suria

Betul ke ubat kumur, cecair pencuci mulut mampu bunuh virus Covid-19? Ini jawab doktor

Pencuci mulut tidak dapat membunuh virus Covid-19.

SEJAK beberapa hari lalu, media sosial kecoh apabila cecair pencuci mulut didakwa dapat merawat pesakit Covid-19 sehingga ada mendakwa ia mampu membunuh virus tersebut.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Pegawai Perubatan Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Abdul Rahman berkata dakwaan itu tidak benar kerana pencuci mulut hanya dibuktikan berkesan membunuh kuman yang boleh menyebabkan nafas bau, plak gigi dan gingivitis.

ARTIKEL BERKAITAN: Adakah anda termasuk dalam 4 golongan yang tidak boleh dapatkan suntikan vaksin Covid-19?

Kata Dr Arisman, kajian turut menunjukkan pembersih mulut yang mengandungi Povidone-Iodine (PVP-I) di dalamnya selain chlorhexidine (antiseptic antibacterial agent), alkohol dan tiada alkohol, antikulat, fluorida tinggi baik untuk kesihatan gigi secara keseluruhan.

Malah katanya, doktor biasanya akan memberikan ubat kumur, semburan atau ubat hisap berkombinasi dengan agen antibiotik.



Cecair pencuci mulut juga tidak boleh dijadikan sebagai pengganti hand sanitizer.

Ia bertujuan untuk mengurangkan atau mematikan bakteria pada lapisan mukosa dalam mulut, tekak dan hidung (nasal spray).

"Ubat kumur hanya diberikan untuk menghilangkan bau mulut, kelegaan kepada pesakit (kurangkan rasa perit) dan terbukti menunjukkan ia juga mampu membuatkan kuman (virus dan bakteria) tidak dapat hidup dan menyebar lebih lama dalam permukaan, akhirnya mati sebelum sempat merebak ke saluran pernafasan bawah (trakea dan paru-paru).

"Para doktor gigi pasti memberikan ubat kumur cecair pencuci mulut ini setiap kali sebelum melakukan sebarang prosedur ke atas mulut pesakit mereka," katanya.

Soalan 1️: Adakah pembersih mulut boleh mengurangkan risiko jangkitan Covid-19?

Tidak. Pencuci mulut hanya dibuktikan berkesan membunuh kuman yang boleh menyebabkan nafas bau, plak gigi dan gingivitis. Manakala Covid-19 tiada dalam senarai kuman tersebut.

Soalan 2️: Boleh tak guna pencuci mulut yang ada alkohol untuk cuci tangan sebagai pengganti hand sanitizer?

Tidak boleh. Untuk membunuh kuman Covid-19 terbukti dengan kepekatan alkohol mesti melebihi 60 peratus, manakala pencuci mulut hanya mempunyai sekitar 20 peratus sahaja.

Soalan 3: Jika ingin amalkan juga cecair pencuci mulut ini boleh tak?

Silakan jika mampu membelinya. Selain beberapa langkah pencegahan penting (amalkan 3P, elakkan 3S), tambahan menggunakan cecair pencuci mulut ini boleh memberi sedikit manfaat.

Tapi ingat bahawa cecair pencuci mulut ini masih belum dikenal pasti boleh membunuh kuman Covid-19 100 peratus apatah lagi jika kuman Covid-19 sudah merebak ke saluran bawah pernafasan (paru-paru) kerana ia tidak akan sampai ke sana.

Soalan 4️: Boleh tak minum sedikit cecair pencuci mulut tersebut supaya saluran bawah juga bersih?

Tidak boleh. Menelan cecair pencuci mulut boleh memudaratkan. Bahaya. Jika kepekatan dan jumlah yang banyak, ia boleh memberi komplikasi hati rosak (liver toxicity) dan ginjal rosak (acute kidney injury).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain