suria

Tumbesaran terbantut puncanya bukan sahaja kerana genetik tetapi juga GHD... jangan risau ia boleh dirawat!

Sekiranya seorang kanak-kanak tidak membesar seperti kanak-kanak sebaya mereka terdapat kemungkinan bahawa tumbesaran mereka terbantut.

SETIAP kanak-kanak membesar pada kadar yang berbeza - ada yang lebih tinggi manakala ada pula lebih pendek. Ia adalah perkara biasa namun adakah ibu bapa sedar bahawa sekiranya anak mereka terlalu pendek ia mungkin petanda masalah kesihatan?

Ketua Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin berkata, faktor genetik adalah salah satu sebab tumbesaran seorang kanak-kanak terbantut.

ARTIKEL BERKAITAN: Mencabar jaga bayi baru lahir ketika pandemik, tapi 3 tip ini mampu selamatkan si comel daripada terkena virus

Namun jelas Dr Muhammad Yazid, sekiranya seorang kanak-kanak tidak membesar seperti kanak-kanak sebaya mereka terdapat kemungkinan bahawa tumbesaran mereka terbantut disebabkan masalah lain.

"Tumbesaran terbantut sering disalah anggap sebagai pendek secara semula jadi sedangkan hakikatnya kekurangan nutrisi atau masalah perubatan boleh menjejaskan tumbesaran dan perkembangan anak," katanya.

New

Seorang daripada lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Malaysia mengalami tumbesaran terbantut.

Bagaimana kanak-kanak membesar di Malaysia?

Dr Muhammad Yazid memberitahu tumbesaran terbantut dialami oleh ramai kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun di Malaysia.

Pada kadar 21.8 peratus, seorang daripada lima kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Malaysia mengalami tumbesaran terbantut.

"Kadar ini adalah tiga kali lebih tinggi daripada paras tujuh peratus yang dicatatkan di negara-negara berpendapatan sederhana tinggi.

"Dalam tempoh sedekad lepas, tumbesaran terbantut didapati lebih kerap dialami oleh kanak-kanak di Malaysia. Kadar kelaziman masalah tumbesaran terbantut dalam kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun di Malaysia ialah 21.8 peratus pada 2019, meningkat daripada 17.2 peratus pada 2006," ujarnya.

Jelasnya lagi, masalah tumbesaran terbantut bukan masalah yang hanya berlaku kepada golongan B40. Sebaliknya ia boleh berlaku di semua peringkat pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan kumpulan etnik.

Prof Yazid_1

Ketua Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin.

Malah dalam kalangan keluarga dengan pendapatan isi rumah bulanan melebihi RM5,000 masalah tumbesaran terbantut berada pada tahap kira-kira 17 peratus.

Patutkah anda bimbang jika anak anda pendek?

Dr Muhammad Yazid memberitahu ramai ibu bapa tidak sedar bahawa ketinggian anak adalah berkaitan dengan pemakanan, kesihatan dan tumbesaran keseluruhan.

Mereka jelasnya mungkin menganggap anak mereka pendek kerana faktor keturunan atau genetik atau mengandaikan anak mereka akan akhirnya mencapai ketinggian sebanding dengan rakan sebaya mereka ketika usia remaja.

"Tumbesaran terbantut sebahagian besarnya tidak boleh diperbaiki, dan hakikatnya ialah, perkara ini bukan sahaja mengenai ketinggian yang pendek.

"Tumbesaran terbantut mungkin menandakan masalah perubatan asas yang boleh membawa kesan besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan dalam hidup kanak-kanak. Malah seorang daripada lima kanak-kanak yang pendek mengalami keadaan tersebut atas sebab perubatan," jelasnya.

Kata Dr Muhammad Yazid, kanak-kanak yang tidak membesar pada kadar normal bagi umur mereka mungkin mengalami kekurangan hormon tumbesaran (GHD).

Bayi

Kanak-kanak yang tidak membesar pada kadar normal bagi umur mereka mungkin mengalami kekurangan hormon tumbesaran (GHD).

Bagaimanapun GHD bukan punca lazim namun begitu, masalah ini biasanya disyaki apabila kanak-kanak menunjukkan tahap tumbesaran lebih rendah daripada biasa.

Apa yang dikatakan dengan GHD?

