suria

Diperlekeh gara-gara kutip sampah, kini Masbudi diangkat hero Sungai Selangor

Masbudi memulakan inisiatif secara sendirian mengutip sisa sampah di dalam sungai di kampungnya itu.

SUNGAI Selangor, sumber air terpenting bagi aktiviti sosioekonomi dan pelancongan di negeri Selangor adalah antara sungai di Malaysia yang telah sekian lama dijadikan 'tong sampah' untuk membuang segala sisa yang tidak diperlukan manusia.

Lembangan Sungai Selangor sepanjang 110km bermula dari bahagian hulu Bukit Fraser melalui daerah Kuala Kubu Baru sehingga ke Bestari Jaya (dulu dikenali Batang Berjuntai) mengalir terus ke hilir melalui Kampung Kuantan, Kuala Selangor yang juga destinasi ekopelancongan.

Menyedari situasi pencemaran sungai yang tiada kesudahan, selain pentingnya kelangsungan habitat kelip-kelip di Kampung Kuantan, pemandu pelancong anak tempatan, Masbudi Abdul Malek, 33, memulakan inisiatif secara sendirian mengutip sisa sampah di dalam sungai di kampungnya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka berat jejaka sado ini pernah cecah 115kg - “Nak urus badan pun perlu ada ilmu...”

Sebagai pemandu pelancong alam semula jadi sejak enam tahun lalu, Masbudi sering membawa pelancong dari dalam dan luar negara ke Kampung Kuantan, bagi merasai pengalaman melihat kelip-kelip pada waktu malam.

Selama enam tahun Masbudi mengambil inisiatif membersih hilir Sungai Selangor.

Setelah enam tahun usaha mengutip sampah itu dijalankan, wajah hilir Sungai Selangor kini semakin ceria, walaupun isu sampah belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Kampung Kuantan, perkampungan kecil yang terletak kira-kira 56km dari Kuala Lumpur terkenal dengan pohon berembang yang menjadi habitat kelip-kelip.

Usaha kutip sampah diperlekeh

Usaha untuk membersihkan sungai oleh Masbudi yang lebih mesra dipanggil Eddie, bermula sejak 2013. Idea itu timbul kerana sampah dilihat terlalu banyak di hilir Sungai Selangor khususnya di Kampung Kuantan yang menjadi tumpuan pelancong.

“Ketika membawa pelancong menaiki sampan menghampiri ke lokasi kelip-kelip, saya terpaksa menguak sampah-sampah yang banyak terperangkap di bawah pokok berembang di tepi sungai.

“Jika kita melancong, kita mesti ingin pergi ke lokasi yang cantik dan bersih…begitu juga pelancong yang datang ke sini. Sejak itu terdetik di hati saya untuk memulakan langkah pertama bagi membersihkan sungai di sini,” katanya kepada Bernama.

Ketika memulakan inisiatif itu, Masbudi berkata beliau mendayung sampan sendirian menyusuri arus sungai sejauh kira-kira satu kilometer. Setelah hampir dua jam, beliau berjaya mengumpul sebanyak enam guni sampah.

“Itupun saya hanya kutip mana yang termampu, masih banyak lagi sampah yang tertinggal. Fokus saya masa itu mengutip sebanyak mungkin sampah yang tersangkut di bawah pokok berembang yang menjadi habitat kelip-kelip,” katanya.

Mengimbau usaha awal yang dilakukan itu, Masbudi berkata ada pihak yang kurang senang dengan tindakannya itu dan memperlekehkan usaha tersebut kerana menganggap mengutip sampah adalah tugas dan tanggungjawab pihak lain.

Masbudi tidak pernah patah semangat apabila ada yang mempersendakannya.

“Ada juga yang mempersenda dan mempersoalkan keikhlasan saya membersihkan sungai,” katanya yang kini melakukan aktiviti mengutip sampah dua kali sebulan.

Menurut Masbudi, kata-kata negatif itu sedikitpun tidak mematahkan semangatnya, sebaliknya dia turut mengajak rakan-rakan baik untuk bersama-sama mengutip sampah.

“Ada kawan yang terkejut tapi mereka ikut juga sehingga usaha itu menjadi tular di media sosial,” katanya.

Kerjasama

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat, begitulah ibarat usaha Masbudi yang berjaya dilaksanakan secara tersusun apabila mendapat kerjasama pelbagai pihak sejak 2014.

Antaranya Kelab Alam Sekitar Inspirasi Kawa, Persatuan Pendayung-Pendayung Kelip-Kelip Kampung Kuantan dan penyelidik dari Universiti Malaya (UM).

“Kawa” berasal daripada bahasa Jepun yang bermaksud sungai dan sebagai penyelaras kelab alam sekitar komuniti setempat itu, Masbudi berkata fokus utamanya adalah untuk mendidik kanak-kanak dan remaja sekitar Kuala Selangor mengenai pentingnya menjaga persekitaran semula jadi, selain terlibat dalam aktiviti mengutip sampah yang dijalankan.

“Mereka diberi pendidikan dan pendedahan mengenai bagaimana menjaga alam sekitar kerana menjadi matlamat kami semoga generasi muda ini bukan sahaja mampu menjaga alam sekitar tetapi juga boleh menjadi pemandu pelancong alam sekitar satu hari nanti,” katanya sambil menambah terdapat kira-kira 26 kanak-kanak dan remaja dari kampung berkenaan terlibat secara aktif dalam program Inspirasi Kawa.

Sementara itu, 32 anggota Persatuan Pendayung-Pendayung Kelip-Kelip Kampung Kuantan, adalah tulang belakang yang turut menggerakkan usaha membersihkan sungai di kampung berkenaan.

