suria

Anak banyak ragam, ibu bapa jangan cepat putus asa... Ini tip didik si kecil berpuasa!

Pastikan anak-anak bangun bersahur bagi memastikan mereka mempunyai tenaga sepanjang berpuasa. (Gambar Hiasan)

MENJELANG bulan Ramadan pasti ramai dalam kalangan ibu bapa ingin mengambil kesempatan ini untuk mendidik anak-anak mereka yang masih kecil untuk turut berpuasa.

Berpuasa bagi orang dewasa mungkin mudah kerana sudah terbiasa namun untuk anak-anak kecil ini ia barangkali satu cabaran besar dan berat.

Atas sebab itu proses melatih berpuasa itu perlu dimulakan sejak awal agar dan sekiranya perkara itu diabaikan anak-anak barangkali akan memberi pelbagai alasan untuk tidak berpuasa.

Namun ia bukan tugas mudah yang memerlukan banyak kesabaran dan komunikasi agar anak-anak dapat bertahan dan pada akhirnya mendapat kemanisan berpuasa di bulan Ramadan.

Jangan khuatir, mStar akan menyenaraikan beberapa tip yang boleh dicuba dalam mendidik anak-anak anda berpuasa!

1. Tentang Ramadan

Kanak-kanak pasti akan tertanya-tanya mengapa mereka perlu berpuasa di bulan Ramadan - dan inilah pentingnya peranan ibu bapa untuk menerangkan tentang bulan mulia itu agar mereka mendapat gambaran lebih jelas.

Ini termasuk mengenai konsep, pengertian dan apa perlu dilakukan sepanjang berpuasa serta hikmah yang diperolehi.

Walaupun ditemani patung kegemaran, tidak mengapa! Janji anak-anak bersahur. (Gambar Hiasan)

2. Pastikan anak-anak bersahur

Bagi membolehkan anak-anak bertahan sepanjang hari cuba pastikan mereka tidak terlepas makan sahur dan sebaik-baiknya sediakan makanan yang kaya dengan karbohidrat agar mereka mendapat tenaga termasuk buah kurma.

Pastikan juga mereka tidur awal agar mudah mereka bangun untuk bersahur.

3. Jangan paksa, beri pujian

Buat kanak-kanak yang pertama kali berpuasa, sebaiknya jangan dipaksa sekiranya mereka tidak dapat menahan lapar dan dahaga walaupun baru setengah hari.

Ia sebenarnya satu kejayaan besar dan cuba beri galakan dengan memuji agar mereka bersemangat untuk terus berpuasa pada esok hari.

Aktiviti seperti mengaji al-Quran dapat mengalihkan perhatian anak-anak. (Gambar Hiasan)

4. Alihkan perhatian anak-anak

Bagi mengelakkan anak-anak terfikir untuk berbuka puasa jangan biarkan mereka terlalu lasak selain tidak mempamerkan makanan terutama kegemaran mereka yang boleh dicapai dengan mudah.

Alihkan perhatian mereka dengan aktiviti membaca atau pun beri mereka menonton program berunsurkan Ramadan dalam menaikkan semangat.

Minta anak-anak menolong menyediakan juadah berbuka kegemaran mereka. (Gambar Hiasan)

5. Sediakan makanan kegemaran anak-anak

Sebagai galakan, apa kata sediakan makanan kegemaran anak-anak sebagai juadah berbuka puasa meskipun mereka tidak dapat berpuasa penuh pada hari tersebut.

Tanya menu kegemaran mereka, mana tahu jika anda sediakan ia boleh menjadi pemangkin semangat untuk mereka bertahan dan berpuasa penuh demi menantikan makanan kesukaan mereka.

Paling seronok, biar anak-anak membantu ketika menyediakan juadah berbuka, boleh juga buat mereka terlupa tentang penat menahan lapar dan dahaga.

Hadiah atau duit raya antara ganjaran yang boleh diberikan sekiranya anak-anak berpuasa penuh. (Gambar Hiasan)

6. Ganjaran

Selain menyediakan makanan kegemaran mereka, apa kata beri ganjaran istimewa, sekiranya mereka (sebagai contoh) dapat berpuasa penuh selama tujuh hari berturut-turut atau sebulan penuh!

Tidak sukar menggembirakan hati anak-anak, dapat hadiah seperti barangan permainan atau wang sudah cukup buat mereka teruja!

Ajak anak-anak bersolat terawih. (Gambar Hiasan)

7. Terapkan nilai-nilai murni

Sebagai ibu bapa, anda juga perlu menunjukkan tauladan baik kepada anak-anak kerana ia adalah cermin kepada diri anda.

Selain berpuasa, agar mereka tentang keperluan dan amalan lain seperti bersolat jemaah, mengerjakan solat sunat tarawih, menderma atau membantu orang lain dalam bulan penuh mulia ini.

Nescaya mereka dapat merasai keberkatan  sebenar bulan Ramadan.

Ramadan, Sahur

Artikel Lain