suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

‘Infak’ tepi jalan, wanita tergamam dipaksa bayar RM20... Ustaz perjelas ada unsur ‘gharar’, tak sah jual beli

Urusan jual beli perlu mempunyai akad yang jelas. -Gambar hiasan AI

SEMAKIN ramai memilih kaedah jualan tepi jalan termasuk berniaga makanan secara terus kepada pengguna jalan raya.

Namun, sistem jualan digunakan itu perlu dilakukan secara beretika dan tidak mengelirukan pembeli sehingga menimbulkan rasa tertipu atau dipaksa membeli seperti perkongsian wanita ini.

Berkongsi pengalaman, ujarnya, dia pada mulanya menyangka lelaki terbabit sedang mengagihkan makanan secara percuma kerana berdiri di tepi jalan sambil menawarkan bungkusan makanan kepada pengguna jalan raya.

"Semasa memandu, saya ada nampak orang berdiri tepi jalan macam nak bagi makanan.

"Jadi saya terdetik nak berhenti sebab ingatkan ada orang tengah infak dan dia pun tahan macam nak beri makanan.

"Disebabkan kereta tak banyak, jadi saya pun berhenti sekejap nak ambil makanan," luahnya di Threads. 

Menurut wanita ini, selepas mengambil bungkusan tersebut, dia bagaimanapun terkejut apabila lelaki berkenaan terus memintanya membuat bayaran sebanyak RM20.

Berniaga di tepi jalan dengan menyasarkan pengguna jalan raya adalah tidak wajar. -Gambar hiasan AI

Ramai yang mengambil peluang menambah pendapatan menerusi berniaga di tepi jalan. -Gambar hiasan AI

"Dik ambil dik, nanti transfer RM20 je. Ambil, nanti QR bayar RM20, kalau tak bayar tak apa saya halalkan. Saya tergamam sekejap dalam kereta sebab tak tahu nak bagi reaksi apa.

"Eh cepat-cepat ambil, nanti jem orang belakang marah saya," tambahnya sambil mengimbau kata-kata lelaki terbabit.

Susulan daripada itu, dia akhirnya membayar RM20 meskipun masih berasa keliru dengan kaedah jualan berkenaan.

Namun dia turut menyifatkan cara jualan sedemikian sebagai tidak wajar kerana seolah-olah memaksa orang ramai membeli.

"Rasa kena aniaya pun ada, tapi saya ikhlaskanlah RM20 tu. Rasanya tak baik meniaga dengan cara macam tu," tambahnya.

Mengulas isu berkenaan, pendakwah dan Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, amalan tersebut tidak menepati konsep jual beli dalam Islam kerana sesuatu urusan jual beli perlu dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak.

Menurut Mohd Izhar, peniaga tidak boleh memaksa orang ramai membeli barang kerana akad jual beli  perlu jelas sejak awal.

"Pertama sekali, dalam jual beli tak boleh memaksa orang beli barang kita. Perlu ada akad yang jelas.

Aduan kepada pihak berkuasa perlu dilakukan bagi mengelakkan situasi jual beli seperti itu berterusan dan memudaratkan masyarakat.

Aduan kepada pihak berkuasa perlu dilakukan bagi mengelakkan situasi jual beli seperti itu berterusan dan memudaratkan masyarakat. 

"Dalam situasi ini terdapat unsur gharar iaitu unsur yang boleh membawa kepada penipuan apabila barang diberikan terlebih dahulu tanpa memaklumkan ia adalah untuk dijual.

"Kemudian pembeli dipaksa membuat bayaran. Cara seperti ini tidak boleh diamalkan kerana mempunyai unsur penipuan," jelasnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai berdepan situasi sama supaya menolak pembelian dan memulangkan semula barangan tersebut sekiranya tidak berhasrat untuk membelinya.

"Bagi mangsa yang terkena dengan situasi ini, mereka wajar menolak dan tidak membeli atau mengambil barang tersebut. Wajar sekiranya dia bagi balik kerana tiada keperluan untuk membeli.

"Kalau perkara ini dibuat dengan betul, pasti tiada berani menjual di tempat seperti itu," tambahnya ketika dihubungi mStar.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang ramai membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi sedemikian bagi mengelakkan amalan jualan secara paksaan terus berlaku.

"Ketiga, buat aduan kepada pihak berkuasa supaya penipuan seperti ini atau sistem jual paksa rela ini tidak berlaku di Malaysia sehingga membawa kemudaratan," katanya.

Artikel Lain