Tonton wayang selepas disahkan hidap kanser - “Suami patut mencintai diri anda bukan payudara anda” - Figura | mStar

Tonton wayang selepas disahkan hidap kanser - “Suami patut mencintai diri anda bukan payudara anda”

Afzan Adziz terkejut apabila disahkan menghidap kanser payudara tahap dua.

TIADA sesiapa dalam kalangan ahli keluarganya yang pernah menghidap kanser payudara. Jadi apabila doktor mengesahkan Afzan Adziz berada di tahap dua kanser tersebut, dia memang terkejut!

Afzan berusia 31 tahun ketika itu dan anak bongsunya baharu berusia setahun.

"Saya masih menyusu badan anak perempuan saya dan ketika itulah saya perasan ada ketulan pada payudara. Apabila anda menyusu badan, kadang-kadang memang akan ada ketulan tetapi yang ini ia agak keras. Jadi saya mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Berusia 25 tahun, pemuda ini abadikan hidup bantu kanak-kanak tanpa dokumen - “Teruskan usaha hingga ke akhir hayat”

ARTIKEL BERKAITAN: “Mama, bila saya boleh lihat semula?” – Kata-kata remaja autistik ini undang sebak, namun siapa sangka kebolehannya luar biasa!

"Apabila doktor memberitahu keputusan pemeriksaan, fikiran saya jadi kosong. Tak boleh berfikir apa-apa.

"Sebaliknya, saya mengambil keputusan untuk menonton wayang, filem Ip Man 3. Ia bukan idea yang baik kerana isteri kepada watak utama dalam filem itu meninggal dunia akibat kanser," katanya yang kini berusia 36 tahun.

Afzan memberitahu ketika diberitahu dirinya menghidap kanser payudara, fikirannya menjadi kosong. 

Kebimbangan Afzan ketika itu sama ada dia dapat bersama anak-anaknya.

"Ia menakutkan apabila saya fikirkan mengenainya tetapi pada masa sama ia memberi saya motivasi untuk pulih. Saya mahu melawan sakit ini dan sekiranya ada apa-apa terjadi saya tahu saya mati selepas mencuba," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Berbekalkan sokongan keluarga dan rakan-rakan, Afzan memulakan perjuangannya dalam melawan kanser payudara dan perkara pertama dilaluinya adalah menjalani mastektomi.

"Saya memilih untuk melakukan mastektomi sebelum pembedahan pembentukan semula payudara selepas itu. Doktor melakukan pembedahan itu dengan baik kerana pembentukan semula payudara agak baik.

"Selepas pulih daripada pembedahan baru saya mulakan kemoterapi. Harus saya akui ia bukan mudah... Saya mengalami mual dan langsung tidak boleh makan apa-apa. Baldi adalah sahabat saya memandangkan saya asyik muntah," ujarnya.

Kekuatan Afzan melawan kanser adalah keluarga dan anak-anaknya.

Keguguran rambut akibat kemoterapi juga cukup sukar berbanding apa dalam fikirannya sebelum ini.

"Saya ingat ia bukan hal yang serius kerana rambut akhirnya akan tumbuh semula. Namun apabila saya lihat segumpal rambut saya gugur... Memang saya trauma.

"Bagi mengelak saya terus trauma, saya mengambil keputusan untuk membotakkan kepala dan ia berlarutan selama empat bulan tetapi saya boleh menerimanya," katanya.

Lebih menyakitkan kata Afzan, dia tidak dapat menghabiskan masa berkualiti dengan tiga anaknya yang berusia enam, dua dan setahun ketika itu. Bagaimanapun dia bersyukur kerana mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga.

"Saya tidak dapat menempuh keadaan itu tanpa keluarga yang sentiasa mengambil berat hal saya.

Harus saya akui menjalani rawatan kemoterapi bukan mudah. Saya mengalami mual dan langsung tidak boleh makan apa-apa... Baldi adalah sahabat memandangkan saya sering muntah.

AFZAN ADZIZ

BEKAS PESAKIT KANSER PAYUDARA

"Pernah cikgu beritahu, anak sulung saya menangis di sekolah selepas saya menghantarnya. Ia cukup melukakan hati saya. Saya tidak tahu betapa sedihnya dia kerana di rumah, anak sentiasa cerita. Tetapi itulah pemangkin semangat saya untuk melawan kanser," ceritanya.

Tiga tahun sudah berlalu, Afzan memberitahu dia kini berada dalam keadaan baik walaupun masih perlu bergantung kepada ubat untuk tempoh 10 tahun, selain menjalani pemeriksaan setiap enam bulan.

Walaupun pengalaman itu cukup mencabar namun Afzan memberitahu kanser telah membuatnya menghargai kehidupan dengan lebih baik.

Malah Afzan turut menyertai kumpulan sokongan bekas pesakit kanser dan berazam untuk berkongsi kisahnya dengan wanita lain terutamanya golongan muda dalam memberi kesedaran tentang penyakit berbahaya ini.

"Jika ada rasa tidak kena dan lain daripada biasa, pergi buat pemeriksaan. Jangan tunggu. Mendapat tahu anda mempunyai kanser memang menakutkan tetapi jika tidak dikesan awal ia lebih menakutkan.

Afzan mahu memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kanser payudara.

"Saya juga mahu memperbetulkan presepsi masyarakat mengenai masektomi. Saya banyak berbual dengan wanita yang tidak mahu menjalani pembedahan itu kerana bimbang suami akan meninggalkan mereka.

"Saya ada mengenali seorang wanita yang enggan menjalani masektomi dan malangnya kansernya merebak dan beliau meninggal dunia.

"Nasihat saya, buat keputusan tentang apa yang terbaik untuk diri sendiri. Seorang suami sepatutnya mencintai diri anda dan bukannya payudara anda," tegasnya.

Selain itu, Afzan turut menasihatkan golongan muda untuk mendapatkan polisi insurans kerana sebagai manusia biasa kita tidak pernah tahu apa akan terjadi pada masa akan datang.

"Kanser bukan lagi penyakit orang tua dan apabila anda disahkan menghidap kanser, anda tidak lagi boleh dilindungi insurans," katanya.

Afzan Adziz , Kanser Payudara

Klik

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain

Zidane dedah buat kesilapan besar musim ini