suria

Bermula dari zero, pembantu jurusolek anak jati Pahang kini gah bergelar pereka fesyen diraja!

Riffai selesa berulang alik dari Kuantan ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan klien. - Foto Yap Chee Hong

NAMANYA mungkin tidak meniti di bibir penggemar fesyen tempatan sekerap pereka busana terkemuka tempatan yang lain.

Namun, Datuk Mohd Riffairudin Husin bukanlah calang-calang pereka fesyen kerana klien beliau terdiri daripada golongan VVIP (Very Very Important Person).

Daripada isteri seorang menteri besar kepada sultanah atau permaisuri, namanya berada di carta teratas sebagai insan yang diberi kepercayaan untuk menghasilkan busana golongan kelas atasan itu.

Anak jati Kuantan, Pahang ini sudah 10 tahun bekerjasama dengan isteri Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar iaitu Sultanah Hajjah Kalsom.

Riffai sudah 10 tahun menghasilkan busana Sultanah Hajjah Kalsom. - Instagram @riffaicouture

"Daripada segi harga baju dan barang, Tuanku tidak kisah dan pakai apa sahaja yang saya sediakan.

"Baginda tak semestinya kena beli sesuatu yang mewah... murah atau mahal boleh sahaja. Asalkan cantik di mata baginda.

"Seriously, awak pun tak pakai barang harga murah macam Tuanku. Bila baginda pakai, nampak macam grand," katanya secara eksklusif kepada mStar.

Pereka fesyen yang merendah diri itu mendedahkan, beliau sering mengiringi Tuanku yang ketika itu Sultanah Pahang bercuti ke luar negara bagi meluangkan masa bersama dan mencari fabrik untuk busana terbaharu baginda.

Tambah Riffai, baginda memiliki peribadi yang ringkas dan kasual.

Saya belum capai semua impian, kalau boleh nak buat (kolaborasi) dengan kerabat diraja seluruh Malaysia.

RIFFAI

Pereka fesyen

"Kalau dengan Tuanku, saya masih ikutkan protokol kerana menghormati statusnya sebagai Sultanah Pahang, tetapi baginda seorang yang senang bekerjasama dan sangat kasual," kongsi beliau.

Anak kedua daripada lima beradik itu diberi kepercayaan untuk menghasilkan baju kurung moden dan gaun ringkas, tetapi pada masa sama menerapkan ciri-ciri moden untuk setiap busana baginda.

Selain kerabat diraja, pereka fesyen yang juga seorang perancang perkahwinan itu pernah bekerjasama dengan pelanggan VIP seperti isteri Menteri Besar Selangor, Masdiana Muhamad; isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Toh Puan Ragad Waleed Alkurdi dan isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Bermula dengan membuka butik perancang perkahwinan ketika berusia 19 tahun, sentuhan magis Riffai mula mendapat perhatian dan kepercayaan pelanggan ternama.

Dr Siti Hasmah merupakan salah seorang pelanggan VVIP beliau. - Instagram @riffaicouture

Bercerita lanjut, pereka berusia 37 tahun itu berkata, cabaran paling sukar ketika beliau mula menceburi bidang tersebut daripada bawah.

"Ketika saya berusia 19 tahun, saya zero dan tiada apa-apa. Di situlah agak tercabar kerana bukannya senang.

"Saya belajar semuanya sendiri dan selepas 19 tahun, saya berjaya membuka empat butik dan jenama fesyen sendiri Riffai Couture," ujarnya.

Pada awal pembabitannya, Riffai hanyalah seorang pembantu kepada jurusolek selebriti popular, Zulfazli Suhadi sekitar 2000.

Berkat kesungguhannya yang bercita-cita untuk mencipta nama sendiri, pemuda tersebut akhirnya berjaya membuktikan kemampuannya.

Walaupun sudah bergelar seorang pereka fesyen bangsawan, beliau selesa untuk menguruskan perniagaannya di Kuantan dan tidak berhijrah ke ibu negara seperti kebanyakan pereka lain.

Riffai mempertaruhkan jenama Riffai Couture dalam merwarnai industri fesyen tempatan. - Instagram @riffaicouture

"Kuantan macam rumah saya dan saya seorang yang sangat suka meluangkan masa dengan keluarga di sana.

"Rezeki di Kuantan juga Alhamdulillah dan saya masih ada perniagaan di Kuala Lumpur. Setiap minggu saya akan ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan klien di sini," ceritanya.

Selepas hampir dua dekad bertahan dalam industri tempatan, Riffai masih belum menganggap kejayaan yang dikecapinya hari ini sebagai kemuncak dalam kerjayanya.

"Saya belum capai lagi semua impian, kalau boleh nak buat (berkolaborasi) dengan kerabat diraja seluruh Malaysia.

"Yang paling saya nak sangat bekerjasama ialah Permaisuri Brunei," kongsi beliau.

Artikel Lain