KOLEJ Gastroenterologi Amerika menyatakan sembelit adalah salah satu aduan berkaitan sistem pencernaan yang paling kerap diterima di negara itu.
Dianggarkan 16 peratus orang dewasa dan 33 peratus individu berumur lebih 60 tahun mengalami sembelit.
Seseorang itu dianggap mengalami sembelit jika mempunyai kurang daripada tiga pergerakan usus seminggu, najis keras dan kering, atau sukar untuk dikeluarkan.
Menurut pakar terapi kesihatan wanita New Orleans, Sara Reardon, seseorang itu sebenarnya tidak normal jika mereka terlalu kurang membuang air besar.
"Kekerapan normal buang air besar ialah tiga kali sehari hingga tiga kali seminggu. Jika terlalu jarang, ini boleh menyebabkan sembelit, buasir, dan tekanan semasa buang air besar yang boleh melemahkan otot lantai pelvis," jelasnya.
Berikut merupakan empat langkah yang boleh anda amalkan untuk mengelakkan berlakunya sembelit:
1. Pengambilan serat
Makanan yang mengandungi serat tidak larut boleh membantu makanan bergerak melalui sistem pencernaan, menurut Harvard School of Public Health.
Pengambilan serat juga adalah keutamaan nombor satu untuk membantu anda berak dengan lebih teratur.
Anda disarankan mengambil 20-35 gram serat setiap hari jika mengalami sembelit kerana ini membantu menstabilkan pergerakan usus.
Contohnya termasuk roti gandum penuh, beras perang, kekacang, lobak merah, timun, dan tomato.
Sumber serat lain yang baik adalah buah prune dan kiwi.

Pemakanan yang baik boleh membantu sistem penghadaman anda. -Gambar hiasan AI
2. Minum air secukupnya
Anda mungkin sudah tahu bahawa minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari penting, tetapi air juga membantu memudahkan pergerakan usus.
Pakar gastroenterologi The Institute for Digestive Health & Liver Disease, Dr. Bryan Curtin menasihati orang ramai agar memastikan badan kekal terhidrat kerana fungsi utama kolon ialah menyerap semula air.
Menurut pakar pemakanan bertauliah, Liana Werner-Gray, pengambilan air boleh ditingkatkan melalui jus sihat dan teh selain air biasa.
Satu kajian dalam Hepatogastroenterology mendapati gabungan peningkatan serat dan pengambilan cecair membantu mengurangkan simptom sembelit dengan melembutkan najis dan memudahkan proses buang air besar.
3. Senaman
Pergerakan badan boleh membantu kolon berfungsi lebih baik.
Kajian dalam American Journal of Gastroenterology mendapati aktiviti fizikal sederhana bersama peningkatan pengambilan serat secara ketara mengurangkan sembelit pada wanita.
4. Probiotik
Salah satu cara untuk memastikan jadual buang air besar teratur ialah dengan memeriksa konsistensi najis.
Najis anda sepatutnya menyerupai ais krim lembut.
Jika tidak, probiotik boleh membantu, sama ada melalui diet atau suplemen.
Namun, pastikan anda berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil suplemen.


