Kaki perlu dijaga terutama penghidap diabetis agar tidak dipotong - Famili | mStar

Kaki perlu dijaga terutama penghidap diabetis agar tidak dipotong

Penjagaan kaki amat penting bagi pesakit diabetes.

ANGGOTA badan ini dieja dengan hanya empat huruf termasuk dua K di awal dan tengah dan diakhiri dengan I, manakala A pula pada kedudukan kedua perkataan itu.

Fungsinya pastinya penting sekali dan ia wajar diberi perhatian khusus kerana membantu setiap insan dalam pergerakan, selain menampung berat badan setiap individu.

Ya, tentu sekali jawapannya adalah kaki!

Jika bagi individu normal anggota ini penting, tentu sekali ia lebih utama bagi pesakit diabetes atau kencing manis. Penjagaan kaki menjadi fokus selain mengawal pengambilan gula.

Penjagaan kaki yang betul akan menyerlahkan lagi kecantikan kepada wanita.

Dalam erti kata lain, luka ibarat satu ‘sumpahan’ dan perlu dielakkan dalam kalangan pesakit diabetes.

Jika lewat disedari, walaupun kecederaan dialami sekecil luka melepuh, ia boleh membawa ke jangkitan yang lebih serius dan meningkatkan risiko kaki terpaksa dipotong.

Menurut Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Dalaman, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Profesor Dr Harikrishna K.R.Nair, kira-kira 3.6 juta atau 17.5 peratus rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes

Namun katanya, tidak ramai mengetahui mereka sebenarnya menghidap penyakit tersebut.

Kira-kira 50 peratus daripada pesakit diabetes tidak ada simptom langsung. Mereka mengadu luka lambat sembuh, mata dan buah pinggang ada masalah.

Profesor Dr Harikrishna K.R.Nair

Ketua Unit Penjagaan Luka, Jabatan Perubatan Dalaman, HKL

“Apabila mereka datang ke Jabatan Buah Pinggang atau Jabatan Mata barulah mereka tahu ada kening manis. Jadi saya sarankan agar ujian saringan dilakukan untuk pengesanan awal penyakit ini,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama mStar Online.

Dr Harikrishna berkata, kira-kira 85 peratus luka di kaki boleh dicegah jika pemeriksaan dilakukan setiap malam.

“Tempat sensasi itu penting, kena periksa selalu dan buat rawatan. Jika tidak dijaga, kaki berisiko dipotong. Apabila kaki sudah dipotong sekali, kaki kedua pula besar kemungkinan 50 peratus akan dipotong dalam tempoh lima tahun.

“Kira-kira 50 peratus pesakit lagi akan meninggal dunia. Namun hari ini 68 peratus berpotensi meninggal dunia selepas amputasi pertama. Jadi penyakit ini tidak boleh dipandang remeh,” katanya.

Pesakit diabetes perlu selalu melakukan pemeriksaan kaki bagi mengelakkan luka menjadi lebih teruk dan terpaksa dipotong.

Berikut ini tip penjagaan kaki:

1. Periksa seluruh kaki setiap hari dengan mencari atau merasai antara celah-celah jari kaki dan kawasan tumit.

2. Guna cermin atau minta pertolongan orang lain jika anda tidak dapat melihat kaki anda.

3. Basuh kaki anda setiap hari. Keringkan dengan teliti terutama di celah jari kaki.

4. Jaga kelembapan kulit. Sapukan losyen pada kulit di bawah kaki anda. Bagaimanapun jangan disapu di antara jari kaki kerana ia boleh membawa jangkitan.

5. Potong kuku kaki mengikut bentuk kuku dan jangan terlalu pendek. Buang lebihan hujung kuku bagi mengelakkan kecederaan.

6. Penjagaan akan membantu melancarkan aliran darah, lakukan senaman dan urutan kaki setiap hari.

7. Jangan biarkan kaki anda terdedah kepada suhu yang terlalu panas atau terlalu sejuk.

8. Pakai kasut dan sarung kaki sepanjang masa. Jangan sesekali berjalan tanpa kasut dan pilih kasut selesa bagi melindungi kaki.

9. Beli kasut sesuai. Pesakit diabetes mempunyai kasut khas berbentuk B dengan permukaan kasut lebih lebar dan luas.

diabetes , kaki

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Almy Nadia lahir anak perempuan ketiga

Peng Soon, Liu Ying tinggalkan BAM