“Kitalah guru dan ibu bapa mereka…” - Austin menaruh harapan anak-anak didik di sekolah pedalaman menjadi insan berjaya - Figura | mStar

“Kitalah guru dan ibu bapa mereka…” - Austin menaruh harapan anak-anak didik di sekolah pedalaman menjadi insan berjaya

Austin (tengah) bersama-sama sebahagian daripada bekas muridnya ketika masih mengajar di sekolah pendalaman SK Nanga Segenok, Kapit pada tahun 2003 hingga 2006. - Gambar BERNAMA

KIRA-KIRA 17 tahun lalu, Austin Albert Jalin menerima surat ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bebangan yang terletak di Kapit, bahagian tengah Sarawak.

Ketika itu, anak muda dari suku kaum Iban ini berusia 25 tahun dan baru menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Rajang di negeri sama.

Menerima arahan bertugas di kawasan pedalaman sudah tentunya satu cabaran besar bagi pendidik seperti Austin terutamanya mereka yang lahir dan biasa hidup di bandar.

Begitu juga dengan Austin, anak bongsu daripada lima beradik ini yang membesar di Betong, sebuah bandar yang pesat membangun.

Lebih memberi kesan pada dirinya, untuk sampai ke sekolah tempat dia mengajar, antara pengangkutan yang perlu dinaikinya adalah van sapu, kenderaan pacuan empat roda, bot ekspres serta perahu panjang dan perahu tambang bagi menyusuri sungai dan kemudian merentasi jalan kem kayu balak.

“Itulah pengangkutan utama penduduk pedalaman untuk sampai ke destinasi, sama ada untuk ke pekan berdekatan atau pulang semula ke kampung yang boleh memakan masa sampai sehari.

“Sepanjang perjalanan ke destinasi, bagi saya yang dibesarkan di bandar memang mencabar, situasi itu adalah situasi yang baharu, jalan berdebu tatkala musim panas selain perlu melalui jalan yang berbukit tinggi serta curam sebelum sampai ke sekolah pada waktu petang.

"Ada kalanya saya perlu bermalam di kebun orang sementara menunggu pengangkutan tiba pada keesokan harinya,” Austin berkongsi kisahnya dengan Bernama baru-baru ini.

Ketika air surut dan cetek, Austin (kiri) perlu berjalan kaki menyeberangi sungai untuk sampai ke SK Saint John, Betong yang sebelum ini dikategorikan sebagai sekolah pendalaman, namun setelah adanya akses jalan raya, status pedalaman telah digugurkan menjadi sekolah luar bandar.

Tidak pernah rancang jadi pendidik

Austin mengajar murid-murid tahun enam ketika ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sungai Bebangan selama empat bulan (Julai 2002-Disember 2002) sebelum ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Nanga Segenok (Januari 2003-Disember 2006), juga terletak di Kapit.

Beliau kemudiannya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Saint John, Nanga 3 juga di Betong bermula Januari 2012 hingga sekarang.

Semasa mengajar di Sekolah Kebangsaan Nanga Lidong Luar Bandar, Austin mengikuti Pengajian Jarak Jauh (PJJ) Universiti Terbuka Malaysia untuk program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajian Sains).

Kalau hendak diikutkan, Austin tidak pernah merancang mahu menjadi pendidik. Beliau hanya mencuba nasib memohon kursus perguruan selepas tamat peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) . Minatnya dalam bidang perguruan bagaimanapun kemudiannya bercambah dengan dorongan keluarga dan kawan-kawan.

"Saya bersyukur kerana membuat keputusan tepat menjadi pendidik. Ia satu tugas yang mulia," kata Austin yang kini menyandang jawatan Penolong Kanan Pentadbiran di SK Saint John di Betong.

Berkongsi pengalamannya mengajar di kawasan pedalaman, Austin berkata, tenaga pengajar di sekolah pedalaman tidaklah ramai. Sebagai contoh sekolah pertama beliau ditugaskan (Sekolah Kebangsaan Sungai Bebangan) mempunyai sekitar 50 anak murid. Terdapat enam guru sahaja bertugas termasuk seorang pentadbir sekolah yang turut memangku jawatan lain.

“Waktu mengajar sangat padat walaupun bilangan murid agak sedikit pada ketika itu kerana seorang guru perlu mengajar beberapa mata pelajaran,“ katanya.

Ketika murid sakit atau perlu dirujuk ke hospital Kapit, maka kitalah juga yang akan mengiringi murid tersebut dan bermalam di pekan Kapit. Kita berkorban masa, tenaga untuk anak didik kita.

AUSTIN ALBERT JALIN 

GURU

Di sekolah pedalaman, tugas seorang guru bukan sahaja mengajar malah berperanan sebagai ibu dan bapa kepada murid-murid, memandangkan mereka duduk di asrama serta berjauhan daripada keluarga.

“Kitalah guru dan ibu bapa kepada murid yang bersekolah di situ. Ibu bapa juga meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada kami untuk mendidik anak-anak mereka,” katanya yang tinggal di kuarters kediaman yang disediakan untuk guru sekolah sepanjang sesi persekolahan.

Kebanyakan murid tidak pulang ke rumah pada hujung minggu memandangkan ibu bapa tidak dapat menjemput anak-anak atas faktor tempat tinggal yang jauh serta terpaksa mengambil masa yang lama untuk berjalan kaki.

"Jelas terpancar kesedihan dan kerinduan di wajah murid-murid terutamanya murid tahun satu yang merindui keluarga mereka di kampung halaman. Jadi sebagai guru, kitalah tempat mereka melepaskan rindu, hubungan antara guru dan murid memang akrab.

“Ketika murid sakit atau perlu dirujuk ke hospital Kapit, maka kitalah juga yang akan mengiringi murid tersebut dan bermalam di pekan Kapit. Kita berkorban masa, tenaga dan untuk anak didik kita,” katanya.

Austin (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada murid yang cemerlang semasa Program Ziarah Cakna di salah sebuah rumah panjang di Betong.

Banyak habiskan masa bersama penduduk kampung

Dari segi kehidupan di pedalaman pula, orang-orang kampung sangatlah peramah dan mereka gembira dengan kehadiran guru luar yang sanggup berkhidmat di tempat mereka demi mendidik anak-anak.

Sifat peramah penduduk kampung sedikit sebanyak mengubat kerinduan Austin terhadap kampung halamannya.

“Tatkala musim cuti sekolah, jika tidak berpeluang pulang ke bandar, saya akan menghabiskan masa dengan penduduk kampung, bersama-sama turun ke sungai menjala ikan dan udang.

“Itulah salah satu cara untuk mendapatkan bekalan makanan, selain menimba pengalaman berharga, dapat juga merasa makanan segar hasil tangkapan sendiri. Pengalaman ini sudah tentu tidak dapat diperolehi jika bertugas di bandar,” ujarnya.

Austin menyimpan harapan besar sebagai seorang guru yang pernah mengajar di pedalaman untuk melihat anak-anak dari kawasan berkenaan yang pernah dididiknya akan menjadi insan berjaya suatu hari kelak.

“Segala kepahitan yang pernah mereka tempuhi pasti akan menjadi sesuatu yang manis untuk dikenang apabila sudah berjaya.

“Sebagai pendidik, kami berbesar hati sekiranya bekas murid masih mengingati dan menghubungi kami walaupun sudah lama meninggalkan alam persekolahan,” katanya. - BERNAMA

Austin Albert Jalin , Guru , Pedalaman , Sarawak

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain