Morsi... Perginya anak petani Mesir yang terjun dalam politik secara tidak sengaja - Figura | mStar

Morsi... Perginya anak petani Mesir yang terjun dalam politik secara tidak sengaja

Morsi meninggal dunia pada usia 67 tahun. - Foto AZHAR MAHFOF

PEMERGIAN bekas Presiden Mesir, Dr. Mohamed Morsi yang disahkan meninggal dunia selepas dilaporkan rebah dan pengsan sewaktu sesi perbicaraan di sebuah mahkamah mendapat liputan luas media antarabangsa.

Pemimpin Ikhwan Muslimin ini dijemput Ilahi pada usia 67 tahun.

Siapakah gerangan bekas presiden yang digulingkan oleh tentera pro-Israel pimpinan al-Sisi pada 2013 ini?

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan hak asasi manusia mohon siasat kematian Morsi, Erdogan salahkan kekejaman Mesir

Sebelum ini banyak pemerhati antarabangsa mempersoalkan layanan ke atas Morsi yang disifatkan kejam di penjara Tora atau digelar penjara ‘Kala Jengking’.

Presiden Islam yang digulingkan, Morsi berdiri di belakang bar semasa perbicaraan di Kaherah. - AFP

Malahan, sebuah panel yang dinamakan Detention Review Panel (DRP) yang turut dianggotai peguam dan ahli parlimen Britain turut mengecam kaedah penahanannya.

Laporan CNN menyebut, perjalanan hidupnya bermula dari sebuah desa,  al-Udwah di wilayah Sharqiya.

Morsi lahir pada 20 Ogos 1951 dari keluarga petani yang mementingkan ajaran agama Islam dan beliau secara tidak sengaja terjun ke dunia politik.

Beliau mengahwini sepupunya, Naglaa Mahmoud dan dikurniakan lima cahaya mata.

Kesemua anaknya adalah hafiz dan hafizah, sama seperti mana Morsi dan juga isterinya.

Morsi melanjutkan pengajian di Universiti Kaherah dalam bidang Kejuruteraan pada 1970 sebelum memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi juga di universiti sama pada 1978.

Anak-anak Morsi, Osama Morsi (kiri), Shaimaa (tengah) dan Abdullah ketika dirakam pada sidang akhbar di Kaherah, Mesir pada Julai 2013. - AP

Beliau menyambung pengajian Doktor Falsafah di Universiti Southern California dan memperolehnya pada 1982. Seterusnya dilantik sebagai pensyarah di unicersiti sama sebelum menjadi pembantu profesor di Universiti California-North Ridge.

Antara 1985 hingga 2000, Morsi pulang ke tanah airnya dan dilantik sebagai profesor dan Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material Universiti Zaqaziq.

Beliau terpilih sebagai presiden selepas usahawan, Khairat al-Shater dilucutkan sebagai calon presiden.

Nama Morsi diabadikan dalam sejarah sebagai presiden sivil pertama Mesir yang terpilih secara demokratik dalam pemilihan umum pada Jun 2012 dengan suara 51.7 peratus.

Berbeza dengan pendahulunya yang kesemuanya berlatar belakangkan ketenteraan, Morsi tampil dari kalangan orang awam untuk menggantikan Presiden Hosni Mubarak setelah dipaksa berundur melalui pemberontakan rakyat pada Februari 2011.

Penyokong Morsi menghadiri bantahan yang diadakan dekat masjid Rabaa al-Adawiya di Kaherah, Mesir pada 26 Julai 2013. - EPA

Di awal kemenangannya, Morsi menjanjikan agenda Islamis moderat untuk membawa Mesir menuju era demokrasi baharu, di mana pemerintahan autokrasi digantikan oleh pemerintahan yang telus dan menghormati hak asasi manusia.

Sebaik sahaja menjadi pemimpin demokrasi, Morsi dikenali sebagai presiden yang memerintah seperti firaun.

Morsi kemudian digulingkan oleh tentera yang dipimpin Abdel Fattah al-Sisi. Pasca penggulingan, Presiden Mesir ke-5 itu memperlihatkan dirinya dihukum 45 tahun penjara dengan tuduhan menjadi pengintip Qatar dan Iran dan menghasut kekerasan.

Morsi meninggalkan jejak sejarah sebagai presiden sivil pertama di Mesir ketika menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 67 tahun ketika perbicaraan di mahkamah. 

Kerajaan Morsi difitnah cuba menjadi diktator. - AP

Artikel Lain

Ibu Issey meninggal dunia