suria

Jangan dongakkan kepala anak ketika hidungnya berdarah, pakar kongsi cara betul hentikan pendarahan

Kebiasaannya kita akan minta anak mendongakkan kepala bagi menghentikan pendarahan.

HIDUNG berdarah secara tiba-tiba yang dialami kanak-kanak biasanya pasti akan mengundang panik dalam kalangan ibu bapa apatah lagi jika darah yang keluar tidak berhenti.

Biasanya, cara digunakan untuk menghentikan pendarahan itu adalah dengan menyuruh kanak-kanak mendongakkan kepala dengan harapan ia akan berhenti mengalir.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak muntah ketika menangis, bahaya atau tidak?

Pakar perubatan, Dr Ahmad Luqman Bukhari menjelaskan tindakan itu sebenarnya boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.



Dr Ahmad Luqman Bukhari.

Dr Ahmad Luqman berkata, tindakan itu sebenarnya boleh menyebabkan darah yang keluar akan terus mengalir ke bahagian belakang hidung seterusnya berisiko masuk ke paru-paru.

Sebaik-baiknya kata Dr Ahmad Luqman, apabila kejadian itu berlaku, ibu bapa sepatutnya bertenang dan jangan panik. Beberapa langkah ini boleh mengentikan pendarahan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

1. Minta anak tunduk dan membongkok ke hadapan. Kemudian picitkan bahagian luar hidungnya. Sekiranya anak mampu lakukan sendiri, minta dia tekan bahagian itu selama 15 ke 20 minit secara berterusan.

2. Mesti bertenang dan perlahan-lahan dan beritahu anak supaya dia bernafas melalui mulut.

3. Sediakan pek ais dan letakkan di bahagian dahi. Ia dapat membantu mengecutkan salur darah dan mengawal pendarahan dari hidung.

4. Namun sekiranya masih terdapat pendarahan yang aktif mengalir, segeralah bawa anak ke fasiliti kesihatan terdekat untuk dapatkan rawatan.

5. Tak usah masukkan sebarang objek ke dalam rongga hidung walau air sekalipun. Ia boleh membuatkan pendarahan keluar tak berhenti.



Jika pendarahan tidak berhenti, segera membawa anak ke hospital.

Sementara itu, Dr Ahmad Luqman memberitahu kebiasaannya kes hidung berdarah dalam kalangan kanak-kanak tidak lama dan ia akan berhenti dengan sendirinya.

Menjelaskan punca ia berlaku, beliau memberitahu ia boleh berlaku disebabkan trauma seperti terhantuk, mengorek hidung atau lapisan mukosa hidung terlampau kering.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain