suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Rupanya masih ramai buat! Pendakwah tegur tabiat makmum suka baca surah kuat-kuat sampai orang sebelah tak khusyuk

Solat berjemaah bukan hanya menjaga ibadah sendiri, tetapi juga memelihara ketenangan saudara di sebelah. -Gambar hiasan AI

SOLAT berjemaah bukan sekadar mengajar umat Islam berdiri dalam saf yang sama, malah turut menuntut setiap jemaah menjaga adab dan menghormati hak orang lain untuk beribadah dalam keadaan tenang serta khusyuk.

Namun, tanpa disedari masih ada segelintir makmum yang membaca al-Fatihah, surah atau zikir dengan suara terlalu kuat sehingga mengganggu tumpuan orang di sebelah.

Menjelaskan perkara itu, pendakwah terkenal Ustazah Asma' Harun berkata, makmum pada asasnya tidak digalakkan menguatkan bacaan ketika solat berjemaah.

Menurut beliau, dalam mazhab Syafii, makmum tetap perlu membaca al-Fatihah ketika solat, namun bacaan tersebut hendaklah diperlahankan sekadar boleh didengari oleh diri sendiri dan bukannya jemaah di sebelah.

Solat jemaah merupakan pilihan ramai individu kerana fadilat dan kelebihannya. -Gambar hiasan AI

Solat jemaah merupakan pilihan ramai individu kerana fadilat dan kelebihannya. -Gambar hiasan AI

Katanya, solat berjemaah bukan hanya mengenai bacaan individu, sebaliknya turut menuntut setiap jemaah menjaga kekhusyukan orang lain.

"Kadang-kadang kita solat berjemaah di masjid atau surau, tetapi terdengar makmum di sebelah membaca al-Fatihah, surah atau bacaan solat dengan agak kuat.

"Kadang-kadang bacaannya lebih jelas daripada bacaan sendiri, sampai kita pula terganggu dan hilang fokus," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau, jika bacaan seseorang makmum terlalu kuat sehingga mengganggu orang lain, hukumnya boleh menjadi makruh.

Apa yang membimbangkan, hukum boleh berubah menjadi haram sekiranya gangguan itu jelas dan melampau sehingga menjejaskan ibadah jemaah lain.

Menurut beliau, perkara itu selari dengan kaedah syarak yang melarang seseorang melakukan mudarat terhadap orang lain.

Ustazah Asma' Harun gemar berkongsi nasihat tentang isu semasa melibatkan umat Islam.

Ustazah Asma' Harun gemar berkongsi nasihat tentang isu semasa melibatkan umat Islam. 

"Jangan sampai bacaan kita yang sepatutnya menambah khusyuk menjadi sebab orang lain hilang khusyuk," jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan terdapat kelonggaran sekiranya seseorang berada dalam suasana yang bising seperti di surau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau masjid yang sesak sehingga perlu meninggikan sedikit suara bagi mendengar bacaannya sendiri.

Namun katanya, keadaan itu bukan alasan untuk membaca terlalu kuat sehingga mengganggu jemaah lain.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan terdapat beberapa keadaan yang dibenarkan syarak untuk makmum menguatkan suara, antaranya ketika mengucapkan 'amin' selepas imam selesai membaca surah al-Fatihah dalam solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah ke solat kalau saf renggang? Ustazah Asma’ Harun jawab isu jemaah wanita ‘pilih tempat’, rupanya ramai salah faham!

Selain itu, makmum yang bertindak sebagai muballigh, iaitu menyampaikan takbir imam kepada jemaah di bahagian belakang apabila suara imam tidak didengari, juga dibolehkan menguatkan suara kerana terdapat keperluan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa setiap Muslim bukan sahaja perlu menjaga kualiti ibadah sendiri, malah turut bertanggungjawab memastikan kehadiran mereka tidak menjadi punca orang lain hilang tumpuan ketika menghadap Allah SWT.

"Kadang-kadang kita mahu lebih khusyuk dengan menguatkan suara, tetapi jangan sampai usaha kita mencari khusyuk menjadi sebab orang lain hilang khusyuk.

"Bacalah dengan tenang, perlahankan suara dan cukup sekadar diri sendiri mendengar. Dalam solat berjemaah, kita bukan hanya menjaga ibadah sendiri, tetapi juga menjaga ketenangan saudara di sebelah kita," katanya.

Artikel Lain