suria

Bimbang perut lapar akibat berpuasa? Kurangkan makanan bergaram dan ikuti petua ini

Nasi adalah makanan ruji masyarakat Malaysia namun pengambilannya haruslah berpada-pada terutamanya ketika bersahur.

AMALAN bersahur pada setiap hari di bulan Ramadan bukan sahaja dapat membekalkan tenaga ketika berpuasa malahan ia sebahagian daripada sunnah yang dianjurkan dalam Islam.

Ada orang memadai sekadar meneguk segelas air untuk mencukupkan syarat bersahur dan ada pula yang suka makan besar dengan pelbagai jenis lauk-pauk untuk kekal cergas sepanjang hari.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri) Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Dr. Norazmir Md Nor berkongsi lima tip pengambilan makanan dan minuman yang perlu diberi perhatian ketika bersahur jika enggan berasa lapar.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak banyak ragam, ibu bapa jangan cepat putus asa... Ini tip didik si kecil berpuasa!

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan main-main! Ketahui 7 mudarat termasuk kegagalan buah pinggang jika badan kurang air

"Kalau kita sukakan sesuatu jenis makanan, tidak perlulah sampai nak elak atau tak makan langsung di bulan Ramadan ni.

"Tiada makanan yang tidak elok kerana semua makanan yang ada ini baik belaka, cuma apabila kita ambil berlebihan barulah ia memudaratkan kesihatan," katanya yang juga Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Pemakanan dan Dietetik UiTM Puncak Alam.

1. Garam


Garam mempunyai kandungan sodium yang tinggi.

Kurangkan pengambilan makanan yang mengandungi garam seperti kerepek kentang, makanan sejuk beku yang kebiasaannya mengandungi bahan perisa, kicap, sos dan pelbagai lagi ketika sahur kerana kandungan sodium yang terdapat di dalamnya adalah tinggi.

Jika pengambilan garam adalah tinggi, tubuh akan menyerap sodium dan seterusnya mencetuskan signal kekurangan cecair dalam badan diterima otak, akhirnya rasa haus akan muncul.

2. Nasi dan roti


Pengambilan roti dan nasi haruslah berpada-pada ketika bersahur.

Nasi putih merupakan makanan ruji rakyat Malaysia dan menjadi salah satu pilihan kita untuk mengalas perut ketika sahur.

Pengambilan nasi putih bukanlah dilarang, tetapi harus diambil dalam kuantiti yang berpada-pada kerana ia mudah dicerna dan menyebabkan anda kehabisan tenaga lebih cepat berbanding oat.

Apabila tenaga anda semakin berkurangan, anda akan mudah berasa lapar.

3. Makanan pedas


Makanan pedas boleh menyebabkan cirit-birit dan menyebabkan dehidrasi.

Kurangkan makan sajian yang pedas kerana ia akan menyebabkan perut anda tidak selesa seperti pedih perut, kerap membuang air (cirit-birit) yang boleh membawa kepada keadaan dehidrasi.

Jika anda tidak boleh tinggalkan makanan pedas, makanlah sedikit ketika waktu berbuka dan tukar kepada menu yang kurang pedas pada waktu sahur.

4. Minuman berkafein


Minum segelas kopi ketika bersahur sudah memadai. 

Bagi penggemar tegar kopi, hari-hari yang dilalui tidak lengkap tanpa menikmatinya dalam sehari.

Sekiranya anda tergolong dalam kumpulan ini, minum segelas sahaja kopi atau minuman lain seperti teh ketika sahur kerana minuman tersebut bersifat diuretik yang akan membuat anda mencerna dengan lebih cepat dan akan kehilangan banyak cecair kerana kerap membuang air.

Apabila kandungan air dalam badan berkurangan, badan anda akan mengalami dehidrasi dan mudah letih.

5. Minuman bergula dan jus buah-buahan


Banyakkan makan buah-buahan segar ketika bersahur.

Minuman yang tinggi kandungan gula membekalkan kalori yang tinggi, namun ia tidak dapat bertahan lama kerana bersifat gula ringkas.

Gula ringkas yang terdapat dalam minuman manis tersebut akan cepat menghasilkan tenaga dan tenaga itu juga akan mudah habis. Maka rasa haus akan kembali menjelma.

Sementara itu, kandungan fiber dalam buah-buahan pula akan hilang sekiranya dijadikan jus.

Jadi, sebaik-baiknya makanlah hidangan buah-buahan begitu sahaja untuk rasa lebih kenyang dan menyelerakan.

Tiada makanan yang tidak elok kerana semua makanan yang ada ini baik belaka, cuma apabila kita ambil berlebihan barulah ia memudaratkan kesihatan.

DR. NORAZMIR MD NOR

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri) Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam

Bagaimanapun, ia terpulang kepada kehendak individu sama ada inginkan jus atau sebaliknya.

Menurut Norazmir, pilihan buah-buahan haruslah ada pada waktu sahur sebagai bekalan tenaga.

Kesimpulannya, bersahur secara sederhana adalah yang terbaik kerana ia tidak membuatkan tubuh anda menggunakan lebih tenaga untuk mencerna makanan yang seterusnya menyebabkan badan mudah letih dan mudah lapar.

Jadi, apalah salahnya jika kita merehatkan perut selama di bulan Ramadan ini dan menghayati erti ibadah puasa itu sendiri selepas membiarkannya bekerja tanpa henti menikmati pelbagai jenis juadah selama setahun.

Ramadan, puasa, sahur

Artikel Lain