suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Usung kerusi khas ‘in loving memory’ naik pelamin, bergambar dengan mempelai... Haram sedia tempat duduk untuk si mati!

Simbolik mengenang individu dengan meletakkan kerusi khas pada sesuatu majlis adalah bertentangan dengan ajaran Islam. -Gambar hiasan AI

TULAR di media sosial video majlis perkahwinan memaparkan tindakan sebuah keluarga menyediakan kerusi khas bagi memperingati seorang ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia.

Difahamkan, kerusi berkenaan diletakkan di celah tempat duduk ahli keluarga lain, lengkap dengan tulisan ucapan rindu serta potongan ayat Surah Al-Fajr.

Video tersebut juga memaparkan kerusi itu turut dibawa naik ke pentas pelamin untuk sesi bergambar bersama pengantin, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi hangat dalam kalangan netizen.

Susulan penularan itu, saluran dakwah Malaysia Bertauhid Official tampil memberikan teguran terbuka, menyifatkan tindakan tersebut tidak menepati ajaran Islam dan hukumnya adalah haram.

Menurut perkongsian berkenaan, amalan meletakkan kerusi khas untuk si mati dalam majlis sedemikian dikaitkan dengan perbuatan meratap kematian serta unsur tasyabbuh (menyerupai amalan budaya atau agama lain).

Malah, ia turut ditegaskan sebagai tidak selari dengan ajaran Islam sekiranya melibatkan kepercayaan atau ritual tertentu yang mengangkat kehadiran si mati dalam majlis tersebut.

Rujuk pihak berautoriti

Dalam pada itu, pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin ketika dihubungi mStar berkata, kepercayaan bahawa roh si mati boleh hadir dalam sesebuah majlis adalah tidak tepat menurut ajaran Islam.

Menurutnya, dalam Islam roh berada di alam barzakh dan tidak kembali secara fizikal ke dunia untuk menghadiri sebarang majlis seperti kenduri kahwin.

“Kalau nak ingat si mati, Islam ajar kita dengan doa, sedekah dan bacaan Al-Fatihah. Bukan dengan letak kerusi khas atau simbolik seperti itu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan amalan yang dianggap menyerupai budaya luar sehingga boleh menjejaskan akidah.

Dalam masa sama, Ahmad Husam menegaskan sekiranya terdapat kepercayaan yang tersasar dalam amalan tersebut, ia wajar ditinggalkan serta diperbetulkan dengan segera.

“Kita kena rujuk kepada pihak berautoriti agama supaya amalan kita tidak terpesong dan tidak terikut budaya yang tidak selari dengan Islam,” tambahnya.

Orang ramai turut dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam mengamalkan adat atau simbolik dalam majlis, dan memastikan ia tidak bercanggah dengan tuntutan syarak.

Artikel Lain