Autisme bukan penghalang ‘takluk’ laut lepas, jurulatih senarai tip persediaan ibu bapa bawa anak istimewa berenang - Famili | mStar

Autisme bukan penghalang ‘takluk’ laut lepas, jurulatih senarai tip persediaan ibu bapa bawa anak istimewa berenang

Hamlatul Hawary mengawasi pelajar autisme yang menyertai program berenang di laut terbuka.

SEPERTI kanak-kanak normal lain, aktiviti air atau sukan renang sesuai didedahkan kepada anak autisme sebagai satu bentuk terapi.

Ini kerana renang dapat memenuhi keperluan deria individu autisme pada tahap rangsangan rendah.

Jurulatih renang bertauliah Hamlatul Hawary Azizan yang berpengalaman selama 12 tahun termasuk lima tahun mengajar anak-anak autisme berenang, berkongsi beberapa tip persiapan ibu bapa sebelum membawa anak istimewa mereka ke kolam renang.

1. Penceritaan sosial

Ibu bapa boleh menyediakan gambar tentang aktiviti yang akan dilakukan oleh anak mereka sebelum berkunjung ke kolam renang.

Ceritakan secara terperinci tentang keadaan yang akan berlaku di lokasi tersebut.

Selain itu, ibu bapa juga perlu sebaiknya membawa anak mereka bertemu pakar terapi untuk menjadikan anak autisme ini lebih bersedia dengan aktiviti yang akan dilakukan.

Hamlatul Hawary (belakang, kiri) bergambar bersama pelajar-pelajar renang autisme yang menyertai program Aquaman Autism Swim ‘Only The Brave’ di Pulau Redang.

2. Berlatih/rutin

Latih anak anda untuk bermain dengan air agar mereka mudah membiasakan diri di dalam kolam renang.

“Contohnya, bila kita nak bawa anak autisme ke laut, ada dalam kalangan mereka yang takut dengan terumbu karang.

“Ada ibu bapa yang cetak gambar terumbu karang dan tampal di tab mandi. Jadi, mereka akan biasakan diri dengan terumbu karang itu,” ujarnya.

3. Beri semangat

Ibu bapa dan jurulatih renang perlu memberi sokongan dan semangat kepada anak-anak autisme setiap kali melakukan aktiviti renang bagi membantu mereka menumpukan perhatian.

Impian saya nak bawa perenang autisme ke Selat Inggeris satu hari nanti

HAMLATUL HAWARY

Jurulatih renang autisme

4. Beri ganjaran

Berikan ganjaran yang menjadi kesukaan anak-anak setiap kali mereka berjaya menamatkan aktiviti renang.

Tindakan ini akan menggalakkan semangat anak autisme untuk melakukan aktiviti tersebut pada masa akan datang.

Hamlatul Hawary menunjukkan sijil mengikuti kursus renang autisme yang diperolehi daripada sekolah renang Amerika Syarikat dan Australia.

Berusia 32 tahun, beliau pernah bertugas dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sebuah syarikat cari gali minyak selama hampir dua tahun sebelum memutuskan untuk membuka pusat renangnya sendiri di Setiawangsa.

Selepas setahun mengendalikan pusat renang tersebut, bapa kepada seorang cahaya mata ini mula mengajar renang kepada kanak-kanak kelainan upaya pada 2014.

Bercerita kepada mStar, Hamlatul Hawary sanggup membelanjakan kira-kira RM40,000 untuk menghadiri kursus renang autisme di empat buah negara.

“Mengajar anak-anak autisme ni agak baharu bagi saya. Mereka ini lain, mereka tak sama macam down syndrome yang kita boleh kenal melalui wajah atau penghidap cerebral palsy.

“Wajah anak-anak autisme ni sekilas pandang sama macam kita, bertitik daripada situlah saya berazam untuk mengikuti kursus berkaitan renang autisme ini,” ujarnya yang ke United Kingdom, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia untuk mendalami hal berkaitan anak syurga itu.

Kata beliau, pencegahan awal untuk anak-anak autisme ini adalah penting untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi yang ada dalam diri mereka.

Sinan Rauf merupakan kanak-kanak autisme kategori mild.

“Impian saya nak bawa perenang autisme ke Selat Inggeris satu hari nanti,” ujarnya.

Malahan, setakat ini usahanya untuk menanam keyakinan dalam diri anak autisme membuahkan hasil apabila berjaya mengadakan program berenang di laut terbuka di Pulau Redang, Kuala Terengganu pada 13 April lalu.

Dua daripada lapan peserta program Aquaman Autism Swim ‘Only The Brave’ tersebut berjaya menamatkan renangan sejauh dua kilometer (km).

Menurutnya, pengalaman yang paling sukar dilupakan adalah ketika melihat pelajarnya, Sinan Rauf Mohamad Fairus, 13, yang mengalami masalah percakapan terhad akhirnya berjaya menamatkan cabaran tersebut selepas empat tahun mengikuti kelasnya.

“Pada awal dulu, Sinan akan lari bila saya nak berdamping dengan dia sehinggalah satu hari dia sendiri yang sukarela masuk ke dalam kolam renang.

“Kami berkomunikasi guna straw kerana itulah objek yang dia paling suka. Itu cara saya berkomunikasi dengan anak-anak autisme, saya akan gunakan apa yang mereka suka,” jelasnya.

autisme , Hamlatul Hawary , laut terbuka

Artikel Berkaitan

Artikel Lain