suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tradisi bubur Asyura 10 Muharam tiada sandaran agama... Mufti pesan selagi tak langgar syarak, bukan kesalahan

Memasak bubur Asyura sudah menjadi tradisi setiap kali menjelang 10 Muharam.

SETIAP kali menjelang 10 Muharam, tradisi memasak bubur Asyura kembali meriah di pelbagai kawasan di seluruh negara dengan penyertaan penduduk setempat secara bergotong-royong.

Namun timbul persoalan dalam kalangan masyarakat mengenai status amalan tersebut selepas ada pihak mendakwa ia tidak mempunyai sandaran hadis yang sahih.

Menjawab persoalan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan aktiviti memasak bubur Asyura untuk diagihkan kepada ahli keluarga, golongan fakir miskin dan masyarakat setempat merupakan adat serta tradisi yang telah lama diamalkan oleh umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, terdapat kisah sering dikaitkan dengan asal-usul bubur Asyura iaitu peristiwa Nabi Nuh AS dan para pengikutnya yang menghimpunkan baki makanan selepas terselamat daripada banjir besar sebelum memasaknya secara bersama-sama.

Gotong-royong mengeratkan lagi silaturahim antara masyarakat. -Gambar hiasan AI

Gotong-royong mengeratkan lagi silaturahim antara masyarakat. -Gambar hiasan AI

Bagaimanapun, kisah tersebut tidak mempunyai nas sahih daripada al-Quran atau hadis Nabi Muhammad SAW, sebaliknya hanya dinukilkan dalam beberapa riwayat sirah oleh ulama.

"Walaupun kisah itu tidak dapat disahkan daripada sumber yang sahih, tidak menjadi kesalahan untuk mengambil iktibar daripadanya kerana ia termasuk dalam riwayat sirah dan bukan melibatkan persoalan akidah atau hukum hakam," jelasnya.

Pejabat Mufti turut menegaskan amalan memasak bubur Asyura tidak bercanggah dengan syarak kerana tujuan utamanya adalah untuk mengeratkan silaturrahim, memupuk semangat gotong-royong dan membudayakan amalan bersedekah dalam masyarakat.

Menurut kenyataan itu, sesuatu amalan tidak semestinya perlu disandarkan kepada hadis sahih secara khusus untuk dihukumkan sebagai salah, selagi mana ia tidak bertentangan dengan prinsip syariah.

Malah, para ulama terdahulu juga mengambil pendekatan meraikan amalan masyarakat yang baik dan tidak bercanggah dengan agama demi menjaga keharmonian umat Islam.

Dalam masa yang sama, umat Islam diingatkan agar tidak mengabaikan amalan yang jelas dianjurkan oleh Rasulullah SAW pada hari Asyura, terutama berpuasa yang dijanjikan ganjaran penghapusan dosa setahun yang lalu.

Selain berpuasa, para ulama turut menggalakkan amalan lain seperti bersedekah, menziarahi orang sakit, mengeratkan silaturrahim, membantu anak yatim serta memperbanyakkan ibadah dan amal kebajikan.

Justeru, tradisi memasak bubur Asyura boleh diteruskan sebagai adat yang baik dalam masyarakat selagi tidak disertai kepercayaan atau amalan yang bercanggah dengan syariat Islam.

Artikel Lain