“Setiap kali aktiviti dijalankan, pendayung akan mendayung sampan membawa tidak kurang 50 komuniti kampung dan penduduk sekitar ke sungai untuk mengutip sampah,” kata Masbudi yang turut mendapat tajaan syarikat korporat bagi menjalankan aktiviti mengutip sampah.

Menurut Masbudi, selain komuniti setempat, ada banyak pihak yang berminat dalam program membersihkan sampah di Sungai Selangor, antaranya pelajar universiti dan syarikat korporat.

Tahun lepas sahaja, sebanyak lima tan metrik sampah berjaya dikutip dam tahun ini mungkin lebih lagi, katanya.

Pemandangan Kampung Kuantan pada waktu malam.

“Semakin banyak program mengutip sampah dilakukan, semakin banyak sampah yang dapat dikutip yang datang daripada bahagian atas (hulu sungai). Kebanyakan sampah yang sampai ke sini, bukan sampah baharu sebaliknya sampah yang dipercayai telah lama mendap di dalam sungai.

“Aktiviti mengorek pasir yang beroperasi kira-kira 100 meter dari Kampung Kuantan mungkin antara sebab sampah itu timbul yang dibawa arus sampai ke hilir sini,” katanya.

Semai pokok sendiri

Dek kerana pencemaran sungai, kualiti air sungai di kampung Kuantan dikategorikan sederhana tercemar (Kelas III) yang pastinya akan menjejaskan kuantiti dan kualiti kehidupan sumber akuatik seperti udang galah dan ikan.

Kualiti air Sungai Selangor dan persekitarannya sangat mempengaruhi ekosistem marin di Kampung Kuantan dan sekiranya tidak dijaga kebersihannya ia akan turut memusnahkan pokok-pokok bakau serta habitat kelip-kelip.

Menurut Masbudi, kelangsungan hidupan kelip-kelip terutamanya spesies Pteroptyx tener yang ada di kampung itu banyak bergantung kepada pokok bakau jenis Sonneratia caseolaris (berembang) sebagai sumber makanan dan tempat tinggal.

“Jika kelip-kelip lenyap dari sini, akan terganggu sosioekonomi penduduk yang bergantung hidup dalam sektor ekopelancongan sama ada sebagai pendayung atau pemandu pelancong," katanya.

Bimbang dengan pengurangan pokok berembang, menyebabkan Masbudi mengambil inisiatif mempelajari sendiri melalui pembacaan, teknik menyemai anak benih berembang.

“Saya mulakan usaha menyemai benih pokok berembang sejak empat tahun lalu dan selama sembilan bulan mencuba menyemai hingga berjaya menjadi anak pokok dan kemudian tanam di tepi sungai,” katanya.

Masbudi mengambil inisiatif sendiri menjaga ekosistem di Kampung Kuantan.

Masbudi berkata nurseri bagi menyemai benih berembang diwujudkan pada 2015 dan setakat ini terdapat lebih 1,000 anak pokok berembang telah ditanam di kawasan sungai di kampung berkenaan.

“Pokok berembang perlu sentiasa dipantau di sepanjang sungai di sini namun kekangan masa dan tenaga menyebabkan usaha itu tidak dapat dilakukan,” katanya menambah daripada 1,000 anak pokok yang ditanam, hanya 25 peratus anak pokok sahaja yang tumbuh.

Justeru, menjadi hasrat beliau untuk memperluaskan usaha menjaga dan memulihara ekosistem sungai di sini dengan melibatkan komuniti dan pihak berkepentingan di sepanjang hilir Sungai Selangor pada tahun depan.

Ekosistem terjejas

Ekosistem sungai Selangor khususnya di bahagian hilir yang semakin terjejas akibat aktiviti manusia dan pembangunan, sudah semestinya merisaukan penduduk kampung khususnya mereka yang mencari rezeki di sungai.

Azmi Ramli, 37, penduduk asal Kampung Kuantan yang juga seorang pendayung kelip-kelip sejak 21 tahun lalu berkata, selain masalah sampah, hutan bakau yang kini semakin berkurangan turut memberi kesan terhadap kelangsungan habitat kelip-kelip di kampung Kuantan.

“Panjang kawasan bakau di sini hanya tinggal lebih kurang 100 meter sahaja dan keluasannya kira-kira tiga hingga lima meter.

“Jika ekosistem di sungai ini tidak dijaga, ia akan mengganggu habitat kelip-kelip dan sekarang jumlah kelip-kelip sudah semakin berkurangan berbanding 20 tahun dahulu,“ katanya yang bekerja sebagai pendayung sejak berusia 16 tahun.

Menurut Azmi, banyak kelebihan mendayung sampan berbanding menggunakan bot enjin untuk mendekati habitat kelip-kelip atas pokok berembang dan tradisi berkenaan telah bermula sejak awal pembukaan kawasan itu, iaitu pada sekitar tahun 70-an.

“Interaksi dengan pelancong menjadi efektif kerana tiada gangguan bunyi enjin dan pendayung akan dapat membawa sampan paling hampir ke kawasan pokok berembang dan ia memudahkan pelancong untuk menyentuh kelip-kelip,” katanya sambil mengakui kerja berdayung memerlukan tenaga tetapi ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan pencemaran udara dan bunyi.

Katanya, kesedaran penduduk untuk menjaga alam sekitar juga semakin meningkat sejak inisiatif yang dimulakan Masbudi dan aktiviti membersihkan sungai kini giat dijalankan.

"Penduduk semakin memahami pentingnya menjaga sungai," katanya yang berharap usaha murni ini akan diteruskan oleh generasi muda.

Artikel Lain