suria

Berhenti makan sebelum kenyang antara rahsia Kane Tanaka berstatus individu tertua di dunia

Kane Tanaka memegang plak yang diserahkan Guiness World Records kepadanya.

KANE Tanaka adalah wanita yang berasal dari Jepun yang memegang rekod sebagai manusia paling tua di dunia apabila menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 117 pada 2 Januari lalu.

Bagi meraikan hari istimewa itu, sebuah majlis yang turut dihadiri oleh ahli keluarga, teman-teman Kane di Fukuoka diadakan serta turut disiarkan menerusi stesen televisyen TVQ Kyushi Broadcasting Co.

Kane turut memotong kek hari jadinya dan dilihat ceria menyambut hari penuh bermakna itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka berat jejaka sado ini pernah cecah 115kg - “Nak urus badan pun perlu ada ilmu...”

"Sedap, saya mahu lagi," katanya saat sepotong kek disuapkan ke mulutnya.

Kek bukan sahaja penyebab Kane ceria pada hari itu, sebaliknya pihak Guiness World Records turut menyerahkan plak rasmi sebagai individu tertua dunia.

Kane akan bangun pukul 6 pagi setiap hari. 

Kane merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik dan beliau dilahirkan pra-matang pada 1903.

Warga emas itu berkahwin dengan Hideo Tanaka pada 1922 dan dikurniakan empat cahaya mata selain mengambil seorang anak angkat.

Setiap hari, Kane akan bangun pada pukul 6 pagi bagi memulakan aktiviti hariannya termasuk gemar mempelajari matematik selain bermain permainan othello.

Bukan sahaja permainan itu, Kane adalah jaguh apabila sering mengalahkan rakan-rakannya serta pekerja di Pusat Jagaan Orang Tua Werdha yang menjadi tempat tinggalnya kini.

Sebelum Kane, Masazo Nonaka memegang rekod sebagai individu tertua, namun wanita itu meninggal dunia pada usia 113 tahun.

The National pada Mac tahun lalu pernah menyiarkan artikel tentang Jepun sebagai sebuah negara dengan peratusan penduduknya panjang umur paling tinggi di dunia. Secara purata, rakyat Jepun hidup selama 84.2 tahun.

Kane mengamalkan pemakanan sihat termasuk gemar makan ulam dan sayuran hijau.

Rahsia Kane panjang umur

Antara rahsia Kane panjang umur adalah kerana mengamalkan konsep 'Hara Hachi Bu' yang bermaksud 'berhenti makan sebelum kenyang'.

Selain kebiasaan itu, Kane turut mengamalkan pola pemakanan yang sihat terdiri daripada sayuran hijau, ulam-ulaman dan ikan.

Sumber makanan tersebut kaya dengan lemak Omega-3 yang mampu melindungi daripada penyakit jantung.

Sebenarnya, amalan diet Kane itu bukan sesuatu luar biasa sebaliknya ia memang menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Jepun.

Tidak terhenti di situ, budaya masyarakat Jepun yang gemar makan bersama dapat menurunkan risiko tekanan.

Rekod Kane sebagai individu tertua juga adalah simbol populasi warga emas di Jepun yang semakin meningkat namun jumlah kelahiran pula berkurangan.

Menurut data Kementerian Kesihatan Jepun, jumlah kelahiran bayi yang lahir di Jepun turun sekitar 5.9 peratus tahun lalu.

Artikel Lain