahun Radzi berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 50 kilogram daripada 130kg.

Radang tumit

Mengimbas kembali berat badannya sebelum ini, Radzi memberitahu dia tidak pernah mengambil peduli berat badannya kerana apa yang penting dia boleh makan dan bergerak dengan baik.

"Namun pada tahun 2018, keadaan berubah apabila saya tidak boleh bergerak bebas kerana sakit tumit. Dua minggu saya menderita sukar bergerak.



Berat Radzi pernah mencecah 130 kilogram dua tahun lalu.

"Mood saya juga hilang ketika sakit dan perasaan nak mengamuk sahaja apabila tumit berdenyut-denyut.

"Atas nasihat keluarga, saya pergi berjumpa dengan beberapa doktor. Tiga daripadanya memberitahu mungkin tumit saya terseliuh dan hanya memberi ubat tahan sakit.

"Tetapi ia tidak mengubah apa-apa kerana saya terus sukar berjalan. Dan doktor keempat telah mengubah segalanya apabila memberitahu saya mengalami radang tumit.

"Saya tidak ada pilihan lain kecuali perlu turunkan berat badan. Ketika itu tumit saya tidak dapat menampung berat badan saya kerana terlalu gemuk," kongsinya kepada mStar.



Radzi bersama kedua ibu bapanya yang banyak memberi sokongan untuk menurunkan berat badan demi kesihatan.

Mula 'potong' makanan

Menurut Radzi, selepas mendengar nasihat doktor, dia mula mengambil langkah perlahan-lahan untuk menurunkan berat badannya

"Saya tidak ada jadual pemakanan yang khusus seperti pelan diet yang lain, sebaliknya kurang mengambil minuman atau makanan manis.

"Jika sebelum ini saya akan minum minuman manis sambil makan nasi, tetapi semua tu saya dah 'cut'.

"Saya hanya ambil makanan manis kadang-kadang sahaja. Manakala makanan seperti nasi dan lain-lain saya kurangkan jumlahnya. Tak ada nak diet nasi atau sebagainya.

"Dalam tempoh dua bulan saya berjaya turunkan berat badan dan rasa sakit di bahagian tumit semakin hilang.

"Apabila melihat perubahan itu, saya semakin teruja untuk turunkan berat badan ke tahap sesuai.

"Memandangkan saya tak minat bersukan, jadi saya hanya menjalani senaman dengan menyertai larian dan ia memang berkesan," jelas pemuda kelahiran Johor ini.



Radzi bersyukur penyakit radang tumitnya hilang selepas dua bulan berat badannya mula menurun.

Capai target

Apa yang yang membanggakan Radzi, sepanjang tempoh di bulan Ramadan ini, dia berjaya mendapat berat badan yang diidamkan iaitu 79 hingga 80 kg.

"Saya bersyukur kerana usaha selama ini membuahkan hasil dan hidup saya semakin sihat.

"Buat masa sekarang saya akan cuba kekalkan berat badan ini. Memang teruja dengan perubahan ini, tetapi saya tidak mahu terlalu obses atau terlalu kurus.

"Saya yakin perubahan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, asalkan ada keyakinan diri, disiplin dan tidak berputus asa, ," ujarnya yang bertugas sebagai penolong penerbit di sebuah stesen televisyen swasta tanah air.



Radzi (kanan) bersama rakan-rakannya yang sentiasa menyokong dalam usahanya menurun berat badan.

Beraya jauh dari keluarga

Dalam pada itu, Radzi mengakui sambutan hari raya tahun ini amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Bagi ramai orang, memang sesuatu yang baharu kerana tidak dapat beraya dengan keluarga di kampung. Tetapi itu semua untuk kebaikan bersama.

"Manakala saya pula, sudah biasa beraya berjauhan dengan keluarga di Johor kerana pernah bertugas di Aidilfitri.

"Cuma sedikit rasa sayu kerana tak sempat berpuasa dengan keluarga. Mungkin selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) saya akan balik kampung bertemu keluarga," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Radang Tumit, Obesiti, Berat Badan, Kurus

Artikel Lain