suria

Izzat Mukbang Malaysia bukan kaleng kaleng tapi memilih!

Nur Muhammad Izzat Osman mencuba Minuman Manis Susu Kocak yang diminum untuk saluran YouTube beliau Isaac Osman. Foto BERNAMA

NAMA Nur Muhammad Izzat Osman mungkin kedengaran asing kepada umum tetapi bagi yang pernah menonton IsaacOsmanTV di YouTube pasti ramai mengenalinya.

Mana tidaknya, ramai kagum menonton videonya yang makan dalam kuantiti besar atau disebut sebagai mukbang.

Mukbang diambil daripada bahasa Korea dan video serupa cukup popular di negara K-pop itu sebelum mendapat perhatian masyarakat dunia termasuk Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka berat jejaka sado ini pernah cecah 115kg - “Nak urus badan pun perlu ada ilmu...”

Jika pernah menonton video Izzat menikmati 10 biji burger sekaligus, anda mungkin merasakan jejaka berusia 31 tahun ini gila tetapi itulah kelainan yang cuba ditonjolkannya.

Maka tidak hairan Izzat disebut wargnet sebagai satu-satunya Mukbang Malaysia!

Izzat kini dikenali kerana video mukbang di YouTube.

Sanggup berhabis demi hasilkan video mukbang

Mempunyai lebih 300,000 pengikut di YouTube, Izzat memberitahu sanggup menghabiskan ratusan ringgit untuk membeli makanan dan minuman bagi menghasilkan video.

Ada di antara makanan dibeli itu kata anak kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini mempunyai antara 2,500 hingga 4,500 kalori.

"Setiap minggu saya akan hasilkan sekurang-kurangnya tiga video review makanan dengan cara memakan makanan dalam kuantiti besar atau disebut mukbang.

"Video pertama yang saya hasilkan Ogos tahun lalu, saya makan 10 cawan mee pedas ramen pelbagai produk dengan memberikan komen tentang keistimewaannya.

"Sejak itulah nama saya semakin dikenali sebagai Mukbang Malaysia dan ada  di antara video saya hasilkan mencecah sejuta tontonan," katanya.

Habiskan semua? Tiada masalah kerana Izzat memang gemar makan.

Berlapar sehari sebelum rakam video, Izzat giat bersenam bakar kalori

Dalam pada itu, Izzat yang bekerja sebagai pereka bentuk gerai pameran berkata, meskipun sedar tentang bahaya menikmati pelbagai makanan dalam kuantiti besar sekaligus namun dia sentiasa seimbangkan dengan aktiviti lasak dan bersukan.

Kata Izzat, budaya makan banyak sudah sebati dengan dirinya kerana setiap kali selepas bersukan dia sentiasa berasa lapar dan akan makan dalam kuantiti yang banyak.

"Walaupun makan dalam kuantiti banyak, kesihatan tetap menjadi keutamaan saya dengan memastikan kerap bersukan bagi membakar kalori.

"Contohnya, saya akan bersukan pada waktu malam dan disambung berkayuh basikal ulang-alik ke pejabat sejauh 18 kilometer setiap hari serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan Alhamdulillah setakat ini saya masih sihat.

"Ramai tidak tahu sebelum menghasilkan video, satu hari sebelum itu saya tidak akan makan yang berat dan akan bersenam selepas itu," jelasnya.

Izzat gemar bersukan termasuk mendaki bukit.

Ke luar negara rakam video mukbang!

Sementara itu, menjawab dakwaan mempunyai persamaan dengan personaliti YouTube lain seperti Matt Stonie yang tampil konsep sama, Izzat memberitahu apa dilakukan hanya sekadar suka-suka dan sebagai hobi.

Malah kata Izzat, selain video mukbang, dia turut menghasilkan pelbagai video termasuk aktivitinya bersukan namun ia tidak mendapat perhatian berbanding video makanan.

"Kalau lihat video saya bukan semuanya memakan makanan secara ‘mukbang’ malah ada juga yang makan secara biasa dan pelbagai aktiviti saya bersukan," katanya.

Menurutnya, sehingga kini dia sudah menghasilkan lebih 500 video melalui YouTube dan pernah ke Korea Selatan, Indonesia dan beberapa negara jiran lain untuk merakamkan video makanan rakyat negara berkenaan.

Katanya, dia banyak menerima jemputan restoran seluruh negara untuk beliau memberi komen namun hanya akan memilih restoran tertentu untuk berbuat demikian.

"Saya seorang yang jujur untuk memberikan komen terhadap makanan yang saya makan," katanya.

Mukbang, IsaacOsmanTV, YouTube

Artikel Lain