Jangan terpedaya, suplemen rawat Influenza tak wujud! - Famili | mStar

Jangan terpedaya, suplemen rawat Influenza tak wujud!

PRODUK makanan tambahan yang dikatakan mampu melawan virus Influenza merupakan dakwaan yang tidak berasas, demikian dedah seorang pakar perubahan tempatan.

Menurut Pakar Perunding Paediatrik dan Neonatologist Hospital KPJ Damansara, Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, suplemen sama ada berbentuk serbuk atau pil sama sekali tidak membantu merawat virus berkenaan.

"Virus adalah sesuatu yang hidup dan senang merebak, manakala cara untuk menyerang virus berkenaan adalah menerusi sistem immunisasi badan kita sendiri, selain bantuan ubat-ubatan yang diberi doktor.

"Suplemen pula sejenis makanan yang tiada benda aktif untuk melawan virus.

"Malahan, kajian saintifik juga membuktikan tiada makanan tambahan yang boleh lawan virus," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dr Mohammad Iqbal terpanggil memberi kenyataan ini selepas beberapa pihak tidak bertanggungjawab semakin aktif mempromosikan produk makanan tambahan yang dikatakan mampu merawat virus Influenza menerusi media sosial.

Sejak bulan lalu, virus Influenza dikesan mula merebak di seluruh negara berikutan perubahan cuaca yang tidak menentu terutama menjelang musim tengkujuh pada akhir tahun. 

Menurut Dr Mohammad Iqbal, langkah berjaga-jaga dengan mengambil vaksin khusus perlu sebagai langkah pencegahan kerana ia mudah dijangkiti kanak-kanak dan warga tua.


Antara produk makanan tambahan yang didakwa mampu menyembuhkan pesakit Influenza dijual secara atas talian.

Promosi berleluasa yang membimbangkan itu, kata Dr Mohammad Iqbal boleh memudaratkan kesihatan pengguna yang terpengaruh dengannya terutama dengan jaminan serta fakta yang tidak tepat.

"Masyarakat perlu sedar kewujudan makanan tambahan yang dikatakan mampu membunuh virus secara langsung adalah tidak berasas.

"Pengambilan ubat-ubatan yang dijual secara atas talian ini sebaliknya dikhuatiri akan memberi kesan sampingan terutama terhadap kanak-kanak.

"Sebaiknya dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum membeli mana-mana produk makanan tambahan berkenaan.

"Amalan pemakanan sihat dan seimbang juga mampu membantu menguatkan sistem immunisasi dalam badan untuk melawan penyakit," ujarnya.

Justeru, Dr Mohammad Iqbal menasihatkan ibu bapa supaya tidak membawa anak mereka yang menghidap Influenza ke tempat awam terutama ketika cuti sekolah kerana dikhuatiri akan menyebabkan komplikasi yang lebih teruk.

Influenza , suplemen

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Isteri Adun Panti meninggal dunia