MASYARAKAT masa kini gemar mengamalkan pengambilan makanan tambahan atau supplement bagi membantu meningkatkan tenaga harian.
Lebih membimbangkan apabila ada yang mula 'bergantung' sepenuhnya pada produk berkenaan sehingga akhirnya mengakibatkan masalah kesihatan.
Berdepan situasi sama, seorang lelaki mengalami muntah dan najis hitam selepas ususnya dipenuhi ulser yang sudah terkoyak disebabkan rutin pengambilan supplement.
Keadaan kesihatannya itu dikongsikan isterinya, Bunga Alanie di laman Threads.
"Suami didiagnosis penyakit yang jarang orang muda kena tapi selalu dihidap orang tua iaitu berak dan muntah hitam.
"Sebelum ini dia memang ada gastrik tapi sejak dua minggu lepas dia jarang makan, tiada selera makan dan sakit perut sampai berak empat kali sehari.

Pengambilan supplement yang pelbagai boleh memudaratkan kesihatan. -Gambar hiasan
"Hari kejadian (masuk kecemasan), dia kerja macam biasa tapi macam dah tak sedap badan.
"Dia ulang alik tandas sampai lemah longlai dan balik rumah pukul 8 malam tu terus baring, badan berpeluh panas," kongsinya.
Melihatkan keadaan tersebut, dia meminta suaminya menjamah sedikit makanan sebelum mandi.
"Tapi dia terus sunyi, rupanya dia muntah hitam banyak yang terlampau banyak... saya terus bawa dia ke bahagian kecemasan Hospital Cyberjaya.
"Dalam pukul 12 pagi, dia ditahan sehinggalah pukul 6 pagi, semasa dibenarkan tengok, badan dia penuh dengan wayar.
"Suami cakap yang dia kena penyakit melena iaitu najis hitam akibat pendarahan dalam perut disebabkan usus dia penuh dengan ulser yang dah koyak," ujarnya.

Golongan lelaki lebih gemar mengamalkan pengambilan supplement. -Gambar hiasan
Menurut Bunga Alanie, doktor menyatakan penyakit yang menimpa suaminya sebagai jarang dialami golongan muda.
Malah katanya, penyakit melena sering dihidapi orang tua kerana golongan itu tidak menjaga pengambilan pemakanan dengan baik.
Kebanyakannya sering mengambil makanan tambahan yang dijual di media sosial.
"Saya terus teringat yang dua minggu sebelum, saya selalu bagi suami makan ubat tradisional untuk sakit pinggang.
"Dia pula seorang yang sukakan air gas... perut kosong terus minum air gas dan makan ubat tradisional yang saya beli di sosial media.
"Doktor cakap yang ubat-ubat macam tu ada steroid, lepas makan terus hilang sakit tapi kena amalkan hari-hari," tambahnya yang bimbang dengan keadaan kesihatan suaminya.


