SOLAT pada awal waktu dan berjemaah masing-masing mempunyai kelebihan yang sangat besar di sisi Islam.Namun bagi pasangan suami isteri, timbul persoalan dan dilema kerana kedua-dua amalan itu sukar dilakukan serentak, khususnya apabila perlu menunggu pasangan pulang atau bersedia untuk menunaikan solat bersama. Menjelaskan perkara itu, pendakwah terkenal, Ustazah Asma' Harun berkata, secara umumnya amalan paling baik adalah menunaikan solat berjemaah pada awal waktu.Bagaimanapun, jika situasi perlu menunggu pasangan sehingga menyebabkan waktu solat hampir berakhir atau berisiko terlepas, adalah lebih baik seseorang itu menunaikan solat secara bersendirian terlebih dahulu sebelum mengulanginya secara berjemaah sebagai solat sunat.Menurut beliau, seseorang juga dibolehkan menunggu pasangan untuk solat berjemaah sekiranya tempoh penantian itu tidak terlalu lama dan masih berada dalam waktu yang sesuai tanpa membawa kepada kelalaian atau menyebabkan solat keluar daripada waktunya.Beliau turut menghuraikan pandangan beberapa ulama yang berbeza mengenai isu tersebut, termasuk ada yang mengutamakan solat berjemaah meskipun sedikit lewat, manakala sebahagian lagi mendahulukan solat pada awal waktu.Solat jemaah dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan. -Gambar hiasan AIIni pandangan empat imam berhubung isu tersebut:1. Imam al-Mawardi mengutamakan kelebihan solat berjemaah meskipun lewat berbanding solat sendirian pada awal waktu. Manakala Imam al-Ghazali mengutamakan solat sendirian pada awal waktu ke atas melewatkan solat untuk mendapat kelebihan berjemaah.2. Imam al-Ruyani pula membawakan dua pandangan daripada Imam al-Syafii yang saling bertentangan. Pandangan pertama daripada kitab al-Imlaa’ yang mewakili qaul qadim (pandangan lama) mazhab Syafii yang mensunatkan melewatkan solat untuk mendapat pahala berjemaah. Manakala nukilan kedua daripada kitab al-Umm (qaul jadid atau pandangan baharu) pula mengutamakan solat sendirian pada awal waktu.3. Qadhi Abu al-Toyyib pula meletakkan syarat, jika diyakini akan dapat berjemaah, maka melewatkan solat itu lebih utama. Adapun jika diyakini tidak sempat berjemaah, maka lebih baik solat pada awal waktu secara sendirian.4. Imam al-Nawawi menyimpulkan bahawa yang paling afdal ialah pasangan solat pada awal waktu secara sendirian terlebih dahulu untuk mendapat kelebihan awal waktu, kemudian solat bersama untuk kelebihan berjemaah.Namun jika hanya ingin solat sekali sahaja, maka yang lebih afdal ialah menunggu untuk solat berjemaah. Namun dengan syarat diyakini akan dapat berjemaah, dan masih banyak waktu berbaki.Daripada Abu Dzar R.A bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya: Bagaimana keadaanmu sekiranya kamu berada dalam kalangan satu kaum yang melewatkan solat mereka? Lalu Abu Dzar bertanya Nabi SAW Apa yang kamu perintahkan supaya aku lakukan?Nabi SAW bersabda: Solatlah pada waktunya, kemudian pergilah tunaikan hajatmu. Sekiranya solat jemaah didirikan dan engkau pada waktu itu berada di dalam masjid, solatlah bersama mereka pula. (HR Muslim)