GHD jelasnya dialami apabila kelenjar pituitari tidak menghasilkan hormon tumbesaran yang secukupnya untuk merangsang pertumbuhan ketinggian badan dan membolehkan kanak-kanak membesar pada kadar yang normal.

Oleh yang demikian, GHD itu sendiri lazimnya menunjukkan kegagalan pertumbuhan. GHD ialah sebahagian daripada keadaan genetik dalam kalangan sesetengah kanak-kanak, tetapi dalam kebanyakan kes, punca kekurangan hormon tersebut adalah tidak diketahui (GHD Idiopatik).

"Kanak-kanak yang mengalami masalah ini adalah jauh lebih pendek dan membesar pada kadar lebih perlahan berbanding kanak-kanak lain yang seusia dan sama jantina. Mereka juga nampak muda untuk umur mereka.

"Walaupun kependekan kanak-kanak jelas dilihat pada peringkat awal, tanda-tanda GHD sering kali diabaikan, kerana mereka mempunyai perkadaran tubuh yang normal dan kelihatan normal sebagaimana budak lain, cuma lebih kecil dari segi saiz," katanya.

Akibatnya kata Dr Muhammad Yazid, kanak-kanak dengan GHD sering lewat dikesan, lazimnya semasa akil baligh, apabila mereka memperlihatkan kelewatan dalam lonjakan tumbesaran. Pada peringkat ini, mereka mungkin tidak lagi berpeluang untuk mendapat manfaat daripada rawatan awal.

shutterstock_image-69

Diagnosis awal terhadap GHD amat penting.

"Keadaan ini perlu dipandang serius kerana kesan kesihatan GHD yang tidak dirawat tidak terhad kepada masalah ketinggian. Hormon tumbesaran memainkan peranan penting dalam fungsi badan seperti mengekalkan jisim otot dan tulang, mengurangkan tisu lemak, mempengaruhi paras lemak darah seperti kolesterol dan trigliserida, dan mengawal fungsi jantung.

"Kanak-kanak dengan GHD yang tidak dirawat bukan sahaja hilang peluang untuk mencapai ketinggian dewasa berasaskan potensi genetik, tetapi mereka juga menghadapi risiko isu kesihatan seperti kemerosotan kepadatan mineral tulang, tahap kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung ketika mereka meningkat dewasa," jelasnya.

Diagnosis awal terhadap GHD amat penting kata Dr Muhammad Yazid untuk membolehkan kanak-kanak yang terbabit mendapat manfaat sepenuhnya daripada rawatan hormon tumbesaran.

Rawatan hormon tumbesaran katanya boleh membantu kanak-kanak yang mengalami GHD untuk mencapai ketinggian dewasa normal, mengembalikan tahap metabolisme, meningkatkan tumbesaran badan, dan mengurangkan risiko sakit jantung.

Apakah rawatan yang boleh didapati?

Rawatan paling umum bagi GHD katanya ialah suntikan harian hormon tumbesaran sintetik. Suntikan ini diberikan menerusi pen suntikan yang membuat suntikan cetek ke dalam tisu lemak di bawah permukaan kulit.

Rawatan ini jelas Dr Muhammad Yazid perlu berjalan selama beberapa tahun sehingga kanak-kanak mencapai ketinggian dewasa atau potensi ketinggian maksimum, biasanya apabila selesai akil baligh.

shutterstock_348054278

Kanak-kanak yang menjalani terapi hormon tumbesaran perlu berjumpa dengan doktor mereka dari masa ke masa.

"Dos suntikan berbeza mengikut kanak-kanak bergantung kepada pelbagai faktor termasuk tahap masalah tumbesaran terbantut yang dialami serta berat badan.

"Sebagai contoh, kanak-kanak akan memerlukan dos hormon tumbesaran yang lebih tinggi semasa mereka membesar kerana berat badan mereka semakin bertambah," ujarnya.

Kanak-kanak yang menjalani terapi hormon tumbesaran perlu berjumpa dengan doktor mereka dari masa ke masa untuk memantau kemajuan tumbesaran mereka.

Selain itu katanya, ujian darah akan dilakukan untuk menentukan jika hormon tumbesaran tambahan diperlukan dan jika rawatan patut ditambah, dikurangkan atau dihentikan.

Di samping itu, paras gula darah (HbA1c), fungsi tiroid, nilai IGF-1 dan X-ray umur tulang juga akan diperiksa secara berkala untuk memastikan mereka sentiasa dalam keadaan sihat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain